Sunday, January 31, 2010

DARI DULU SEHINGGALAH KINI, PKR JADI BONEKA DAP.


Zainal sifatkan PKR boneka DAP

PULAU PINANG 31 Jan. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) diselar kerana sanggup membiarkan parti itu menjadi boneka dan 'pak turut' kepada kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sepanjang lebih dua tahun mentadbir, tindak tanduk Setiausaha Agung DAP itu jelas menunjukkan beliau mahu memimpin negeri mengikut caranya sendiri.

Malah, katanya, Guan Eng juga sanggup menyingkirkan siapa sahaja yang tidak sehaluan dengannya seperti berlaku kepada bekas Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin yang 'terpaksa' melepaskan jawatan.

''Perkara sama juga menimpa Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang selama ini lantang mengkritik Guan Eng dan akhirnya 'terpaksa' melepaskan jawatan Pengerusi PKR negeri.

''Jika perkara ini berterusan tidak mustahil rakyat akan melabelkan PKR sebagai boneka dan 'pak turut' kepada Guan Eng," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara seumpama itu juga tidak pernah terjadi sepanjang lebih 34 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang kerana parti itu mengamalkan konsep permuafakatan.

Tambahnya, dalam tempoh itu juga, semua parti komponen BN di negeri ini iaitu UMNO, Gerakan, MCA, MIC dan PPP tidak pernah membuat keputusan yang mementingkan sebahagian pihak sahaja.

''Semasa BN perintah, apa jua keputusan akan dibuat secara permuafakatan dan ia dilakukan demi kepentingan rakyat negeri ini dan tidak seperti kerajaan sekarang yang hanya mementingkan kelompok tertentu," ujarnya.

Tuesday, January 26, 2010

Demi Menegakkan Kebenaran




‘Rela dipecat’

Oleh Zulkiflee Bakar dan Saiful Haizan Hasam
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menegaskan beliau bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan ketegasannya dalam memperjuangkan isu berkaitan Islam.

Walaupun akur dengan keputusan mesyuarat Biro Politik PKR hari ini yang akan menghadapkan beliau kepada jawatankuasa disiplin parti kerana membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, namun Zulkifli berkata, beliau juga mempunyai hak dan pendirian berhubung perkara itu.

‘‘Tidak apa saya tunggulah sebulan apa yang hendak dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana ia dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan parti, itu hak mereka, tetapi saya juga ada hak.

‘‘Malahan saya tidak perlu pun tunggu sebulan untuk mengambil pendirian dan membuat keputusan, saya ada pilihan berbuat demikian tanpa menunggu jawatankuasa disiplin,’’ katanya.
Add to Google


Salam 2 all.

ALLAH berfirman yang mafhumnya tiap orang yang beriman pasti akan di uji. Rasulullah saw bersabda, diakhir zaman nanti untuk menjadi Islam itu adalah pelik, sebagaimana Islam itu bermula pelik. Dan kata Rasulullah, kelak nanti kamu akan melihat nanti memegang kepada Islam adalah saperti memegang bara api!!

Melihat kepada kenyataan akhbar yang riuh dibuat adalah jelas hukuman sudah pun dijatuhkan kepada saya walaupun belum lagi ada apa-apa prosiding dibuat terhadap saya. Kelihatan Fira'un-Fira'un Kecil mula menyalak sana sini menuntut kepala saya dipancung!

Dosa saya: hanya kerana mempertahankan kalimah suci ALLAH daripada disiat-siut dan dicemar oleh golongan yang terlalu mempertuhankan politik. Politik menghalalkan segala cara walaupun perlu menggadai anak bini, politik itu tuhan walaupun ALLAH terpaksa di pijak.

Sejak berjuang untuk Islam, saya sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Dari zaman saya mula mengenal Islam sebagai suatu addeen yang indah dan benar, saya sudah bersedia untuk menerima hakikat saya akan menerima pelbagai cabaran dan halangan.

Lebih banyak dugaan dan cubaan, lebih saya bersyukur kepada ALLAH. Sedangkan Nabi kekasih ALLAH melalui ujian yang maha hebat, inikan insan kerdil saperti saya.

