Wednesday, December 1, 2010

MARUAH TERGADAI, BANGSA MENDERITA DI TANAH AIR SENDIRI JIKA ........




Maruah tergadai, bangsa menderita

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, mengingatkan raja-raja Melayu supaya berhati-hati dengan 'Si Kitol' yang didakwanya bermuka-muka mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu.

Sebenarnya tidak sukar mengenali 'Si Kitol' yang beliau maksudkan itu. Mereka adalah orang yang menolak ketuanan Melayu kerana raja-raja adalah sebahagian daripada ketuanan Melayu itu sendiri.

Khalid tidak perlu berselindung di sebalik kepura-puraan itu kerana beliau adalah sebahagian daripada mereka yang menolak ketuanan Melayu itu.

Khalid harus sedar ketuanan Melayu itulah juga yang meletakkan kedudukan beliau dari seorang kampung menjadi kaya raya hasil daripada dasar kerajaan yang bertunjangkan ketuanan Melayu.

Elok sangatlah kalau Khalid Ibrahim menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya, Wan Azizah dan Azmin Ali supaya jangan menjadi 'Si Kitol' yang memporak-perandakan bangsanya dengan menolak ketuanan Melayu.

Azmin mahu berperang habis-habisan untuk menghapuskan ketuanan Melayu. Adakah beliau sedar dengan penghapusan itu maka hak-hak orang Melayu yang dilindungi perlembagaan akan turut terhakis?

Mungkin beliau boleh berlagak sombong kerana beliau juga sudah kaya-raya yang tidak lagi memerlukan ketuanan Melayu. Tetapi bagaimana dengan bangsa Melayu termasuk Melayu di dalam PKR yang masih memerlukan pembelaan?

Saya masih tidak dapat membayangkan bagaimana jadinya orang Melayu jika PKR memerintah kerana hak ketuanan Melayu sudah tidak ada lagi. Dengan apa orang Melayu mahu menuntutnya?

Orang-orang Melayu dalam PKR patut memikirkan hal ini dengan fikiran yang waras. Bukan bertepuk tangan apabila Anwar, Wan Azizah dan Azmin berucap mahu menghapuskan ketuanan Melayu.

Mengapa orang Melayu dalam PKR begitu gembira bila pemimpinnya berkata ketuanan Melayu wajib dihapuskan? Semoga Tuhan membuka hati mereka. Bersoraklah secara rasional.

Ingatlah jangan menang sorak, kampung tergadai. Tanpa ketuanan Melayu masa depan anak cucu cicit kita akan menanggung derita. Jangan memikirkan kepentingan politik jangka pendek hingga sanggup membuang apa yang menjadi hak kta.

Hendak berpolitik biarlah ada kewarasan dan rasional. Jangan gadaikan maruah bangsa sendiri semata-mata kepentingan diri walaupun seperti kata Azmin beliau sanggup dianggap sebagai pengkhianat bangsa. Begitu sekali bencinya beliau kepada ketuanan Melayu.

Beliau seorang memang tidak rugi apa-apa termasuk Anwar dan Wan Azizah. Tetapi bagaimana dengan bangsa Melayu seluruhnya? Mereka akan merempat di tanah air sendiri. Segala-galanya tidak berguna. Ambillah iktibar daripada peristiwa 13 Mei.

Jadi memang patut sangat Khalid Ibrahim bimbang dengan kewujudan 'Si Kitol' yang sebenarnya ada di dalam rumahnya sendiri dan 'Si Kitol' inilah yang akan menendang beliau keluar. Kalaulah mereka sanggup menendang bangsa sendiri, apalah sangat Khalid.

M. HANAFIA A. SAMAD

Muar, Johor