Datuk Dr Zambry Abdul Kadir
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Perak semalam dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, dipilih sebagai Menteri Besar ke-11.
Ini berikutan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta barisan Exconya meletakkan jawatan, berkuat kuasa serta-merta.
Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru dijadualkan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang ini, diikuti barisan Exco pada jam 10 pagi, Selasa ini.
Di IPOH, Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan menjelaskan, setelah menemui semua 28 Adun BN dan tiga Adun Bebas, baginda yakin Mohammad Nizar sudah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar anggota DUN.
"Sekiranya YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli MMK itu dianggap telah dikosongkan," kata kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Azlan Shah, Kol Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor.
Sultan Perak membuat keputusan itu selaras dengan peruntukan XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.
Kenyataan empat muka surat yang dikeluarkan kepada Bernama pada jam 2.15 petang itu juga menjelaskan, Mohammad Nizar menghadap Sultan Perak kelmarin dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak.
Pagi semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN Perak, turut memohon menghadap baginda dan diberi perkenan berbuat demikian.
Pada majlis menghadap itu, Najib memaklumkan kepada baginda bahawa BN dan penyokongnya kini terdiri daripada 31 Adun dan menguasai majoriti ahli DUN.
Menurut kenyataan itu, untuk meyakinkan baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu tepat, Sultan Azlan Shah menitahkan semua 31 Adun berkenaan menghadap baginda.
"Setelah menemui sendiri semua 31 Adun itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar dari kalangan ahli Dewan Negeri," kata kenyataan itu.
Ia juga menyebut bahawa Sultan Perak telah menimbang dengan sedalam-dalamnya permohonan Mohammad Nizar untuk mendapatkan perkenan baginda membubarkan DUN Perak.
"Baginda menggunakan budi bicara di bawah Perkara XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak," kata kenyataan itu.
Keputusan itu dimaklumkan kepada Mohammad Nizar ketika dititah menghadap Sultan Perak, semalam.
Info
Datuk Dr Zambry Abdul Kadir
TARIKH LAHIR: 22 Mac 1962
TEMPAT LAHIR: Pulau Pangkor, Perak
ISTERI: Datin Saripah Zulkifli
ANAK: Lima (Tiga perempuan, dua lelaki)
KELULUSAN AKADEMIK:
PENCAPAIAN:
JAWATAN:
No comments:
Post a Comment