Cuma yang peliknya, sampai sa'at saya menulis ini, saya masih belum menerima apa-apa notis untuk menghadiri apa-apa prosiding jawatankuasa disiplin atau Biro Politik yang katanya nak bersidang hari ini untuk menentukan tindakan terhadap saya. Sedang Fira'un-Fir'aun Kecil ini sudah pun dalam proses mencincang lumat saya didalam media sana sini, tapi sehingga kini saya tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau hak membela diri.

Yang saya diberitahu, cuma ada satu taklimat khas oleh DSAI untuk semua wakil rakyat dan pimpinan tertinggi PKR pagi ini berkaitan kes liwat yang akan bermula minggu depan. Itupun saya telah maklumkan saya tidak dapat hadir kerana sudah ada program terdahulu yang tidak dapat saya batalkan.

Apa pun, saya telah menegaskan bahawa dalam isu penyalahgunaan kalimah ALLAH ini saya tidak akan berkompromi walau setitik. Saya bersedia dengan sebarang kemungkinan. Moga ALLAH memberikan keampunanNya kepada saya dan memberi petunjukNya. Ameen.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
10 Safar 1431
26 Januari 2010

Thursday, January 14, 2010

TINDAKAN YANG PALING TEPAT




NGO alu-alukan saranan penarikan tuntutan guna kalimah Allah

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengalu-alukan saranan seorang tokoh Kristian dari Sabah agar akhbar Herald-The Catholic Weekly supaya penerbitan itu menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah di mahkamah.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, dalam menangani isu itu, setiap rakyat di negara ini perlu bersikap rasional dan tidak bertindak mengikut emosi demi menjamin keselamatan negara.

"Kita jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran dan iktibar agar semua orang lebih menghormati sensitiviti masing-masing," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang mahu akhbar berkenaan bersedia menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di mahkamah.

Clarence berkata, langkah itu perlu kerana sudah tiba masanya masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam.

Abu Zahar juga berkata, segala kekalutan mengenai kejadian yang berlaku kerana isu kalimah Allah di negara ini sedang diperhatikan oleh dunia luar.

Justeru, katanya, setiap rakyat harus sedar sekiranya negara berada dalam keadaan huru-hara, pastinya ia akan menakutkan para pelabur seterusnya merencatkan kestabilan ekonomi negara.

Timbalan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Dr. Ahmad Kamsani Samingan berkata, cadangan tersebut disifatkan amat wajar diterima oleh penganut Kristian kerana mampu menenangkan keadaan tegang masa kini.

"Selama ini orang Kristian tidak mempunyai masalah pun menggunakan perkataan tuhan tetapi kenapa kini beria-ria mahu menggunakannya," katanya.

Tambahnya, jika akhbar berkenaan benar-benar ikhlas dan mahu melihat keharmonian negara ini mereka sepatutnya bersetuju menggugurkan tuntutan tersebut.

"Mereka perlu faham penggunaan kalimah Allah amat sensitif bagi orang Islam, justeru mereka perlu menghormatinya," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, segala keputusan kini perlu diserahkan kepada mahkamah.

"Sekarang ini keputusan sedang dirayu dan ditangguhkan, oleh itu adalah sebaik-baiknya kita nantikan keputusan mahkamah demi menghormati institusi perundangan tersebut.

"Masyarakat juga perlu memberi peluang kepada mahkamah untuk membuat keputusan yang sebaiknya," ujarnya.

Wednesday, January 6, 2010

MAHKAMAH TINGGI TANGGUH PELAKSANAAN





Tangguh pelaksanaan

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly berikutan persetujuan Menteri Dalam Negeri dan Gereja Katolik demi kepentingan negara.

Hakim Datuk Lau Bee Lan memutuskan demikian di kamar beliau petang ini setelah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan peguam mewakili Gereja Katolik, Derek Fernandes mencapai kata sepakat supaya perintah tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 31 Disember lalu, Hakim Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya setelah beliau berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah tersebut dan ia bukannya eksklusif kepada umat Islam.

Menteri Dalam Negeri semalam telah mengemukakan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah itu setelah rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu.

Abdul Gani yang tiba pada pukul 2.20 petang mengetuai barisan empat Peguam Kanan Persekutuan terdiri daripada Datuk Kamaludin Md. Said, Suzana Atan, Mahamad Naser Disa dan Andi Razalijaya A. Dadi.

