Sunday, March 29, 2009

DEMI KUASA POLITIK BANGSA MELAYU



UMNO perlu dekatkan diri dengan rakyat

SEBAIK sahaja UMNO mendapat nafas baru berkat perubahan kepimpinannya semasa Perhimpunan Agungnya kali ke-59, jelas suara orang Melayu dalam arena politik tanah air akan lebih padu lagi untuk berhadapan dengan suara-suara pihak yang tidak senang dengan kepimpinan UMNO.

Memang selama ini kepimpinan orang Melayu dipersoalkan oleh rakyat, tanpa mengira parti, kerana tidak puas hati dengan beberapa keputusan kerajaan berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

Selain daripada itu ialah wujudnya kekurangan sifat-sifat kepimpinan melalui teladan dan ketirisan sifat bersih, cekap dan amanah sehingga rakyat hilang keyakinan. Kini, bibit-bibit keyakinan mula timbul kembali.

Apabila seseorang pemimpin itu menerima mandat untuk memimpin UMNO maka mereka wajib menunjukkan ciri-ciri kepimpinan melalui teladan dan sifat bersih, cekap dan amanah.

Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud Kamu adalah sebaik-baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kerana kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menyuruh manusia mencegah kemungkaran.

Barisan kepimpinan baru UMNO kini mempunyai tugas dan amanah yang wajib dipikul bersama-sama untuk berhadapan dengan gelombang cabaran luaran dan dalaman yang berusaha mengikis kuasa politik orang-orang Melayu.

Cabaran itu hendaklah ditangani berdasarkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Lebih-lebih lagi nampaknya anak-anak muda Melayu kita sekarang ini seolah-olah seperti mudah dibeli dan mereka seperti macam meletakkan nafsu serakah mengatasi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Adakah anak-anak muda kita sudah seperti sanggup menggadai ajaran agama, bangsa dan negara? Perkara ini elok dikaji. Lebih-lebih lagi jika dalam perebutan kuasa melibatkan soal rasuah, dosa besar di dalam Islam tetapi tidak digeruni.

Saya berasa amat bimbang melihat trend anak-anak muda kita bercakap soal politik bebas sehingga mereka tidak sedar bahawa musuh mereka berada hampir dengan mereka untuk menewaskan bangsa mereka.

Dan adakah musuh mereka menggunakan bangsa mereka sendiri untuk melumpuhkan bangsa mereka seperti tidak mereka hiraukan? Gerakan-gerakan daripada luar yang sudah lama bergerak aktif semenjak krisis 1998 kini sedang memperalatkan boneka-boneka mereka sendiri yang sanggup menjadi alat asing untuk melumpuhkan kuasa politik Melayu. Perkara ini hendaklah disiasat oleh barisan kepimpinan baru UMNO.

Jika selama ini rakyat berasa UMNO sangat jauh daripada mereka, kini barisan kepimpinan UMNO yang baru wajib mendekatkan UMNO dengan rakyat.

Antara langkah-langkah yang boleh dibuat ialah menjadikan UMNO seperti sebuah kedai serba lengkap yang menawarkan pelbagai barangan dan produk yang menarik dan murah.

Jadikan juga UMNO seperti sebuah hospital yang menawarkan perkhidmatan yang terbaik dan mampu menyembuhkan penyakit orang yang berpenyakit. UMNO juga boleh jadi seperti sebuah bank yang mampu memberi dividen yang besar dan mampu memberikan seribu peluang kepada orang yang datang. Apabila keluar dari bank, mereka tersenyum puas dan hendak datang lagi.

UMNO juga perlu menjadi sebuah pasukan bola sepak yang mantap, tidak lemah serta mampu mencipta kemenangan setiap kali mereka bermain. UMNO juga boleh jadi seperti sebuah masjid yang indah dan lengkap menjadi tempat berlindung orang susah dan orang senang.

Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati UMNO. Tahniah Datuk Seri Najib Tun Razak. Tahniah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

REZA ALJUNAID

Jelebu, Negeri Sembilan


Putrakencana :

Semoga perubahan pucuk pimpinan yang baru ini akan mengembalikan kekuatan UMNO yang sebelum ini telah dipersoalkan oleh Rakyat. Bukannya apa Rakyat telah banyak dikelirukan dan difitnah sedemikian rupa demi untuk kepentingan peribadi seseorang itu.

Sudah sampai masanya UMNO mencerminkan diri jika ada cacat celanya pada UMNO.

Umat Melayu masih memerlukan tampok pemerintahan di Negara ini diterajui oleh UMNO.

Umat Melayu tidak boleh hilang kuasa di Tanah Air sendiri.

No comments:

Post a Comment