Tuesday, February 24, 2009

UMAT MELAYU PATUT BERBANGGA

Untung lepasi RM1 bilion


NOH Omar (dua dari kiri) menunjukkan prestasi kewangan dan dividen Bank Rakyat sambil diperhatikan Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Datuk Dr. Syed Jalaludin Syed Salim (dua dari kanan) dan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat (kanan). Turut kelihatan, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Haji Alwi Ibrahim (kiri) di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Feb. - Segala- galanya sudah siap. Pentas sudah tersedia dan hadirin tidak sabar lagi untuk mendengar kadar pengagihan dividen yang bakal diumumkan kali ini.

Bagaimanapun, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) tidak pula mengumumkan dividennya ketika membentangkan prestasi kewangan bagi tahun 2008.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar yang ditemui pada majlis berkenaan berkata, kadar pengagihan dividen masih lagi dikaji oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pihak berkuasa dalam hal ehwal perbankan negara.

''BNM meneliti semua aspek sebelum memberikan kelulusan terhadap jumlah dividen boleh agih kepada 800,000 ahli Bank Rakyat,'' kata beliau.

Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat pula menambah, pengumuman dividen berkenaan akan dibuat kemudian.

''Tunggulah, kami akan mengumumkan sedikit masa lagi,'' katanya.

Pengumuman dividen Bank Rakyat sentiasa dinanti-nantikan dan menjadi bualan kerana prestasinya yang mantap membolehkan bank berkenaan memberikan pulangan tinggi.

Bank Rakyat pada tahun 2007 mengumumkan dividen 20 peratus selepas memberikan pulangan 15 peratus kepada para pemegang saham selama enam tahun sejak 2000.

Pada majlis berkenaan, Bank Rakyat mencatat sejarah yang tersendiri apabila keuntungannya berjaya melepasi paras RM1 bilion.

Bagi tahun 2008, keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.234 bilion berbanding RM828.8 juta pada tahun sebelumnya.

Ia mewakili peningkatan keuntungan sebanyak RM405.5 juta atau 48.9 peratus hasil daripada pertambahan untung bersih dan pendapatan berasaskan yuran.

''Pencapaian keuntungan ini merupakan yang tertinggi pernah dicatat dalam sejarah Bank Rakyat,'' kata Noh.

Jumlah pendapatan kasar pula adalah RM3.196 bilion, meningkat RM628.7 juta dan pendapatan bersih bertanmbah sebanyak 24.1 peratus kepada RM2.104 bilion berbanding 2007.

Bank itu juga merekodkan pendapatan berasaskan yuran sebanyak RM57.7 juta, disokong oleh sumbangan terbesar daripada pendapatan wasiat, komisen, takaful dan perkhidmatan ATM.

Jumlah aset meningkat kepada RM41.7 bilion berbanding RM34.9 bilion pada tahun 2007.

Kamaruzaman berkeyakinan Bank Rakyat masih mampu mencatatkan pertumbuhan keuntungan lima peratus kepada RM1.29 bilion tahun ini meskipun dalam persekitaran ekonomi yang semakin sukar.

Bagi tahun ini, Bank Rakyat mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 14 peratus dalam aset, pembiayaan 12 peratus dan deposit lapan peratus.

Malah, katanya, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, jumlah pembiayaan meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

''Pembiayaan pengguna masih fokus utama bank pada tahun ini selepas menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 91.7 peratus daripada keseluruhan pembiayaan Bank Rakyat tahun lalu,'' ujarnya.

Ditanya mengenai hutang tidak berbayar (NPL), Kamaruzaman berkata, bank itu dijangka mengurangkan NPL daripada 1.8 peratus tahun lalu kepada 1.5 peratus tahun ini.

''Kita sebenarnya tidak mempunyai masalah besar dalam NPL kerana sebanyak 60 peratus pinjaman dijelaskan melalui potongan gaji,'' ujarnya.

3 comments:

  1. Tahniah kepada pihak Pengurusan Bank Rakyat kerana berjaya menjana untung bersih melepasi 1 Billion (1,234.3 juta).
    Bank ini adalah 100% milik Melayu.

    Teman merasa berbangga kerana tahun lepas boleh memberi 20% dividen kepada pemegang-pemegang syer termasuk le Teman sendiri.

    Tahun ini belum diumumkan lagi berapa peratus dividennya.

    Tahniah, Tahniah, Tahniah.

    Melayu Boleh.

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Tak mustahil dengan pencapian ini dapat menjana dan membantu sektor perbankan agar bergerak lebih maju...

    Sekian,

    ReplyDelete
  3. Aku teruja membaca artikel n berita yang memberitahu keuntungan BR yang untung bersih melebihi RM1b. Amat membanggakan.

    Seperkara lagi yang aku rasa nak share ngan pembaca adalah Bonus yang diterima oleh Staf BR adalah sebanyak 12 bulan mengikut efficient nye diorang bekerja di BR. Bagus tuh...kawan aku dari BR Kuantan inform pada aku dia dapat 10 bulan..Tahniah la kepada mereka yang bekerja kuat untuk mendapat keuntungan besar BR ini.

    Tahniah dan semoga BR lebih berjaya dalam menghadapai kegawatan ekonomi global kini.

    ikhlas,

    Mohd Fuad Yahaya
    http://parimbunis.blogspot.com

    ReplyDelete