Mereka bersama Fernandes dan peguam-peguam, S. Selvarajah, Benjamin Dawson serta Annou Zavier mewakili Gereja Katolik dilihat masuk ke kamar Hakim Bee Lan pada pukul 2.45 petang selama hampir 30 minit.

Sebelum itu, editor Herald - The Catholic Weekly, Lawrence Andrew dilihat menemui Abdul Gani di sebuah bilik saksi di dalam mahkamah tersebut.

Bercakap kepada pemberita sejurus keputusan dibuat, Abdul Gani memberitahu:

''Kami tidak mahu perkara ini dilengah-lengahkan kerana ia membabitkan kepentingan negara. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang mewakili pihak responden yang bersetuju dengan permohonan penangguhan yang dikemukakan.

''Kami akan mengemukakan permohonan agar rayuan didengar secepat mungkin di Mahkamah Rayuan. Saya ingin menegaskan tiada berlaku sebarang salah anggap hanya disebabkan perkara ini didengar dengan segera.

''Sebaliknya ia hanya untuk mengelakkan daripada berlaku ketegangan, masalah dan salah tanggapan. Saya percaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin. Semua pihak mesti menghormati keputusan mahkamah,'' kata Abdul Gani.

Ditanya sama ada berlaku sebarang tekanan daripada mana-mana pihak, Abdul Gani berkata:

''Kamu tidak boleh mengatakan wujudnya tekanan atau tidak. Ini kerana tekanan memang wujud dalam semua kes. Saya tidak mahu memberi sebarang persepsi sekarang. Biarlah perkara ini diselesaikan terlebih dahulu.''

Sementara itu peguam Fernandes pula memberitahu: ''Kami cintakan keamanan. Justeru itu, kami ingin tindakan tegas diambil terhadap orang yang menghina mahkamah di luar sana dengan membuat kenyataan di luar mahkamah.''

Terdahulunya, tiga peguam Zainul Rijal Abu Bakar, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Abdul Rahim Sinwan yang mewakili enam majlis agama Islam dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang turut masuk dalam kamar hakim terpaksa keluar setelah mahkamah tidak membenarkan mereka berhujah.

Hakim Bee Lan berbuat demikian selaras dengan keputusan beliau sebelum ini yang menolak permohonan enam Majlis Agama Islam dan Macma untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman tersebut.

Enam majlis agama Islam yang memohon menjadi pencelah dalam kes itu ialah Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Terengganu, Melaka dan Johor.

Sunday, January 3, 2010

RENUNG-RENUNGLAH WAHAI UMAT MELAYU






Kiasi lebih baik daripada ultra kiasu

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia.
Rencana ini adalah pendapat peribadi penulis.

Saya berterima kasih kepada sebuah laman web Malaysian Insider kerana sudi mengulas dan menyiarkan artikel saya dalam laman mereka. Kasihan mereka, artikel dan komen yang baik-baik yang menyokong saya, ditapis dan tidak disiarkan, manakala yang buruk dan negatif diperbesarkan. Mereka sengaja melakukan demikian supaya saya dihentam dan dikritik, termasuk kalangan orang Melayu sendiri yang saya fikir tidak ramai, supaya saya menyerah kalah atau mematikan watak (character assassination). Itulah hakikat yang saya kena terima. Sekutu-sekutu ultra kiasu begitu ramai, menjadi musuh dalam selimut bertindak pepat di luar rencong di dalam. Seperti biasa mereka turut mengaitkan saya sebagai penulis upahan dan tali barut UMNO.

Kepada mereka yang ultra kiasu, kenapa seperti cacing kepanasan? Ramai penulis Melayu yang menulis dan mengutuk Melayu dan Islam, tetapi orang Melayu Islam ini relaks sahaja. Tidak mudah melatah, tidak maki hamun sampai satu keturunan. Inilah sifat yang amat saya puji. Malangnya, bila saya sentuh sedikit sahaja tentang segelintir bangsa saya yang bersifat ultra kiasu, Malaysia semacam sudah tidak ada isu lain, seluruh golongan ultra kiasu bersatu hati bangun mengutuk, menghina dan mencerca saya satu keturunan. Inilah bezanya antara orang Melayu Islam dengan bangsa saya.

