Tuesday, March 31, 2009

INIKAH KEPERIBADIAN ISLAM YANG SEBENAR ?


Sikap pembangkang keterlaluan

SAYA ingin bangkitkan beberapa pemerhatian saya pada hari penamaan calon pilihan raya kecil di Bukit Gantang pada 29 Mac lalu dan ingin menyatakan kekesalan saya terhadap apa yang berlaku.

Pertamanya, laporan sebuah akhbar dalam talian menyebut yang Pengerusi DAP, Karpal Singh dibaling botol oleh penyokong Barisan Nasional (BN) akibat tersalah memasuki jalan. Laporan itu menganggap politik kekerasan dan keganasan seperti ini perlu dihentikan.

Suka untuk saya menjelaskan kejadian yang menimpa Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pagi tersebut.

Pada pagi ketibaan beliau dan rombongannya di pekan Taiping, Muhyiddin juga telah memasuki gerombolan besar penyokong Pas yang sedang berarak.

Saya dapat saksikan sendiri bagaimana bertambahnya kekuatan sorakan ejekan yang dilemparkan kepada rombongan beliau oleh penyokong Pas yang sedang berarak.

Bagaikan gempita bandar Taiping apabila Muhyiddin melintasi mereka. Usahkan hendak memberi laluan dan bersalam (sekurang-kurangnya menghormati pemimpin negara walaupun berlainan parti), tetapi sebaliknya dilayan sebegitu rupa.

Mujurlah Muhyiddin keluar dari kejadian tersebut dengan wajah yang cukup tenang dan masih mampu tersenyum seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Inikah sikap penyokong sebuah parti yang berbangga dengan imej dan wajah Islam mereka?

Kalaulah dibandingkan perbuatan Karpal Singh sejak akhir-akhir ini berbanding dengan Muhyiddin, maka Karpal Singh sememangnya wajar mendapat layanan sebegitu.

Keduanya, sewaktu saya singgah di sebuah markas Pas, saya terkejut mendapati sebuah risalah yang memetik berita mengenai kematian seorang ahli Puteri UMNO dalam peristiwa sedut lemak baru-baru ini.

Di bawah salinan artikel tersebut, terdapat tulisan yang mencerca keperibadian wanita tersebut dan mengaitkannya dengan sikap ahli-ahli wanita UMNO yang hanya gemar melaram untuk tatapan umum dan bukannya si suami.

Ini merupakan satu lagi perbuatan yang tidak harus berlaku dengan memburuk-burukkan keperibadian si mati dan mengaitkannya dengan kepentingan parti.

Adat orang Melayu dan orang Islam, semua cerita buruk si mati harus ditutup dan tidak dijadikan sebagai bahan fitnah dan cercaan.

Adakah pengikut Pas terlalu dangkal dalam memahami perkara ini? Apakah kaitannya wanita tersebut yang hanya menjadi ahli sayap UMNO hingga perlu dihubungkan dengan soal akhlak dan moral? Jika sekalipun ingin berhujah soal akhlak, tidak perlulah bersabung dengan orang yang telah tiada.

Ketiganya, selain dari peristiwa kegagalan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin untuk berceramah di sebuah masjid di Taiping, seorang lagi pemimpin Keadilan yang terkenal dengan imej agamanya didapati menyampaikan tazkirah secara bebas di sebuah masjid menuju Taman Kaya pada malam yang sama.

Saya berasa kesal dengan kecenderungan menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik.

Sudahlah begitu, akhbar-akhbar Harakah diletakkan di merata-rata tempat dengan beberapa orang jemaahnya memakai baju Pas apabila memasuki masjid.

Keadaan ini menimbulkan rasa tidak selesa kepada pengunjung yang singgah dan juga jemaah-jemaah lain.

Ceramah yang pada asalnya berjudul 'Keperibadian Rasulullah' seperti yang dijangka akhirnya melencong menyentuh hal-hal politik terkini khususnya berkaitan pilihan raya kecil yang diadakan.

Usahlah masjid juga hendak dijadikan tempat berpolitik. Sangkutlah ideologi politik masing-masing di pintu pagar masjid kerana kita semua mengadap Tuhan yang sama dan memohon petunjuk yang sama.

ANAK PERAK
Bukit Gantang, Perak

2 comments:

  1. hmmm pandai mereka berlakun dengan persepsi rakyat.masaalahnya mereka punyai ramai pemidato yang bijak dan petah

    ReplyDelete
  2. orang umno macam mana?
    baik?
    laknat ada la

    ReplyDelete