Wednesday, February 10, 2010

RENUNG-RENUNGLAH WAHAI UMAT MELAYU




Rencana ini di petik dari Penulisan Ridzuan Tee Abdullah

Menang pada satu pihak

INSIDEN ceramah berbau perkauman dalam program Rapat 1Malaysia baru-baru ini, perlu dijadikan teladan oleh semua pihak, terutama dalam membangkitkan perkara-perkara yang sensitif yang menyentuh sensitiviti kaum. Sudah menjadi amalan politik di negara kita, satu kesalahan yang dilakukan akan dijadikan senjata untuk menarik seseorang jatuh dengan melupakan seribu kebaikan yang pernah dilakukan. Inilah hakikat yang perlu kita terima.

Dengan sebab itu, kita perlu berhati-hati dalam berhujah agar tidak masuk perangkap. Hujah-hujah yang dikemukakan mesti disertai dengan fakta yang bernas. Hujah yang beremosi hanya akan memakan diri dan menjatuhkan maruah agama kita, apatah lagi jika tidak disokong dengan fakta ilmiah.

Insiden ini mengingatkan saya akan jemputan pemuda MCA pada 2 Februari 2010 baru-baru ini yang mahukan saya berdebat dengan barisan pemuda mereka mengenai sistem pendidikan Cina bersama- sama Profesor Khoo Kay Kim. Saya terpaksa menarik diri menyertai debat tersebut kerana pihak penganjur agak tidak profesional dalam cara pengendaliannya.

Sebelum jemputan dibuat, saya telah beberapa kali mengingatkan pihak penganjur agar memilih tempat yang agak neutral untuk berdebat seperti di dewan-dewan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan bukannya Dewan Perhimpunan Cina sebagaimana yang dicadangkan, atau paling tidak, dewan berhampiran iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun, cadangan saya tidak diambil berat.

Alasan penganjur amat simplistik, semua dewan IPTA penuh, kecuali Dewan Perhimpunan Cina. Saya berasa amat pelik, takkan ketua pemuda mereka, seorang timbalan menteri pelajaran, tidak dapat mencari dewan lain atau sekurang-kurangnya dewan sekolah di bawah seliaan kementeriannya. Namun, saya tetap bersetuju untuk hadir walaupun diadakan di tempat yang penuh ultra kiasu, sebab pihak penganjur berkata debat tersebut akan disiarkan secara langsung melalui salah satu saluran televisyen swasta.

Saya berasa lega jika dapat disiarkan secara langsung. Bukan apa, saya tidak mahu debat dan hujah saya dimanipulasikan selepas itu. Dua hari sebelum debat berlangsung, pihak penganjur mengatakan bahawa, tidak ada siaran langsung, hanya debat biasa sahaja, yang akan dihadiri oleh sekumpulan ultra kiasu. Saya terpaksa membatalkan keputusan untuk menyertai debat tersebut disebabkan oleh sikap bias pihak penganjur. Jangan tuduh saya penakut pula untuk berhadapan dengan mereka.

Persoalan saya, kenapa kita begitu beriya-iya benar nak mengadakannya di Dewan Perhimpunan Cina? Tidak ada tempat lainkah yang lebih baik? Alasan lain mengatakan forum terpaksa diadakan di sana disebabkan Tahun Baru Cina semakin hampir bukanlah alasan yang kukuh. Masa masih panjang. Apa yang penting ialah forum tersebut mesti dianjurkan secara profesional, di tempat yang neutral, agar dapat dihadiri oleh semua peringkat masyarakat. Barulah adil kepada saya.

Saya tidak mahu menjadi mangsa manipulasi akhbar-akhbar perkauman dan kumpulan ultra kiasu. Cukuplah dengan apa yang telah saya alami selama ini. Satu perkara yang saya ingin ingatkan bahawa menegakkan kebenaran itu adalah suatu perjuangan yang pahit. Kita perlu banyak bersabar. Kesabaran ini perlu diikuti dengan usaha menimba ilmu melalui pembacaan dan kajian. Perkara ini amat penting supaya fakta atau hujah yang dikemukakan sukar untuk untuk dipatahkan mahupun dipertikaikan.

