Thursday, October 15, 2009

UCAPAN SULUNG SEBAGAI PRESIDEN UMNO







Bangkit untuk berubah

NAJIB Tun Razak berucap penuh bersemangat sambil para perwakilan bingkas bangun memberikan reaksi tanda menyokong Presiden UMNO itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Setiap pemimpin dan ahli UMNO diminta bangkit menyalakan obor perubahan bagi memartabatkan perjuangan parti dengan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan rakyat untuk membentuk kerajaan yang kuat serta stabil.

Dengan nada lantang dan tegas, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan semangat setiap perwakilan supaya bangkit bersama-samanya kerana amanah yang besar itu tidak mampu dipikul oleh beliau bersendirian.

“Bangkitlah semua bersama-sama saya,” seru Najib sambil para perwakilan dan tetamu spontan berdiri menyahut seruan beliau dengan memberikan tepukan gemuruh.

Malah sebahagian daripada mereka kelihatan sebak mendengar ungkapan Najib.

“Saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang-pejuang UMNO di bahagian, pendokong-pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya.

“Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan ini,” tegasnya.

Seruan Presiden UMNO itu disambut dengan laungan ‘Ya’ oleh para perwakilan yang bergema memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

“Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang hak.

“Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

“Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung,” tegasnya yang terus disambut dengan laungan ‘Ya’ daripada perwakilan yang terus berdiri diresapi semangat ucapan Presiden Parti.

Najib menutup ucapan bersemangat itu dengan ungkapan: “Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

“Kendati tergantung awan di langit, Telah terlanjur kubentangkan layar. Walau badai datang menggulung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku berbalik haluan. Hidup UMNO! Hidup Melayu!”

Wednesday, October 7, 2009

POSITIF DAN NEGATIF INTERNET

* BMDUA

Risiko internet
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my



Aktiviti dalam talian tanpa sempadan, kawalan dedah remaja dengan pelbagai risiko

KETIKA ibu bapa mula menutup lampu bilik untuk tidur, sedarkan mereka bahawa anak remaja mereka masih berjaga, lampu bilik masih menyala dan komputer masih terpasang. Apa yang mereka lakukan di dalam bilik ialah melayari dunia siber tanpa sempadan bersendirian.

Jika diacukan kepada ibu bapa soalan 'Adakah anda tahu di mana anak anda di dalam talian - jawapannya ialah tidak tahu'.

Itulah kelemahan dan kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai kepelbagaian aktiviti dalam talian dilayari remaja hari ini yang sebenarnya datang bersama dengan pelbagai risiko.

Berdasarkan kajian 'Norton Online Living Report (NOLR) di Malaysia' mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini, pasti ibu bapa terkejut kerana remaja di negara ini sebenarnya menghabiskan masa 16 jam seminggu melayari internet.

Jumlah itu sebenarnya enam jam lebih banyak daripada masa purata NOLR peringkat global berdasarkan kajian ke atas 12 negara utama dunia dan ia juga empat jam lebih banyak daripada ibu bapa mereka.


Hakikatnya, itulah yang tidak disedari ibu bapa yang menyangkakan anak mereka cuma melayari internet pada masa tertentu saja, sedangkan kajian mendapati mereka sebenarnya menghabiskan masa dua kali lebih banyak daripada apa yang difikirkan mereka.

Walaupun di rumah dan sekolah, remaja hanya dibenarkan memasuki akses internet popular iaitu yang dibenarkan saja. Keadaan ini sebenarnya menjadikan mereka semakin ghairah mencari persekitaran alternatif yang jauh dari pandangan ibu bapa, terutama keluarga yang sentiasa sibuk.

Disebabkan itulah, 31 peratus daripada mereka melayari internet di kafe siber yang boleh didapati di mana-mana, manakala bagi remaja yang mempunyai rakan atau komputer riba persendirian, kajian mendapati 26 peratus daripada mereka gemar melepak di rumah rakan melayari internet.