Saya fikir sifat orang Melayu yang terlalu bertolak-ansur ini disebabkan oleh mereka beragama Islam. Inilah juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan saya memeluk Islam dengan izin Allah. Jika ditakdirkan Melayu tidak Islam, saya akan biarkan mereka terjun dengan labu-labunya. Agama menyatukan kita semua tidak kira bangsa, tanpa menafikan hak bukan Islam. Namun, saya masih bimbang, adakah terlalu bertolak ansur selama-lamanya boleh diamalkan sehingga kaduk naik junjung?

Tengoklah cara ultra kiasu ini berfikir, bila ada sahaja penulisan yang menyebelahi Melayu Islam maka saya dikaitkan dengan UMNO. Apakah selama UMNO memimpin negara ini kehidupan ultra kiasu menderita dan ditindas? Apakah kekayaan yang dimiliki bukan Melayu melebihi 70 peratus adalah hasil usaha sendiri, bukan disebabkan oleh sistem hidup bernegara yang diterajui oleh orang Islam yang menjadi orang bukan Islam dapat hidup senang lenang? Baik sangatkah mereka yang memerintah Selangor dan Pulau Pinang? Saya lihat sama sahaja. Kalau di Majlis Perbandaran, lihatlah wajah-wajah dan betapa rakusnya mereka merebut projek perbandaran. Dahulu, kata UMNO kroni, bila mereka memerintah adakah ia bukan kroni?

Saya tidak mengatakan bahawa UMNO itu semua betul. UMNO juga mesti berubah dari aspek peribadi akhlak pemimpin dan pengurusan bernegara, jika ingin terus relevan bagi mendapatkan keyakinan rakyat. Jangan sampai kumpulan ultra kiasu berjaya memerintah. Bila ultra kiasu dapat peluang memerintah nanti, kita akan menyesal seumur hidup. Ingatlah, puak ultra kiasu ini amat licik orangnya. Sengaja membutakan hati dan mata.

Saya diminta kemukakan fakta ketika menulis. Apakah yang saya lontarkan itu bukan fakta? Lagipun saya bukan menulis jurnal.Tidak perlulah mengajar saya siapakah dia John Locke dan Thomas Hobbes bila bercakap tentang kontrak sosial. Baca juga pendapat Rousseau untuk memahami makna kontrak sosial yang sebenar. Janganlah petik kata-kata yang tidak menyebelahi diri untuk diaplikasikan agar kita nampak pandai, tetapi sebenarnya tidak.

Diperalatkan

Saya tidak begitu berminat untuk memetik kata-kata sarjana barat ini walaupun saya banyak membaca buku mereka. Saya lebih tertarik dengan pendapat orang Islam, sebab pendapat orang Islam berpandukan kepada Quran dan hadis. Tidak mudah untuk diperalatkan. Jangan biarkan diri kita jahil. Malaysian Insider dan ultra kiasu amat suka orang-orang jahil ini supaya akhirnya mereka boleh menjadi pengikut Santa Claus.

Janganlah mudah berkata di hati mereka ada 'bulan'. Jika memang di hatinya ada bulan, sudah lama mereka turut mengharamkan arak, zina, nombor ekor dan sebagainya. Tetapi mereka ini licik, menyamar untuk mengikuti jejak Umar Abdul Aziz untuk mencairkan jiwa raga kita.

Mereka begitu teruja dengan formula yang saya kemukakan iaitu berasaskan peratusan kaum (agama), 60 peratus Islam, 40 peratus bukan Melayu (22 peratus Buddha-Taoisme-Konfucius, 9 peratus Kristian, 6 peratus Hindu, 3 peratus lain-lain) dan kaitan dengan perayaan dan aktiviti keagamaan. Saya telah sebut, atas dasar toleransi maka formula ini tidak pernah dilaksanakan. Persoalannya, adakah hak mereka dinafikan selama ini sebagaimana yang digembar-gemburkan laman web ultra kiasu tersebut? Jika laman web tersebut boleh menulis apa yang mereka suka, apakah saya tidak boleh? Apakah berita-berita mereka tidak perkauman? Jangan terlalu jahat dengan menuduh orang lain penjahat?

