Tuesday, May 12, 2009

KERJAYA PEGUAM MALAYSIA DICEMARI


Kerjaya guaman dicemari

SEJAK berdekad lamanya, kerjaya guaman dianggap sesuatu yang hebat dan mulia, bukan sahaja di Eropah malahan di Malaysia.

Namun, sejak penghujung 1970-an, kerjaya ini dilihat semakin negatif dan bukan lagi sesuatu yang mulia.

Filem-filem di Hollywood sendiri menggambarkan kerjaya guaman sebagai sesuatu yang keji, melindungi penjenayah semata-mata untuk duit.

Hollywood sering kali mengajuk mereka sebagai 'yang pasti masuk neraka, rakan subahat iblis', ataupun 'manusia yang tidak perlu diselamatkan.'

Semakin ramai penduduk tempatan juga hilang pandangan baik terhadap kerjaya tersebut yang rata-rata dianggap lebih mementingkan wang daripada mencari kebenaran. Di mana silapnya?

Sejak saya pulang belajar dari luar negara pada 2004, jelas kelihatan terdapat gerakan untuk memporakperandakan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kestabilan dan keamanan negara dilihat semakin tergugat akibat tindakan segelintir pihak yang berkepentingan, ingin mengambil kesempatan, gila kuasa dan jelas sekali 'biadab'.

Walhal, saya dan rakan-rakan yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama tidak mempunyai masalah besar dalam pergaulan atau kerja.

Paling dikesali, golongan yang dilihat paling banyak membawa masalah adalah yang terpelajar dan kebanyakan daripada mereka ditanggung kerajaan ketika sedang belajar dahulu.

Saya bukan menuduh mana-mana pihak, tetapi hampir setiap kali timbul sesuatu isu negatif, dapat dilihat kumpulan terbabit didalangi mereka yang bergelar 'peguam.'

Tidak perlu dinyatakan acara atau kejadian mana yang melibatkan golongan ini kerana sudah terlalu banyak. Pastinya mereka ingin mempertahankan sesuatu atau menentang ketidakadilan, sekurang-kurang sesuatu yang tidak adil pada pandangan mereka.

Namun, tindakan segelintir peguam yang ingin menunjuk kehebatan diri mereka terus-menerus membuat kecoh dan mencari kesalahan orang jelas sekali mempunyai motif tertentu.

Apakah yang begitu tidak memuaskan hati segelintir daripada mereka ini sehingga boleh dikatakan setiap bulan, atau setiap minggu pasti ada isu berkait dengan peguam, mahupun ahli politik yang juga peguam?

Jika benar sekalipun mahu membangkitkan sesuatu yang benar, kenapa tidak boleh dilakukan secara beradab?

Perlukah diadakan perhimpunan atau perarakan, mahupun konfrontasi secara terus dengan pihak berkuasa?

Selain itu, tidakkah peguam perlu berbudi bahasa, bukan sahaja kepada pelanggan tetapi juga kepada sesiapa sahaja sebagai seorang manusia bermaruah.

Kenapa ada yang perlu menggunakan bahasa yang bongkak, takbur mahupun mengelirukan semata-mata untuk kepentingan diri?

Sudah tentu bukan semua peguam ingin menimbulkan isu (untuk menaikkan nama dan perniagaan).

Bagaimanapun, segelintir kecil daripada mereka dilihat terus membusukkan nama kerjaya tersebut dengan terus-menerus ingin mencabar semua pihak, membawa tanggapan 'mereka (peguam) tahu semuanya' mengenai undang-undang dan kebal dari sebarang tindakan.

Ini seolah-olah mereka mempunyai imuniti yang tidak dinikmati sultan dan raja sendiri. Namun mereka lupa, setiap tindakan diperhatikan rakyat biasa seperti saya.

Kami tidak pandai berpolitik dan kurang arif akan undang-undang, tetapi setiap seorang daripada masyarakat majmuk Malaysia mempunyai 'pandangan peribadi' masing-masing.

Buruk tindakan anda, maka buruklah pandangan kami terhadap diri dan juga kerjaya anda!

Bukan mudah menaikkan nama dan kerjaya, tetapi amat mudah untuk memusnahkannya.

Apa yang ingin ditekankan di sini bukanlah semua peguam itu jahat atau tidak bermoral, tetapi pandangan umum terhadap kerjaya guaman telah menjadi terlalu negatif akibat tindakan segelintir daripada mereka yang mempunyai agenda tersendiri.

Saya menyaran golongan kecil peguam terbabit mahupun mana-mana pihak yang menganggap diri mereka amat besar dan hebat supaya berhenti berangan.

Negara kita bukan dibina dengan kerjaya guaman mahupun politik semata-mata. Banyak lagi kepakaran yang perlu untuk negara kekal makmur dan harmoni.

Ingatlah, seseorang yang bijak, mulia dan hebat tidak mengaku mahupun menganggap diri mereka bijak, mulia dan hebat.

Hanya si bodoh sahaja berasa diri mereka hebat dan tiada tandingan.

AMIR HAMZAH

Klang Gate, Selangor


Putrakencana :

Sejak kebelakangan ini kerjaya peguam telah dicemari oleh peguam sendiri yang menyalahguna ilmu undang-undang demi untuk kepentingan individu dan parti politik tanpa memperdulikan sensitiviti bangsa Malaysia yang pelbagai kaum.

Gejala ini seharusnya disekat demi menegakkan kedaulatan Undang-undang Malaysia.

No comments:

Post a Comment