Tuesday, November 17, 2009

PENGAJARAN BUAT SEMUA YB DI SELURUH MALAYSIA

UMNO Kedah sedia hadapi pilihan raya kecil

BANGI 17 Nov. - UMNO Kedah telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil jika rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, tidak berpihak kepada parti itu.

Pengerusi badan perhubungannya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, UMNO negeri sememangnya telah bersedia sejak dari awal lagi bagi menghadapi segala kemungkinan termasuk apa yang berlaku di DUN tersebut.

"Kita sudah membuat susun atur dan rangka kerja dari mula lagi termasuk strategi gempur untuk setiap bahagian di Kedah," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bulanan kementeriannya di Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Kerusi DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam ekoran penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abu Hassan Sarif gagal menghadiri dua sidang DUN secara berturut-turut.

Keputusan itu dibuat setelah Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sebelum ini mengekalkan Abu Hassan sebagai wakil rakyat di situ.

Abdul Isa memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN bagi kerusi tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua sidang DUN secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat

Semalam Mohd. Shafie berkata, UMNO akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Menurutnya, rayuan akan dibuat secepat mungkin berdasarkan keputusan awal SPR sebelum ini bahawa kerusi itu masih disandang oleh Abu Hassan


Putrakencana :

Jadikanlah kes ini sebagai satu pengajaran buat semua Yang Berhormat supaya peka akan tugas-tugas Hakiki mereka.
Anda semua telah di lantik oleh Rakyat untuk berkhidmat untuk Rakyat.

Jangan abaikan Amanah ini.

Wednesday, November 11, 2009

FAHAMLAH DULU WAHAI GURU GRED DG 41





Ramai guru tidak faham dasar

Ketidakpuasan guru Gred DG 41 mengenai gaji guru Gred 32 telah berlarutan bertahun-tahun di akhbar, termasuk akhbar Utusan Malaysia. Kebanyakan para guru Gred DG 41 sebenarnya tidak tahu mengenai dasar kenaikan pangkat dan juga skim kenaikan pangkat anggota perkhidmatan awam Malaysia.

Untuk makluman guru Gred 41, semua skim kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam adalah sama, tidak kira di jabatan mana berkhidmat. Cuma kelebihan diberikan kepada guru untuk dinaikkan pangkat selepas 10 tahun berkhidmat selepas melepasi beberapa syarat yang telah ditetapkan dalam gred yang sama, berbanding kakitangan perkhidmatan awam yang lain 15 tahun.

Untuk makluman, Gred 32 dan Gred 38 adalah gred kenaikan pangkat bagi Gred 29 (berkelulusan diploma) sementara gred kenaikan pangkat bagi Gred 41 (berkelulusan ijazah) adalah Gred 44,48,52,54 dan seterusnya JUSA.

Para guru Gred 41, apabila tiba masanya 10 tahun berkhidmat dalam gred yang sama, akan juga dinaikkan pangkat ke Gred 44 selepas melepasi beberapa syarat yang telah ditetapkan. Sudah semestinya gaji permulaan Gred 44 lebih tinggi daripada gaji permulaan Gred 32.

Jangan bandingkan gred kenaikan pangkat iaitu Gred 32 dengan guru yang baru masuk kerja di Gred 41 atau guru Gred 41 yang belum dinaikkan pangkat atau tidak cukup servis dalam gred yang sama, sungguh pun guru baru itu bergred lebih tinggi. Semua pegawai di jabatan lain faham mengenai dasar tersebut kecuali kebanyakan para guru tidak faham.

Sepatutnya sebagai kakitangan awam, para guru wajib tahu tentang skim perkhidmatan awam dan begitu juga skim perkhidmatan mereka. Sudah semestinya gred lebih tinggi akan mendapat gaji lebih tinggi daripada gred bawahannya. Mana mungkin gred lebih tinggi itu mendapat gaji lebih rendah daripada pegawai gred lebih rendah.

Isu yang timbul sebenarnya guru gred lebih rendah telah dinaikkan pangkat. Sudah semestinya guru gred lebih rendah yang telah dinaikkan pangkat, lebih tinggi gajinya daripada guru gred lebih tinggi yang baru berkhidmat.

Perlu diingat gaji maksimum guru Gred 41 yang belum dinaikkan pangkat jauh lebih tinggi daripada gaji maksimum guru Gred 32 atau pun Gred 38.