Jika tidak setuju dengan formula saya, bagilah formula ultra kiasu. Tetapi asasnya mestilah Perlembagaan, bukannya Malaysian Malaysia. Kalau Malaysian Malaysialah formulanya, eloklah berbincang dengan Lee Kuan Yew untuk berhijrah ke sana. Bukalah laman web baru di sana, dan cuba kutuk kerajaan Singapura, saya fikir sudah lama laman web tersebut dibuang jauh-jauh, apatah lagi untuk membuka sekolah sendiri.

Teringat saya kepada buku terbaharu karangan SP Huntington bertajuk Who are we . Beliau mengatakan Amerika sejak awal lagi mengambil pendekatan mengasimilasikan semua bangsa yang datang berhijrah demi untuk mencapai perpaduan. Berdasarkan pendapat Huntington ini, tidak timbul soal Amerika itu lebih terbuka sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu ini. Jangan buat gimik. Tok Guru tidak perlu pinda Perlembagaan negeri Kelantan untuk melantik bukan Melayu Islam menjadi menteri besar. Ini kerana bukan Melayu di sana amat sedikit bilangan. Jagalah dan tarbiyyahlah dulu saudara-saudara baru yang masih merempat di sana, itu lebih banyak manfaat daripada membuat tindakan politik terburu-buru. Saya yakin secara senang hati orang Melayu dapat menerima bukan Melayu Islam menjadi pemimpin jika mereka bukan bersifat ultra kiasu, tetapi mempunyai keperibadian Islam yang tinggi dan memahami kaum majoriti.

Saya tidak pernah menafikan hak orang bukan Islam selaku minoriti di negara ini. Jika nafikan, bermakna, saya nafikan juga keturunan saya. Cuma biarlah berpada-pada, hargai toleransi yang telah ditunjukkan. Jangan asyik berkokok, ekor bergelumang tahi. Orang Melayu terlalu bertoleransi, sehingga hak mereka semakin terhakis pun mereka tidak banyak bising. Itu sebabnya saya perlu sedarkan mereka. Saya bimbang bila Melayu hancur, agama Islam yang suci akan turut hancur. Saya tidak pertikaikan hak mereka, tetapi jangan sampai menenggelamkan hak majoriti Islam.

Saya menulis bukan untuk mengambil hati sesiapa atau pun mahu menjadi popular. Kalau sekadar untuk popular, saya sudah popular sejak dahulu lagi. Cuma saya terpaksa tulis sebab kaduk telah naik junjung. Saya bimbang segelintir ultra kiasu ini akan merosakkan semua bukan Melayu yang kurang ultra kiasu. Mereka yang kurang kiasu patut dihargai dan dilindungi berbanding dengan ultra kiasu. Ultra kiasu perlu ingat, apapun yang berlaku hari ini, orang Melayu hanya rugi untuk jangka pendek. Dalam jangka masa panjang, saya tidak fikir mereka akan rugi. Bilangan orang Melayu semakin ramai berdasarkan kepada trend kelahiran, begitu juga dengan mereka yang menyertai pasukan keselamatan seperti tentera dan polis. Apa pun berlaku nanti, pasukan keselamatanlah yang akan mengambil tanggungjawab negara ini. Jika ini berlaku, siapakah yang rugi? Sudah tentu bukan Melayu yang kurang kiasu akan rugi. Kumpulan ultra kiasu sudah tentu akan cabut lari.

Kadangkala menitis air mata mengenangkan masa depan Islam dan umat Islam. Bukan kerana kiasi (takut mati), tetapi memikirkan apakah anak cucu cicit kita akan mewarisi perjuangan kita untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara? Atau mungkihkah mereka akan menjadi cair dengan strategi licik golongan ultra kiasu ini? Jika inilah yang berlaku, amat malang bagi Malaysia, sebuah negara bermula dengan Tanah Melayu. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku. Jangan ulangi kesilapan yang sama. Jika kita silap lagi, saya amat bimbang kita tidak dapat berpatah balik. Ingatlah, kadangkala Allah beri kita peluang, kadang kala tidak. Islam sukar untuk bangkit selagi umat Islam tidak ubah pemikirannya.