Hujah

Lebih baik lagi biarlah hujah tersebut mengikut bidang kepakaran masing- masing, agar ia mempunyai lebih berotoriti. Kadang kala saya amat pelik yang bila mana mereka yang tidak ada kaitan dengan bidang kepakaranpun, beriya-iya hendak menulis dan bercakap sehingga tulisan dan pendapat mereka tersasar jauh. Inilah salah satu ciri ultra kiasu.

Budaya ini juga disebut oleh Syed Hussein al-Attas sebagai budaya pandir, yang merujuk kepada budaya politik yang tidak ada nilai-nilai intelektual. Teringat saya kepada kata-kata pujangga Islam, kita sepatutnya menjadi orang yang tahu, dia tahu, yang dia tahu, inilah yang terbaik. Kalau tidak boleh, jadilah golongan seterusnya iaitu orang yang tahu, dia tidak tahu, yang dia tahu atau mereka yang tidak tahu, dia tahu, dia tidak tahu. Kategori ini masih boleh diterima. Tetapi janganlah jadi manusia yang amat rendah darjatnya iaitu dia tidak tahu, dia tidak tahu bahawa dia tidak tahu atau dia tidak tahu pura-pura buat macam tahu. Kategori akhir ini jahil namanya. Perkara inilah yang perlu dihindari apabila mengemukakan hujah.

Dalam membicarakan landskap politik Malaysia, budaya pandir ini yang amat sukar untuk dihapuskan. Kita suka melabelkan seseorang yang tidak disukai tanpa menilai fakta yang cuba dikemukakan. Lebih serius sampai kita sanggup kita menolak kebaikan yang dilakukan disebabkan oleh sentimen berpolitik.

Lihat sahaja budaya politik antara pemerintah dengan pembangkang, iaitu UMNO (BN) dengan PAS, PKR dan parti ultra kiasu. Di mata pembangkang, tidak ada satupun kebaikan UMNO yang memerintah selama ini, semuanya buruk. Termenung memikirkan, adakah selama ini tidak ada sedikitpun jasa UMNO terhadap negara kita? Adakah apa yang kita nikmati selama ini berlaku secara semula jadi tanpa perancangan? Sekurang- kurangnya berilah pandangan kalaupun tidak banyak, sedikitpun tak apa, akan beberapa kebaikan UMNO. Begitu juga sebaliknya, pandangan UMNO terhadap pembangkang. Jangan tolak semua. Politik pandir sebegini perlu dihentikan. Ia tidak menguntungkan sesiapa.

Selaku ahli akademik, saya melihat UMNOpun ada peranan, pembangkang juga ada peranan dalam demokrasi. Kedua-duanya memberikan sumbangan dalam pembangunan politik, baru ada check and balance. Tetapi, janganlah bertindak kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Disebabkan oleh seorang yang membawa masalah, maka kita pukul rata itulah kesemuanya. Satu dua orang yang terlibat dengan rasuah, maka semua dikatakan rasuah. Persoalan saya, adakah bila kita memerintah, semuanya baik belaka, tidak ada rasuah langsung?

Sebagai umat Islam, kita harus memuji usaha-usaha untuk memerangi rasuah, tidak kira negeri mana sekalipun kerana kita perlu mengikhtiraf kebaikan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang dan ideologi. Tetapi jangan kerana satu kesalahan, sehingga kita sanggup lupa seribu kebaikan yang telah dilakukan orang lain. Saya masih teringat kata-kata seorang ahli tasauf yang begitu terpahat di sanubari sehingga ke hari ini. Katanya, jika mahu hidup selamat dan sepakat, ingat dua perkara dan lupakan dua yang lain.

