Thursday, April 23, 2009

BANGSA SERUMPUN

PM: Indonesia jiran penting


Najib Tun Razak bersalaman dengan Susilo Bambang Yudhoyono selepas menghadiri upacara sambutan rasmi lawatan Perdana Menteri ke Indonesia di Istana Merdeka, Jakarta, semalam. – BERNAMA


JAKARTA 23 April – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia sangat penting kerana ia banyak menyumbang kepada pembangunan pesat di pelbagai sektor di kedua-dua negara.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia berkata, sebagai jiran terdekat, republik ini bukan sahaja mempunyai sejarah yang panjang serta persamaan budaya dengan Malaysia tetapi juga penting dalam semua bidang.

‘‘Hakikatnya jiran kita ini sangat penting dalam semua aspek ditambah lagi dengan bilangan penduduk yang lebih 10 kali ganda daripada penduduk Malaysia sekali gus menyumbang kemantapan dalam semua bidang,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Susila Bambang Yudhoyono di Istana Merdeka di sini hari ini.

Sebelum itu, Najib diberi penghormatan memeriksa kawalan kehormat pasukan khas pengawal Presiden selain diberi tembakan hormat 19 das dalam upacara rasmi di Istana Merdeka.

Pada sebelah pagi Najib mengunjungi Makam Pahlawan Kalibata dan meletakkan kalungan bunga.

Indonesia merupakan negara pertama yang dilawati oleh Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru pada 3 April lalu.

Sehubungan itu Perdana Menteri berharap hubungan akrab ini dapat diteruskan bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan tetapi juga di peringkat sektor kerajaan dan swasta serta antara rakyat kedua-dua buah negara.

Beliau berkata, hubungan akrab ini juga diharap menjadi satu isyarat dan galakan kepada kedua-dua negara untuk membuktikan kerjasama yang lebih erat dan manfaat di semua peringkat pada masa hadapan.

Menurut Najib, Malaysia akan menggunakan dua pendekatan asas dalam mengeratkan hubungan dengan Indonesia iaitu meneruskan kesinambungan dan meningkatkan pencapaian di atas apa yang telah disepakati dan diusahakan oleh kedua-dua buah negara itu.

Perdana Menteri berkata, perbincangan dua hala dengan Susilo hari ini merupakan lanjutan dan kesinambungan daripada kata sepakat yang telah dicapai oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri Majlis Perundingan Bersama Malaysia-Indonesia baru-baru ini dan sembilan perkara telah dicapai pada pertemuan tersebut.

Kata beliau, Malaysia dan Indonesia akan berusaha memajukan bidang-bidang yang telah dikenal pasti itu selain bersetuju meneroka kerjasama baru secara bersama.

Antaranya, kata beliau, memantapkan strategi dalam industri kelapa sawit dengan membina lebih banyak pusat penapisan minyak kelapa sawit di negara ini bersesuaian dengan status Malaysia dan Indonesia sebagai pengeluar utama minyak kelapa sawit dunia yang menguasai 90 peratus pasaran selain memantapkan lagi program tanam semula.

‘‘Dalam bidang pertanian pula, Malaysia bersedia membeli beras dari negara ini jika terdapat lebih pengeluaran serta makanan ternakan seperti jagung bagi kurangkan kos input pertanian,” katanya.

Menurut Perdana Menteri lagi, kerjasama yang serupa juga akan dilaksanakan dalam sektor berteknologi tinggi seperti industri aeroangkasa, pertahanan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kedua-dua negara juga, kata Najib, turut menyentuh mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan berhubung pendaratan lebih banyak pesawat terutama di kawasan bandar-bandar kecil dan sederhana.

‘‘Tumpuan juga akan diberikan kepada pelancongan kesihatan kerana Malaysia berupaya menawarkan kemudahan kesihatan dan rawatan bertaraf dunia dengan kos yang begitu kompetitif, '' ujarnya.

Perdana Menteri berkata, dengan jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia berkembang pesat dengan lonjakan sebanyak 11 peratus pada tahun 2008, trend itu diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang walaupun perkembangan ekonomi untuk tahun 2009 tidak begitu menggalakkan.

Mengenai tenaga kerja Indonesia di Malaysia pula, Najib berkata, tenaga kerja warga Indonesia memainkan peranan penting dan Indonesia berpuas hati dalam aspek-aspek tertentu termasuk kebenaran penyediaan keperluan pendidikan bagi rakyat Indonesia yang bekerja di sektor peladangan di Sabah. – Utusan


Putrakencana :

Malaysia dan Indonesia adalah 2 negara serumpun yang majoritinya beragama Islam.

Berharap kerjasama di dalam bidang ekonomi akan meningkat bagi ke dua-dua negara serumpun ini.

Banggunkanlah ekonomi Bangsa Bumiputera di negara masing-masing kerana bangsa pendatang telah menguasai ekonomi di kedua-dua negara ini.


1 comment:

  1. Assalamualaikum Putra,

    Memang Indonesia jiran terdekat dan terpenting bagi Negara kita Malaysia.

    Kita serumpun Bangsa dan kebanyakkan rakyat pun berAgama Islam.

    Terima Kasih atas doa doa buat Mak Cik, InsyaAllah swt Mak Cik akan doakan untuk kesejahteraan kita semua, terutama negara kita tercinta. InsyaAllah.

    ReplyDelete