Lihatlah bagaimana cara Rasulullah melayan mereka sebelum Islam dengan selepas memasuki Islam. Ingatlah ayat Quran ini tanpa menafikan hak orang bukan Islam. "Hai orang yang beriman, siapa saja di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang mencintai-Nya, dan mereka pun cinta pada-Nya, mereka bersifat lemah lembut terhadap kaum muslimin, dan tegas keras terhadap orang kafir, selalu berjuang untuk menegakkan agama Allah dan tidak menghiraukan celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui" [Al maidah, ayat 54]

Ayat ini menyuruh kita berlembut dengan orang Islam. Ia juga menyuruh kita bertegas dan bersikap keras terhadap bukan Islam yang ultra kiasu. Bukannya kita boleh pukul rata dengan sikap berlembut kita terhadap orang bukan Islam. Kajilah sama ada mereka ultra, sederhana atau kurang kiasu. Apatah lagi jika mereka banyak melakukan kerosakan di muka bumi ini seperti kafir harbi. Perlukah kita berkompromi dengan mereka?

RENUNG-RENUNGLAH WAHAI UMAT MELAYU

Antara tuduhan penjahat dan jahat

Oleh Dr.Mohd Ridhuan Tee

Utusan Malaysia dituduh akhbar yang mengapi-apikan sentimen perkauman yang boleh menggugat keharmonian kaum. Lebih ekstrem lagi, akhbar ini dilabelkan sebagai penjahat. Jika akhbar itu penjahat bermakna wartawan, kolumnis dan juga penulis akhbar ini juga penjahat.

Persoalan saya, apakah akhbar tabloid parti ultra kiasu dan parti-parti politik perkauman lain dan mereka yang bersekongkol tidak jahat?

Parti ultra kiasu dan kuncu-kuncunya bukan sahaja jahat, tetapi terang dan nyata lagi berniat jahat dengan menolak kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan serta mencabar perkara-perkara sensitif yang telah dipersetujui bersama. Rakan sekutu parti ultra kiasu langsung tidak berani bersuara kerana takut hilang sokongan.

Bila mereka tidak dapat apa yang dihajatkan maka gagasan 1Malaysia akan dijadikan hujah mendapatkan simpati. Rakan-rakan perkauman mereka dalam komponen Barisan Nasional (BN) sebenarnya mempunyai pendirian yang sama. Mereka pandai berstrategi. Ultra kiasu menyalak di luar, di dalam rakan-rakan mereka menjalankan kerja. Mereka sebenarnya senada. Cuma kita masih terlepas pandang.

Saya tidaklah menyatakan bahawa Utusan Malaysia semuanya baik. Tidak ada sesuatu yang sempurna di dunia, kecuali Allah SWT dan Rasul-Nya. Ingatan saya kepada ultra kiasu, janganlah gajah depan mata tidak nampak, kuman seberang laut jelas kelihatan. Berpada-padalah dalam memberikan pandangan. Jangan asyik nampak kesalahan orang lain, tanpa muhasabah diri.

Dalam memahami politik Malaysia, isu-isu perkauman dibangkitkan untuk mendapatkan sokongan politik dan menyedarkan kaum masing-masing siapa mereka dan apa yang sepatutnya diperolehi. Manakala isu-isu sensitif dibangkitkan untuk mendapatkan hak sama rata dan sama rasa bagi kumpulan ultra kiasu. Mereka tahu perkara ini tidak boleh dibangkitkan secara terbuka kerana ia boleh dikenakan tindakan di bawah akta hasutan. Mereka sengaja mahu menguji UMNO yang ketika ini berada dalam keadaan agak tertekan disebabkan tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan perpecahan Melayu Islam.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti tahu bahawa konsep sama rata dan sama rasa tidak menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan, walaupun konsep Malaysian Malaysia yang selalu dilaung dan didesak oleh parti ultra kiasu. Ingat, agama Islam agama majoriti masyarakat negara ini. Jika ada 'kelebihan' pada agama Islam, ia bukanlah satu diskriminasi kerana selaku majoriti, Melayu Islam berhak, apatah lagi ia telah dipersetujui melalui kontrak sosial. Tidak perlu dipertikaikan atau dituduh tidak adil.

Untuk mengelakkan daripada parti ultra kiasu ini menjadi bertambah jahat, setidak-tidaknya kita mesti menggariskan formula bagi menyelesaikan kejahatan ini. Formula saya adalah berasaskan kepada pecahan statistik agama dan bangsa di negara ini. Mengikut bancian tahun 2000, anutan agama rakyat Malaysia adalah seperti berikut 60.4 peratus Islam, 40 peratus bukan Melayu (12 peratus-Buddha-Taoisme- Konfusius, 9 peratus Kristian, 6 peratus Hindu, 3 peratus lain-lain). Formula ini boleh diaplikasikan dalam konteks kehidupan bernegara termasuk hak-hak beragama dan sambutan perayaan setiap kaum, bagi mendapatkan keadilan. Formula ini menepati sebahagian maksud keadilan dalam Islam yang membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya walaupun tidak sepenuhnya.

Atas dasar toleransi, formula ini boleh dikatakan langsung tidak diterima pakai, sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial.

Saya fikir, umat Islam di negara ini amat berlembut dan bertoleransi tinggi. Upacara perayaan keagamaan dan kematian begitu beradab serta mudah. Jalan raya tidak sesak. Kuburnya begitu kecil.

Formula yang saya sebutkan perlu dijadikan panduan. Adakah adil bila mana bilangan orang bukan Islam tidak ramai, tetapi kubur mereka menenggelamkan kubur orang Islam. Pernahkah kita bertanya pandangan orang Islam dan sensitiviti mereka? Mereka yang mempunyai wang akan membina kubur setinggi-tinggi dan seluas-luas serta secantik-cantik kubur dengan patung-patungnya yang didirikan saujana mata memandang. Sedangkan kubur orang Islam, apa jua kedudukannya, kuburnya amat sederhana kerana Islam tidak percaya kepada reka bentuk kubur. Tiada kubur pun tidak ada masalah. Apa yang penting ialah iman dan takwa yang dibawa ke alam kubur atau barzakh.

Contoh lain, seorang profesor Kristian di tempat kerja saya berhujah dengan saya baru-baru ini. Katanya, hak beragama mesti berasaskan formula sama rata sama rasa. Antara contoh yang diketengahkan ialah jika ada kelas baca yasin dan solat Jumaat untuk pelajar-pelajar Islam, maka pelajar Kristian mesti diberikan hak yang sama untuk mempelajari agama mereka dan membawa paderi masuk.

Bacaan

Saya katakan kepada beliau, bacalah kitab masing-masing ketika itu, lagipun bacaan yasin dan solat jumaat bukanlah 'kelas agama' ia adalah tanggungjawab individu Islam. Kalau ada kelas agamapun untuk orang Islam, tidak semesti orang bukan Islam sama keadaannya. Tambahan pula, bilangan pelajar Kristian atau bukan Islam amat sedikit bilangannya, cukup dengan kemudahan yang telah disediakan selama ini. Profesor ultra kiasu ini dengan nada beremosi mengatakan itulah adalah hak mereka yang mesti ditunaikan. Saya jawab, apakah hak mereka selama ini tidak ditunaikan? Apakah kita pernah menghalang mereka untuk ke gereja setiap hari ahad? Jangan bandingkan dengan umat Islam kerana cara ibadat kita berbeza. Keperluan kita berbeza. Begitu juga dengan keperluan sembahyang jamaah.

Justeru, konsep sama rata dan sama rasa hendaklah berasaskan formula yang telah digariskan dalam Perlembagaan dan pecahan kaum (agama). Marilah kita melakukan perubahan sebelum terlambat. Jangan akhirnya nanti agama kita merempat di bumi sendiri. Ketika itu sudah terlambat.

Lihat pula dalam toleransi politik. Terbaru, Gerakan begitu marah dengan cadangan UMNO agar kerusi pengerusi BN digilirkan di Pulau Pinang kerana UMNO mempunyai kerusi majoriti. Pengerusi Gerakan dan BN Pulau Pinang berkata, kerusi pengerusi BN telah disandang selama 35 tahun. Kenapa perlu diserahkan kepada orang lain? Persoalan saya, jika UMNO boleh korbankan kerusi parlimen Gerik, kenapa tidak Gerakan? Siapakah yang lebih bertoleransi dan bersifat memberi?

