Monday, May 4, 2009

PPSMI , KEMBALILAH KE BAHASA MELAYU.


Hasil meja bulat ditolak

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my


MUHYIDDIN mendengar penerangan Johan (dua dari kiri) ketika melakukan lawatan kerja ke Dewan Bahasa dan Pustaka sambil diperhatikan Termuzi (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.

Laporan pelaksanaan PPSMI bukan penanda aras tepat: TPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diarah membuat kajian semula terhadap pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ekoran Kabinet tidak berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dibentangkan baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet berpendapat laporan daripada beberapa persidangan meja bulat PPSMI sebelum ini bukan penanda aras yang tepat untuk menilai kewajaran pelaksanaan dasar berkenaan.


"Kita tidak boleh membuat keputusan tanpa fakta dan bukti yang kukuh untuk menyokong sesuatu dasar itu. Saya hanya akan berpuas hati apabila mendapat maklumat lengkap yang diperoleh dari semua sudut.


"Persidangan meja bulat mungkin hanya membolehkan sesetengah pihak mengemukakan pandangan peribadi. Kita memerlukan pandangan menyeluruh sebelum memutuskan sama ada dasar PPSMI perlu ditambah baik atau ditukar," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini semalam. Hadir sama ialah Pengerusi Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI sebelum ini merumuskan tujuh cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI, iaitu:

  • Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda pada peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
  • Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
  • Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;
  • Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
  • Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda pada Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam; dan
  • Penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah atau memansuhkan mata pelajaran Sains pada Tahun Satu hingga Tiga tetapi mengajar Sains dalam subjek lain.
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) bagaimanapun mahu kerajaan memansuhkan dasar itu kerana mendakwa pelaksanaan PPSMI selama enam tahun sejak 2003 gagal memanfaatkan pelajar, khususnya pelajar Melayu di luar bandar.

Selain itu, 25 kesatuan dan persatuan yang mewakili kira-kira 350,000 guru di seluruh negara juga menolak pelaksanaan PPSMI pada peringkat sekolah rendah.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan dasar PPSMI tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana ia membabitkan masa depan pelajar.

"Saya mengalu-alukan jika ada pihak yang hendak kemukakan pandangan, hendak menyerahkan memorandum atau hendak berjumpa saya jika ia bersesuaian dengan apa yang hendak disampaikan.

"Walau apapun pandangan dan pendapat, akhirnya ia perlulah mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan, selain bahasa Inggeris yang menjadi bahasa penting di dunia," katanya.

Muhyiddin turut menggesa sektor swasta menyokong usaha kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan.

"Kita akui sektor swasta menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi dan urusan mereka, tetapi kerajaan berharap mereka turut menggunakan bahasa kebangsaan.

"Kerajaan serius memartabat serta memperkembangkan bahasa kebangsaan dan berharap Bulan Bahasa yang akan kita laksanakan tidak lama lagi akan mendapat sokongan sektor swasta," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan turut meneliti kembali Akta DBP, sekali gus menyokong usaha badan itu memartabatkan bahasa kebangsaan secara lebih berkesan dan menjadi titik mula untuk DBP bergerak dengan lebih aktif.


Putrakencana :

Sepatutnya dikembalikan balik kepada pengajaran Sains dan Matematik ke Bahasa Melayu.

PPSMI hanya merugikan anak-anak bangsa Melayu. Mereka ini masih lagi ketinggalan di dalam pengajaran Bahasa Inggeris.

Bila mereka tidak dapat menguasai Bahasa Inggeris bagaimana mereka hendak menguasai Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

inilah yang terjadi di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Malaysia ketika ini.

Yang paling penting ialah Guru yang mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris. Jika mereka tidak mengajar dengan bersungguh-sungguh , bagaimana anak murid hendak mengusai bahasa tersebut dengan baik.

Guru-guru yang mengajar PPSMI pun tak dapat mengusai Bahasa Inggeris dengan baik, macam mana hendak mengajar dalam Bahasa Inggeris.

Negara Jepun, Korea , Jerman dan Rusia menggunakan bahasa ibunda mereka dalam pengajaran di sekolah. Mereka masih lagi menguasai Sains dan Teknologi sehingga kini.

Itulah kenyataannya.

Jadi...............

Kembalikan balik kepada pengajaran ke Bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment