Tuesday, February 10, 2009

BEKERJALAH WAHAI EXCO BARU


6 ADUN BN angkat sumpah Exco

KUALA KANGSAR 10 Feb. - Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) hari ini mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak yang baru.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun di Balai Istiadat Kecil, Istana Iskandariah di sini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Barisan Exco berkenaan menyaksikan pelantikan dua muka lama daripada kerajaan negeri BN sebelum ini iaitu ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari dan ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad.

Empat lagi yang mengangkat sumpah adalah terdiri daripada muka baru - ADUN Sungai Rapat, Hamidah Osman; ADUN Chenderiang, Dr. Mah Hang Soon; ADUN Kamunting, Mohammad Zahir Abdul Khalid dan ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin.

Bagaimanapun, portfolio masing-masing masih belum diketahui. Difahamkan, Menteri Besar akan membuat pengumuman tentang perkara tersebut esok.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa BN bakal membentuk kerajaan negeri baru di Perak selepas mempunyai kelebihan sokongan tiga kerusi DUN berbanding kerajaan negeri pakatan pembangkang.

Ia ekoran tindakan dua bekas Exco kerajaan negeri iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi yang juga ADUN Behrang dan Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering) mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Langkah itu dituruti oleh Timbalan Speaker DUN, Hee Yit Foong (ADUN Jelapang) yang meninggalkan DAP, manakala ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang sebelum ini mengumumkan keluar UMNO, menyertai semula parti itu.

Ia membolehkan BN yang mempunyai jumlah kerusi yang sama dengan pembangkang iaitu 28 kawasan DUN, tetapi disokong tiga calon Bebas, menguasai kerajaan negeri.

Najib yang menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh bagi memaklumkan cadangan tersebut kemudian mendapat perkenan istana selepas baginda menemui kesemua ADUN BN dan keempat-empat ADUN terbabit.

Sultan Azlan Shah telah mengeluarkan titah supaya Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan serta-merta.

Kerajaan negeri pakatan pembangkang yang diterajui Mohammad Nizar hanya mampu bertahan selama 11 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Mac lalu.

No comments:

Post a Comment