Saya masih ingat, setelah sekian lama UMNO bertanding di parlimen Gerik, kawasan majoriti Melayu, tiba-tiba kerusi itu diserahkan kepada Gerakan. Bekas Menteri Besar Perak ketika itu sedih untuk melepaskan kerusi tersebut. Tetapi disebabkan oleh semangat setiakawan dan kerjasama dalam BN, UMNO terpaksa tunduk dan patuh dengan menyerahkan kerusi Gerik kepada Gerakan. Majoriti Melayu terpaksa mengundi bukan Melayu (Gerakan) walaupun pahit. Inilah sifat mulia Melayu Islam. Adakah toleransi ini dihargai? Ibarat anjing menggigit tuannya, masihkah kita ingat bahawa Ahli Parlimen Grik Gerakan inilah yang mengeluarkan kenyataan bahawa Melayu itu juga adalah pendatang?

Kenapa Gerakan terlalu kuat menentang? Mereka takut selepas ini kerusi Ketua Menteri akan terlepas kepada UMNO jika ditakdirkan BN memerintah semula. Pokok pangkalnya semua kuasa, kuasa, kuasa dan sikap ultra kiasu. Semua meletakkan kepentingan bangsa di hadapan bukannya kepentingan nasional. Kalau inilah cara pembawaannya, saya fikir, gagasan 1Malaysia terlalu jauh untuk dicapai. Ia hanya akan diperalatkan oleh mereka bersikap musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan. Pada mereka kuasa bangsa mesti dipertahankan walaupun apa jua alasan dan cabaran mendatang. Persoalan saya, siapakah yang sebenar penjahat dan lebih jahat?

TUNJUKKAN KITA UMAT MELAYU ISLAM BERSATU




PM menghadap Agong

Oleh YUSRI SAHAT
pengarang@utusan.com.my

PEKAN 3 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam tempoh terdekat ini bagi menjelaskan isu berkaitan penggunaan kalimah Allah yang menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta umat Islam bertenang sambil menyerahkan kepada kerajaan menyelesaikannya menerusi proses undang-undang.

Beliau juga meminta umat Islam terutama kumpulan tertentu mengurangkan aktiviti rapat umum yang boleh memanaskan isu yang amat sensitif itu bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

‘‘Saya akan melakukan sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong nanti dan jika Seri Paduka perkenan, perkara ini akan ditaklimat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuarat akan datang.

*Hisham: KDN akan buat rayuan secepat mungkin

‘‘Seperti mana yang kita tahu, keputusan ini (kebenaran penggunaan kalimah Allah) dibuat oleh Mahkamah Tinggi tetapi kita ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan.

‘‘Kerajaan telah memutuskan perkara ini akan dibuat rayuan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 321 murid pada majlis anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Keputusan mahkamah itu mengundang kemarahan umat Islam di seluruh negara yang mahukan kerajaan dan Majlis Raja-Raja segera campur tangan dalam menangani isu tersebut.

Mengulas lanjut, Najib menegaskan, kerajaan amat memahami sensitiviti masyarakat Islam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beliau juga tidak dapat menafikan berlakunya rapat-rapat umum di kalangan umat Islam di seluruh negara kerana mereka kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah tersebut.

‘‘Saya tahu perasaan umat Islam bagaimana mereka merasa begitu terkilan dengan isu ini dan saya berharap biarlah kerajaan menanganinya dengan sebaik mungkin melalui proses rayuan dan Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan rayuan itu,” katanya.

Berikutan itu, Perdana Menteri berharap isu tersebut dapat diatasi dengan penuh kebijaksanaan bagi memastikan keadaan tidak bertambah buruk.

‘‘Saya berharap keadaan ini tidak bertambah keruh dan kita mengharapkan penyelesaiannya nanti berasaskan kebijaksanaan untuk menyelesaikan isu yang sangat sensitif ini,” tegasnya.

Terdahulu, sebelum mempengerusi mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, Najib yang merupakan Ketua UMNO bahagian itu menerima memorandum daripada 24 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan yang mengetuai 50 ahli NGO terbabit di depan Bangunan UMNO Bahagian Pekan.