Thursday, February 5, 2009

TIADA PILIHAN LAGI BUAT NIZAR



Nizar tiada pilihan – Pakar perlembagaan

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin perlu menerima hakikat yang beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak kerana beliau tidak lagi mempunyai sebarang pilihan lain kecuali akur dengan titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Pakar undang-undang perlembagaan menegaskan, atas apa alasan sekalipun, keputusan Sultan Azlan itu tidak lagi boleh dicabar kerana ia jelas dilakukan menurut undang-undang dan Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Pensyarah Undang-undang Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi berkata, biarpun boleh mendakwa wujud keraguan terhadap cara penyingkirannya termasuk tidak dilakukan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun keputusan itu tetap sah.

Kata beliau, ini berdasarkan peruntukan undang-undang iaitu baginda perlu berpuas hati yang Menteri Besar sedia ada sudah tidak lagi mendapat keyakinan majoriti ahli ADUN.

‘‘Seperti mana pelantikan Menteri Besar, begitulah juga dengan kaedah pelucutan seseorang daripada jawatan tersebut. ADUN yang menyokong Barisan Nasional (BN) telah dibawa menghadap baginda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

BN mengumumkan telah menerima sokongan majoriti di DUN Perak berikutan sokongan tiga ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu, ADUN Jelapang, Hee Yit Foong serta ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Berikutan itu, BN mendapat sokongan daripada 31 anggota DUN Perak berbanding pakatan DAP, Pas dan PKR yang hanya memperolehi 28 sokongan ahli.

Usaha Nizar kemudiannya untuk membubarkan DUN Perak bagaimanapun tidak mendapat perkenan Sultan Azlan Shah dan baginda sebaliknya menitahkan Nizar dan barisan Exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta merta atau akan dianggap telah dikosongkan.

Namun petang ini, Nizar enggan melepaskan jawatan seperti yang dititahkan Sultan Azlan Shah kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, situasi di Perak adalah jelas kerana Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

Katanya, apabila itu berlaku walaupun di luar DUN, maka apa sahaja keputusan Sultan Perak sama ada memutuskan pelantikan Menteri Besar baru atau dibubarkan DUN untuk satu pilihan raya baru, ia adalah pada budi bicara baginda.

‘‘Apabila baginda memilih untuk tidak membubarkan DUN maka kita kena hormat dan akur. Sekarang ini bukan sekadar soal tidak menghormati raja, tetapi ia juga satu pelanggaran undang-undang kalau ingkar.

‘‘Jadi atas alasan apa baginda tidak memilih untuk membubarkan DUN, itu adalah hak mutlak budi bicara Sultan yang tentunya mempunyai sebab tersendiri.

‘‘Lagi pun jika ada pilihan raya baru, tiada jaminan juga akan ada parti yang boleh bentuk kerajaan dengan majoriti yang kuat selain keutamaan negara adalah untuk berdepan cabaran ekonomi bukan lagi soal politik,’’ jelasnya.

No comments:

Post a Comment