Monday, March 9, 2009

BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

Usah abai perpaduan

Oleh Sazarina Shahrim dan Khairul Azran Hussin
bhnews@bharian.com.my


SEBAHAGIAN daripada 100,000 peserta yang menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2009 di Dataran Merdeka, semalam.

Yang di-Pertuan Agong ingatkan rakyat hindari pertelingkahan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam mengingatkan semua pihak jangan memandang remeh isu perpaduan yang menjadi tonggak kekuatan, kestabilan dan kemajuan negara ini.

Seri Paduka menegaskan, segala dasar yang dirangka ke arah menjadikan negara dan seluruh rakyat sebagai masyarakat maju pada masa depan, tidak akan tercapai jika aspek kesatuan atau perpaduan diambil ringan.


"Usaha untuk menyatupadukan masyarakat mesti dilakukan secara berterusan," titah baginda pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah' (umat terbaik dan berkualiti) di Dataran Merdeka, di sini, semalam.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sambil menyifatkan tema sambutan kali ini bertepatan dengan tuntutan dan cabaran alaf ke-21, Tuanku Mizan menyeru umat Islam menghayati sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW yang menekankan kepentingan kesatuan di kalangan manusia sebagai pemangkin Khaira Ummah.

"Menyingkap kembali sejarah Rasulullah, ada beberapa isu perpaduan dan kesatuan menurut perspektif Islam yang menjadi tonggak kekuatan yang amat penting. Penghayatan Islam yang diterjemahkan melalui sejarah kegemilangannya membuktikan umat manusia suatu ketika dulu pernah bersatu di atas paksi kebenaran.

"Ketika itu wujud keharmonian, kestabilan dan kesefahaman. Namun, apabila sebahagian umat manusia dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka berlaku pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa manusia lantaran kemurkaan Allah," titah baginda.

Seri Paduka menegaskan, Islam mengharamkan sebarang bentuk penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi, sebaliknya menganjurkan keamanan, hak kesamarataan dan saling bantu membantu. Islam juga mewajibkan perlindungan dan hak sama rata ke atas setiap lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, baginda mahu seluruh umat Islam berusaha dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan serta mempertingkatkan penghayatan terhadap al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sehingga menjadi ummah yang bersatu padu, terbilang dan sentiasa mapan mendepani cabaran semasa.

Pada majlis sambutan itu, Tuanku Mizan turut berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada enam penerima.

Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Sidek Baba, menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 1430 Hijrah yang pertama kali diperkenalkan. Beliau membawa pulang wang tunai RM50,000, piala dan sijil penghargaan.

Lima penerima Anugerah Maulidur Rasul pula ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman; Pengarah Urusan Syarikat Laksamana Nusantara Sdn Bhd, Mortadha Lau Abdullah; Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd Yunus Pathi Mohd; pelajar, Muhammad Ahmad Zahid dan kanak-kanak kurang upaya, Muhammad Haziq Samrat. Mereka menerima wang tunai RM22,000, piala dan sijil penghargaan.

Sambutan bermula dengan perarakan kira-kira 100,000 peserta dari kontinjen jabatan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan institusi latihan serta wakil masjid.

Ia turut diserikan dengan persembahan nasyid dan lagu ketuhanan, penceritaan kisah nabi, sketsa dan pukulan kompang oleh artis tempatan seperti Hijjaz, Waheeda, Yassin, kumpulan Kopratasa dan Al-Gebra.

No comments:

Post a Comment