Selalu ingat pertolongan orang pada kita, lupakan pertolongan kita pada orang. Ingat, salah kita pada orang, lupakan salah orang pada kita. Tidakkah kita boleh berpolitik berlandaskan akhlak sedemikian? Bukankah kita beragama Islam dan bersaudara! Kenapa kita terlalu berkira dan ingin membalas dendam sesama sendiri?

Semua insiden ini mengingatkan saya satu lagi insiden yang hampir sama bila mana orang kuat parti Gerakan, pernah mengeluarkan kenyataan orang Melayu adalah juga pendatang. Kenyataan ini teramat sensitif, namun tidak ramai yang tampil ke hadapan mendesak beliau meletak jawatan. Lebih hiba lagi, kumpulan ultra kiasu ini menyokong kenyataan ini.

Insiden ini memperlihatkan seolah-olah ada pakatan senyap yang begitu licik. Bersatu dalam senyap. Begitu juga isu kalimah Allah yang banyak dibincangkan secara bebas di laman-laman web ultra kiasu. Kadangkala naik ngeri membaca artikel dan komen-komen yang dilontarkan. Mereka yang tidak menyembah Allah pun tidak menyokong kita atau melakukan protes? Ini belum campur lagi ultra kiasu yang menghina kedudukan raja-raja Melayu dan yang terbaru Almarhum Sultan Johor? Bayangkan pula ucapan-ucapan sesama mereka yang tidak dapat difahami oleh kita semua. Kenapa segelintir ultra kiasu ini masih bebas dan tidak dikenakan tindakan?

Itulah yang selalu saya kata, bila kena pada Melayu, heboh satu Malaysia, seolah-olah tidak ada cerita lain. Bila kena pada diri sendiri atau kumpulan sendiri, buat-buat senyap. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Bila kesalahan dilakukan oleh orang Melayu maka dipaksa letak jawatan dan memohon maaf secara terbuka. Bila kena pada mereka, adakah desakan itu dibuat? Pernahkah mereka meminta maaf secara terbuka sedangkan perbuatan mereka juga amat mengguris hati umat Islam? Saya fikir ahli parlimen Jelutong faham apa yang saya maksudkan.

Saya lihat hubungan kaum di kalangan kita semakin rapuh. Jarang sekali berlaku situasi menang-menang (win-win). Apa yang selalu kita lihat adalah satu pihak menang besar, di pihak lain pula kalah terduduk. Persoalannya, sampai bilakah budaya pandir ini mahu diteruskan? Dalam hidup ini, kita perlu telus dan jangan hanya pandai memanipulasikan isu bagi mendapatkan publisiti murahan.

Saya sungguh teruja melihat cara ultra kiasu mempolitikkan gagasan 1Malaysia. Apa-apa juga kekurangan atau sesuatu yang dirasakan tidak adil, maka gagasan 1Malaysialah disalahkan. Sedangkan mereka sendiri bukan tidak faham akan maksud gagasan itu yang sebenar. Saya masih teringat, satu majlis makan malam yang secara kebetulan dalam majlis tersebut banyak menghidangkan makanan berdaging berbanding vegetarian, kerana bilangan bukan Islam boleh dikira dengan jari. Mereka yang tidak makan daging serta merta memberontak meninggalkan majlis sambil menghamburkan kata-kata, "ini bukan 1Malaysia"? 1Malaysia disalahkan kerana tidak berasaskan sama rata sama rasa iaitu 1 > 1 atau satu daging > satu sayur.

Dalam menyelesaikan kemelut ini, penegasan perlu dibuat segera bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep sama rata sama rasa tetapi bersandarkan kepada perlembagaan persekutuan. Perlembagaan adalah sesuatu yang hidup. Justeru, ia mesti dijadikan rujukan asas dalam memahami kehidupan bernegara. Inilah asas ucapan 1Malaysia yang perlu ada apabila kita diberi peluang untuk berucap di khalayak, agar apa yang kita sampaikan, tidak dimanipulasikan.

No comments:

Post a Comment