Monday, May 11, 2009

KEPUTUSAN MAHKAMAH


Mohammad Nizar sah MB Perak

KUALA LUMPUR 11 Mei - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim itu sekali gus menamatkan krisis politik antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) yang telah berlarutan sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun keputusan tersebut masih belum muktamad kerana Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam penghakimannya hari ini, Hakim Abdul Aziz turut menolak permohonan lisan peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan.

Beliau menolak permohonan itu setelah Abraham gagal mengemukakan nas undang-undang berkaitan penangguhan itu tetapi beliau menyatakan peguam itu boleh memfailkan permohonan penangguhan itu kemudian secara bertulis.

Zambry dipercayai akan memfailkan rayuannya esok sementara seorang lagi peguam yang mewakilinya memaklumkan bahawa pihaknya akan mendapat arahan lanjut berhubung permohonan penangguhan tersebut.

Terdahulu, dalam penghakiman lisannya, Hakim Abdul Aziz berkata, jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong kerana usul undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar tidak dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru, tegas beliau, Mohammad Nizar selaku pemohon dalam semakan kehakiman itu tidak boleh dikatakan hilang kepercayaan majoriti anggota DUN mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP).

''Berdasarkan amalan demokrasi, isu hilang kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Mohammad Nizar). Melalui cara ini sahaja Menteri Besar boleh disingkirkan,'' kata Hakim Abdul Aziz.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 13 Februari lalu, Mohammad Nizar, 52, memohon mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang DUN.

Mohammad Nizar yang dipilih sebagai Menteri Besar selepas pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 di negeri itu setahun lalu turut mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.

Hakim Abdul Aziz yang membacakan penghakimannya selama satu jam 10 minit turut berkata, jika sememangnya terdapat undi tidak percaya kepada Mohammad Nizar, mengapa BN tidak mengadakan persidangan khas DUN untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap pemimpin itu.

''Fakta yang tidak dinafikan ialah tidak terdapat undi tidak percaya terhadap pemohon sebelum beliau menemui Sultan kerana beliau tidak pernah disingkirkan melalui cara tersebut,'' ujar beliau.

Di samping itu, katanya, mengikut Perkara 16(6) UTKP, Sultan Perak tidak mempunyai kuasa untuk memecat Mohammad Nizar daripada jawatan Menteri Besar, meskipun Baginda mempunyai kuasa melantik.

''Sultan Perak juga tidak boleh menyingkir seseorang Menteri Besar hanya kerana pemegang jawatan itu tidak mendapat perkenan Baginda,'' katanya.

Sebaliknya, menurut Hakim Abdul Aziz, pemecatan Menteri Besar hanya boleh dilakukan oleh anggota-anggota DUN yang telah dipilih oleh rakyat.

Justeru, beliau menolak hujahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah dalam permohonan itu bahawa hanya dalam dua keadaan DUN boleh dibubarkan iaitu ketika Menteri Besar hilang sokongan majoriti anggota DUN dan apabila hampir tamat tempoh Dewan.

''Saya tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara kerana mengikut Perkara 36 UTKP, tiada keadaan yang terhad bagi Menteri Besar untuk memohon pembubaran daripada sultan dan terserah kepada Menteri Besar untuk memilih masanya untuk menentukan pembubaran,'' kata Hakim Abdul Aziz.

Beliau turut tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara dan Zambry selaku responden bahawa Mohammad Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar mengikut Perkara 16(6) UTKP.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz turut menyentuh afidavit Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid serta keterangannya ketika dipanggil pada prosiding pemeriksaan balas.

(Ahmad Kamal memberi keterangan selepas Mohammad Nizar mempersoalkan afidavit Penasihat Undang-Undang Negeri itu yang dikatakan tidak konsisten)

Menurut hakim tersebut, Ahmad Kamal sebagai seorang pegawai kanan kerajaan bukanlah seorang saksi yang berkecuali dan adil apatah lagi dalam keterangannya beliau mengakui telah diarahkan untuk mengikrarkan afidavit sokongan terhadap Zambry setelah diarahkan oleh peguam Zambry.

''Ahmad Kamal sendiri memilih perkataan 'diarahkan' oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Dia boleh menggunakan perkataan lain seperti 'diminta' atau 'beliau menawarkan diri'. Perkataan (diarahkan) yang digunakan amat keras,'' katanya.

Sehubungan dengan itu, pada hemat beliau, keterangan Ahmad Kamal diwarnai dengan arahan yang telah diterima oleh saksi tersebut.

Mengenai penemuan Mohammad Nizar dengan Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Februari lalu, Hakim Abdul Aziz berkata, beliau memilih untuk mempercayai versi Mohammad Nizar dan bukannya versi Ahmad Kamal.

Mohammad Nizar dalam afidavitnya menyatakan bahawa beliau tidak memohon perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN disebabkan beliau tidak mengalami kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.


Putrakencana :


Biarlah DUN Perak membuat keputusannya.

Biarlah 59 ADUN Perak membuat keputusan siapakah Menteri Besar yang sebenar-benarnya.

Jangan biarkan kemelut ini berpanjangan.

Yang susah nanti adalah Rakyat Negeri Perak.


2 comments:

  1. Salam Tuan,

    Betul tu, biarkan rakyat perak yang membuat keputusan dan bukannya boneka-boneka yang dok ada....

    Salam,

    ReplyDelete
  2. Salam Putra,

    Episode ini telah terlalu lama dan biarlah ada ending yang baik buatnya,
    kesian rakyat Perak.

    ReplyDelete