Isu yang menarik dibincangkan ialah apa sebenarnya yang dilakukan remaja di dalam talian, adakah mereka memanfaatkan kemudahan itu untuk sesuatu yang berfaedah atau sekadar mencari keseronokan yang akhirnya memakan diri serta menjadi faktor penyumbang gejala sosial.

Ketua Urusan Pengguna, Kawasan Asia Selatan Symantec, Effendy Ibrahim, berkata bagi ibu bapa yang cetek pengetahuan dan pengalaman mengenai internet berbanding anak mereka, isu itu boleh menjadi punca kebimbangan utama mereka seperti ditemui melalui hasil kajian NOLR.

"Internet ialah satu sumber yang bagus, pelbagai, peluang mencari sesuatu maklumat yang agak mustahil untuk didapati serta mempunyai sejuta peluang mencari kawan baru dan mengenai pelbagai jenis manusia di dalam talian. Namun bagaimana penggunaannya, itu yang menjadi persoalan," katanya.

Walaupun 72 peratus ibu bapa mendakwa mengetahui aktiviti anak mereka ketika melayari internet, bukti kajian menunjukkan daripada senarai aktiviti yang dipilih, dipersetujui bersama ia sebenarnya berlawanan, berbeza daripada tanggapan serta realiti apa yang dilakukan anak mereka.

Dengan kata mudah, lain yang dibenarkan, lain pula yang dicari. Itu yang ditegah, itulah yang akan diselongkar dan dibongkar kerana melakukan sesuatu yang terlarang itu memang godaan kuat.

Jika ibu bapa bersikap sambil lewa dan tidak begitu menghiraukan aktiviti internet anak mereka, sudah pasti mereka terkejut dengan hasil laporan NOLR kerana 60 peratus daripada mereka cuma menghabiskan masa melayari laman sembang dan berbual di dalam talian dengan individu tidak dikenali.

Effendy berkata, ia berlaku lebih daripada sekali dalam tempoh seminggu dan 51 peratus daripada mereka berdepan risiko tanpa disedari kerana mendedahkan maklumat peribadi di dalam talian.

"Empat daripada lima remaja didapati mengakses bahan haram atau tidak berlesen. Ibu bapa percaya sebahagian besar aktiviti di dalam talian yang dilayari anak cuma terbatas kepada elemen hiburan dan aktiviti perjudian komputer (games) tetapi elemen itu bukan keutamaan remaja.

"Hakikatnya, mereka melayari sesuatu di luar batasan dan kawalan kerana internet boleh dilayari tanpa sempadan. Mereka melayari aktiviti yang dikategorikan berfrekuensi tinggi iaitu video (91 peratus), rangkaian sosial (89 peratus) dan muat turun pelbagai fail (91 peratus)," katanya.

'Ibu bapa perlu ambil tahu ketika anak dalam talian'

BIARPUN dilanda kesibukan bekerja tanpa banyak masa dihabiskan memantau aktiviti anak di rumah atau sekolah, ramai ibu bapa di Malaysia mengakui mereka sanggup dan sudah melakukan sesuatu yang lebih baik untuk melindungi anak mereka ketika melayari internet.

Sebanyak 58 peratus daripada responden percaya kawalan ibu bapa adalah kaedah berkesan mencapai sasaran mengurangkan penularan gejala negatif melalui internet.

Kajian mendapati 45 peratus ibu bapa menegur anak mereka melakukan sesuatu yang salah atau tidak sesuai dalam talian dan 39 peratus daripada mereka mengintip penggunaan internet anak.

Menyedari keadaan yang tidak begitu sihat kerana mudah terdedah kepada pelbagai ancaman dan risiko, 77 peratus ibu bapa sudah menasihati anak mereka supaya mengamalkan tabiat baik dan memilih talian selamat, manakala 60 peratus daripada mereka menyediakan set kawalan internet yang dikawal ibu bapa.

Ketua Urusan Pengguna, Kawasan Asia Selatan Symantec, Effendy Ibrahim, menjelaskan walaupun beberapa langkah positif sudah diambil, hakikatnya internet sudah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan hingga menyebabkan wujudnya batas sempadan antara ibu bapa dan anak kanak.

"Isu mengenai kanak-kanak bertemu dalam talian dan bagaimana kita boleh melindungi mereka dengan pengetahuan yang cetek, sedangkan semua risiko itu tidak pernah berkurangan.

"Hasil kajian ini boleh dijadikan peringatan kepada keluarga kerana ibu bapa mengambil masa untuk memahami tabiat dan hala tuju anak sama ada di dalam talian atau aktiviti luar. Pendekatan sesuai ialah membenarkan mereka melayari internet tetapi dengan pengawasan dan perlindungan mencukupi," katanya.

Selain remaja, orang dewasa juga sebenarnya berisiko ketika berurusan dan melayari internet kerana 45 peratus daripada mereka tidak yakin maklumat peribadi mereka di talian tidak selamat.

Namun, sebahagian besar percaya penipuan dalam talian hanya berlaku kepada individu cuai terhadap maklumat peribadi dan mereka cukup yakin boleh melayari laman web rasmi tanpa sebarang keraguan.

Hakikatnya, semua itu bukannya satu hak eksklusif kerana sebarang pencerobohan, memanipulasi dan penipuan boleh dilakukan oleh mereka yang berniat jahat. Laman web sah dan rasmi juga berisiko dan boleh menjadi ancaman kepada pelawat tanpa mereka sedari.

Hakikatnya, orang dewasa dan remaja Malaysia sebenarnya berdepan dengan sesuatu yang sangat berisiko berdasarkan fakta kajian berikut iaitu:

# Seorang daripada setiap lima dewasa menyimpan kata laluan mereka dengan menulis pada sekeping nota yang diletakkan berhampiran komputer mereka.

# 24 peratus orang dewasa menggunakan kata laluan sama untuk semua urusan.

# 48 peratus orang dewasa terlalu bergantung kepada perisian bebas AV dengan hanya 16 peratus menganggap tahap kemahiran komputer mereka cemerlang.

# Lebih satu perempat orang dewasa itu memeriksa 'lari imbas' AV setiap bulan atau kurang.

# Hanya 34 peratus remaja mempunyai fail sokongan dalam komputer.

INFO: Kajian NLOR di Malaysia
# Dikendalikan Saffron Hill bagi pihak Symantec antara 14 April 2009 hingga 4 Mei 2009 Responden
# 397 orang dewasa berusia 20 tahun ke atas, termasuk 93 keluarga yang mempunyai anak berusia 8 hingga 17 tahun)
# 35 remaja berusia 15 hingga 19 tahun.

Kajian NLOR global:
# Responden: 9,000 dewasa dan remaja
# 12 negara: Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Sweden China, Jepun, India, Australia, Brazil.
# 7 daripada 10 dewasa berpendapat internet membantu mereka menjadikan hubungan lebih baik.

Hasil kajian global:
# 92 peratus menggunakan pangkalan e-mel untuk komunikasi dengan kawan dan keluarga.
# 42 peratus menggunakan web cam, dengan China mencatatkan penggunaan paling tinggi (74 peratus), India (68 peratus), Brazil (66 peratus) dan Perancis (53 peratus).
# Separuh daripada orang dewasa menggunakan jaringan sosial.
# 7 daripada 10 mengakses foto secara on-line dan guna IM
# 24 peratus layari laman sosial Twitter.

MALAYSIA & INDONESIA UMPAMA ABANG DGN ADIK



Kita sudah mulai curiga

KONFRANTASI Indonesia- Malaysia merupakan satu penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia yang bermula dari tahun 1962 hingga 1966.

Penentangan ini telah dilakukan oleh Presiden Sukarno kerana cita-cita tingginya untuk menubuhkan Indonesia Raya yang mencantumkan Tanah Melayu dengan Indonesia terhalang akibat pengisytiharan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Kemudian Sukarno mengeluarkan satu istilah ‘Ganyang Malaysia’ yang membakar hati hampir seluruh masyarakat Indonesia untuk membenci Malaysia dan istilah itu kemudian berkembang menjadi semacam idealis yang liar atau kefahaman yang tidak rasional. Inilah sebenarnya akar daripada segala perselisihan faham antara Indonesia-Malaysia.

Perselisihan Indonesia-Malaysia seperti tidak ada habisnya. Puncanya beraneka rupa, antara lain perebutan pulau dan sengketa perbatasan. Makin hari hubungan kedua-dua negara makin buruk. Dan di dunia siber pula, ‘perang’ tidak kurang hebatnya. Para penggodam komputer Indonesia merosakkan laman-laman web Malaysia.

Pengkaji di Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Alfitra Salamm, mengatakan hubungan kedua-dua negara menurun sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad memimpin Malaysia. Ia disebabkan ‘Hubungan Indonesia-Malaysia disokong oleh hubungan personal antara elit politik kedua-dua negara.’ Dan yang paling mendasar hubungan Indonesia-Malaysia adalah sebagai penyangga ASEAN, juga sebagai penyangga kawasan.

Di masa Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, kerjasama kebudayaan antara kedua-dua negara sangat baik. Ada kerjasama RRI (Radio Republik Indonesia) dengan Radio Malaysia yang merupakan hubungan bulan madu yang sangat indah.

Perubahan generasi kepemimpinan di antara dua negara juga merupakan faktor yang menyebabkan ‘Hubungan Indonesia-Malaysia tidak menjadi hubungan yang bersifat peribadi lagi’.

Sebenarnya satu-satunya institusi yang paling dekat dengan Malaysia adalah TNI (Tentera Nasional Indonesia). Hubungan elit TNI dengan Tentera Malaysia sangat dekat. Hampir setiap tahun ada perundingan Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee). Dan hubungan itu tidak hanya antara institusi.

Pada masa sekarang ini kerjasama formal masih ada, tetapi sudah tidak punya substansi lagi untuk memperkuat ketahanan serantau. Sudah mulai bersaing.

Malaysia berlatih dengan Inggeris dan Singapura. Sementara Indonesia mulai latihan dengan Australia. Di antara kita, masing-masing mulai curiga.

‘‘Ini mau ngapain?’’ masing-masing mulai cemburu, ‘‘Adik sudah mulai dewasa, sudah mulai cari kawan baru lagi’’. Ini yang juga sedikitnya merupakan faktor kenapa perubahan perhubungan elit politik Malaysia-Indonesia menjadi berjarak.

Sebab lain pula kenapa hubungan Indonesia-Malaysia tidak mesra juga disebabkan kurangnya komunikasi. Rakyat dengan rakyat Indonesia-Malaysia bukan hanya tidak begitu dekat, tapi juga tidak saling mengenali. Ertinya beberapa kelompok masyarakat Malaysia tidak mengenali Indonesia dan sebaliknya pula beberapa kelompok masyarakat Indonesia tidak mengenali Malaysia.

Kata ‘rumpun Melayu’ sebenarnya menjadi kata yang selalu diperkatakan dalam setiap perbincangan di antara pemimpin Indonesia-Malaysia. Ironisnya, sayangnya perkataan tersebut cuma hanya sebagai alat sahaja untuk berbagai proses pendekatan pandangan berbeza kedua-dua pihak mengenai isu rumpun Melayu ini. Semestinya perkataan itu harus diikat dalam satu program yang bersifat insaniah, contohnya dalam bentuk perhubungan rakyat antara Indonesia-Malaysia.

‘‘Benar, hubungan kita seperti abang dan adik.’’ Ia adalah perkataan daripada Tun Abdul Ghafar Baba ketika dalam pertemuan perdana Dialog Pemuda Indonesia-Malaysia di Tanjung Bidara, Melaka, 15 hingga 18 Disember 1988. Kemudian Tun bergurau dan memperkatakan juga: ‘‘Tapi sayang si abang sering melupakan adiknya.’’

Pernyataan tersebut dikeluarkan Ghafar Baba sebagai komentar yang mendasar atas permasalahan perhubungan kedua-dua negara yang seharusnya seperti abang dan adik kandung. Ghafar Baba juga memperkatakan ‘‘Indonesia sebagai abang dan Malaysia sebagai adiknya.’’


AJK Pertumbuhan Kebajikan Masyarakat Minangkabau Kuala Lumpur (PIKMM), Wakil Setia Usaha Politik Dewan Perwakilan Luar Negeri Partai HANURA (Hati Nurani Rakyat) dan AJK Dewan Kesenian Sumatera Utara">

IKHLASNYA MALAYSIA




Malaysia tetap bantu

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

# Malaysia akan terus menghantar misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia meskipun ada segelintir rakyat republik itu mempunyai pandangan negatif terhadap negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

# Malaysia menafikan dan tidak sesekali tergamak memberi makanan yang telah luput tarikh kepada mangsa gempa bumi di Padang.

# Sekumpulan orang dilaporkan telah bertindak merampas bantuan dari negara luar untuk diberikan kepada mangsa-mangsa gempa di Padang Pariaman, Padang.

# Pusat Rawatan Kemanusiaan Malaysia di tengah bandar Padang, Indonesia sentiasa menjadi tumpuan masyarakat setempat.

PUTRAJAYA 7 Okt. – Malaysia akan terus menghantar misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia meskipun ada segelintir rakyat republik itu mempunyai pandangan negatif terhadap negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia tidak akan mengambil langkah berbentuk ‘tindak balas’ ke atas Indonesia.

Sebaliknya, kata beliau, negara akan terus berpegang kepada semangat setiakawan dan hubungan baik yang sudah lama terjalin apabila bersedia menghantar lagi pasukan penyelamat ke wilayah itu.

Menurutnya, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) dan sukarelawan lain dari negara ini akan meneruskan bantuan kerana ia adalah langkah yang baik bagi meringankan beban mangsa bencana itu.

‘‘Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengumumkan kita menghantar pasukan bantuan kerana diberikan kebenaran oleh kerajaan Indonesia.

‘‘Ini dilihat dari sudut hubungan baik kerajaan dan rakyat, kita tidak lihat kepada tindakan kelompok tertentu. Kita tidak perlu mengambil langkah ‘tindak balas’ dan bersikap bermusuh-musuhan, itu tidak perlu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan ke atas kira-kira 200 pelajar yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas laporan akhbar hari ini mengenai ancaman kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) untuk ‘menakluk’ Malaysia apabila merancang menghantar 1,500 orang yang bersenjatakan buluh runcing melalui jalan udara, darat dan laut mulai hari ini.

Kumpulan yang sama sebelum ini melakukan sekatan jalan raya di Menteng, Jakarta bagi mencari rakyat Malaysia dalam kempen ‘Sapu Malaysia’.

Selain itu, akhbar juga melaporkan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menghantar bantuan bencana gempa bumi di Padang, Sumatera Barat turut dibaling batu selama beberapa hari sehingga kelmarin.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, kerajaan tetap mengambil perhatian terhadap perkembangan di republik itu termasuk sikap golongan berkenaan dan beberapa insiden yang dicetuskan.

‘‘Hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tidak terjejas kerana ia hanya melibatkan pihak tertentu di Indonesia yang mahu membuat angkara terhadap kita.

‘‘Kita akan mengambil perhatian terhadap semua bentuk kenyataan yang dibuat pihak tersebut. Jika tidak ia akan menimbulkan masalah dari segi hubungan dan keselamatan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan percaya pemerintah Indonesia akan mengambil langkah tertentu untuk mengawal tindak tanduk golongan terlibat.

Katanya, di pihak Malaysia, kerajaan akan menggunakan saluran diplomatik bagi menyelesaikan isu berkenaan secara berhemah.