Oleh itu saya mengesyorkan supaya para guru diberi kursus khas atau taklimat khas mengenai skim-skim mereka dan juga skim kenaikan pangkat dan gred-gred dalam perkhidmatan awam sebelum diserapkan menjadi guru. Pada saya sebagai kakitangan awam para guru mesti tahu mengenai skim tersebut dan tidak perlu menghebohkannya di akhbar. Kementerian Pelajaran adalah jabatan yang bertanggungjawab untuk memberi penjelasan tersebut kepada staf mereka, terutamanya para guru sebelum para guru itu menjadi guru sebenar di sekolah.

Saya berasa sangat hairan kerana isu ini sering didedahkan di akhbar sejak beberapa tahun lalu tetapi tiada tindakan oleh pihak yang berkenaan, terutamanya Kementerian Pelajaran atau pun Institut Perguruan itu sendiri.

Cara yang paling baik dan berkesan untuk menerangkan mengenai skim ini kepada para guru adalah para Guru Besar atau Pengetua.

Pegawai Kanan Kerajaan

Putrajaya

Wednesday, November 4, 2009

NAJIB MEMBUAT KESILAPAN BESAR.





SALAH DI SEGI MORAL UNTUK MEMINTA BONUS - NAJIB

Bernama
4/11/2009

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri berkata adalah salah di segi moral untuk meminta mendapatkan bonus kerana negara ini masih bergelut untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan ramai pekerja di sektor swasta dibuang kerja.

"Adalah salah di segi moral untuk meminta mendapatkan bonus apabila ekonomi belum pulih. Saya sentiasa memberitahu Ceupacs (Presiden Omar Osman) bahawa ia tidak boleh bertindak seperti kesatuan sekerja, setiap kali meraung meminta bonus (setiap kali pembentangan bajet) kerana anda mahu menjadi (kekal) popular di kalangan ahli anda," katanya.

Cuepacs, badan induk bagi kesatuan pekerja sektor awam, kini mendesak kerajaan untuk mendapatkan bonus dua bulan bagi 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

"Di dalam sektor swasta, pekerjanya dibuang kerja dan ia tidak berlaku di dalam perkhidmatan kerajaan.

"Bagaimana pun, itu tidak bermakna pekerja cemerlang tidak boleh diberi ganjaran tetapi malangnya sistem sedemikian tidak diwujudkan.

"Jika kita ada sistem yang memotivasikan mereka, tenaga kerja awam juga boleh meningkat untuk menjadi pekerja berprestasi tinggi. Kita sepatutnya memberi ganjaran kepada mereka.

"Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka menjadi yang kedua terbaik, tingkatkan prestasi mereka.

"Benar, sesuatu bantuan yang kecil perlu dihulurkan," katanya, sambil menyatakan bahawa "ia seperti permainan golf, sedikit handicap, tetapi mereka perlu mengurangkan lebih masa, dari 24 kepada 18, 12 dan kemudiannya satu angka dan bersaing secara setara dengan pekerja lain.

"Ia juga sama dengan Bumiputera; dari masa ke semasa mereka perlu mengurangkan handicap masing-masing.

"Anda tidak boleh berada pada 24 sepanjang masa. Saya mengimpikan satu hari nanti apabila Bumiputera berupaya bersaing dengan sesiapa pun yang tiada handicap. Hari itu akan tiba. Jadi, kita kurangkannya perlahan-lahan.

Bukan Bumiputera merasakan sistem semasa tidak adil tetapi saya jadikannya lebih adil. Setiap rakyat Malaysia akan dilayan dengan adil di negara ini," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, semasa berucap di Forum Majlis makan Tengah Hari Perniagaan Bankers' Club.

Dua pakej rangsangan RM67 bilion kerajaan telah membantu menampan kesan kemelesetan ekonomi global.

Sehubungan itu, ekonomi negara ini dijangka mengecut hanya 3.0 peratus pada tahun ini, iaitu lebih rendah daripada unjuran lebih awal iaitu penguncupan sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini dijangka mengembang kira-kira 3.0 peratus pada tahun depan.

Kerajaan telah mengambil langkah berani untuk mengurangkan defisit Kerajaan Persekutuan pada tahun depan kepada 5.6 peratus berbanding 7.4 peratus tahun ini.

--BERNAMA