Sunday, January 3, 2010

RENUNG-RENUNGLAH WAHAI UMAT MELAYU






Kiasi lebih baik daripada ultra kiasu

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia.
Rencana ini adalah pendapat peribadi penulis.

Saya berterima kasih kepada sebuah laman web Malaysian Insider kerana sudi mengulas dan menyiarkan artikel saya dalam laman mereka. Kasihan mereka, artikel dan komen yang baik-baik yang menyokong saya, ditapis dan tidak disiarkan, manakala yang buruk dan negatif diperbesarkan. Mereka sengaja melakukan demikian supaya saya dihentam dan dikritik, termasuk kalangan orang Melayu sendiri yang saya fikir tidak ramai, supaya saya menyerah kalah atau mematikan watak (character assassination). Itulah hakikat yang saya kena terima. Sekutu-sekutu ultra kiasu begitu ramai, menjadi musuh dalam selimut bertindak pepat di luar rencong di dalam. Seperti biasa mereka turut mengaitkan saya sebagai penulis upahan dan tali barut UMNO.

Kepada mereka yang ultra kiasu, kenapa seperti cacing kepanasan? Ramai penulis Melayu yang menulis dan mengutuk Melayu dan Islam, tetapi orang Melayu Islam ini relaks sahaja. Tidak mudah melatah, tidak maki hamun sampai satu keturunan. Inilah sifat yang amat saya puji. Malangnya, bila saya sentuh sedikit sahaja tentang segelintir bangsa saya yang bersifat ultra kiasu, Malaysia semacam sudah tidak ada isu lain, seluruh golongan ultra kiasu bersatu hati bangun mengutuk, menghina dan mencerca saya satu keturunan. Inilah bezanya antara orang Melayu Islam dengan bangsa saya.

Saya fikir sifat orang Melayu yang terlalu bertolak-ansur ini disebabkan oleh mereka beragama Islam. Inilah juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan saya memeluk Islam dengan izin Allah. Jika ditakdirkan Melayu tidak Islam, saya akan biarkan mereka terjun dengan labu-labunya. Agama menyatukan kita semua tidak kira bangsa, tanpa menafikan hak bukan Islam. Namun, saya masih bimbang, adakah terlalu bertolak ansur selama-lamanya boleh diamalkan sehingga kaduk naik junjung?

Tengoklah cara ultra kiasu ini berfikir, bila ada sahaja penulisan yang menyebelahi Melayu Islam maka saya dikaitkan dengan UMNO. Apakah selama UMNO memimpin negara ini kehidupan ultra kiasu menderita dan ditindas? Apakah kekayaan yang dimiliki bukan Melayu melebihi 70 peratus adalah hasil usaha sendiri, bukan disebabkan oleh sistem hidup bernegara yang diterajui oleh orang Islam yang menjadi orang bukan Islam dapat hidup senang lenang? Baik sangatkah mereka yang memerintah Selangor dan Pulau Pinang? Saya lihat sama sahaja. Kalau di Majlis Perbandaran, lihatlah wajah-wajah dan betapa rakusnya mereka merebut projek perbandaran. Dahulu, kata UMNO kroni, bila mereka memerintah adakah ia bukan kroni?

Saya tidak mengatakan bahawa UMNO itu semua betul. UMNO juga mesti berubah dari aspek peribadi akhlak pemimpin dan pengurusan bernegara, jika ingin terus relevan bagi mendapatkan keyakinan rakyat. Jangan sampai kumpulan ultra kiasu berjaya memerintah. Bila ultra kiasu dapat peluang memerintah nanti, kita akan menyesal seumur hidup. Ingatlah, puak ultra kiasu ini amat licik orangnya. Sengaja membutakan hati dan mata.

Saya diminta kemukakan fakta ketika menulis. Apakah yang saya lontarkan itu bukan fakta? Lagipun saya bukan menulis jurnal.Tidak perlulah mengajar saya siapakah dia John Locke dan Thomas Hobbes bila bercakap tentang kontrak sosial. Baca juga pendapat Rousseau untuk memahami makna kontrak sosial yang sebenar. Janganlah petik kata-kata yang tidak menyebelahi diri untuk diaplikasikan agar kita nampak pandai, tetapi sebenarnya tidak.

Diperalatkan

Saya tidak begitu berminat untuk memetik kata-kata sarjana barat ini walaupun saya banyak membaca buku mereka. Saya lebih tertarik dengan pendapat orang Islam, sebab pendapat orang Islam berpandukan kepada Quran dan hadis. Tidak mudah untuk diperalatkan. Jangan biarkan diri kita jahil. Malaysian Insider dan ultra kiasu amat suka orang-orang jahil ini supaya akhirnya mereka boleh menjadi pengikut Santa Claus.

Janganlah mudah berkata di hati mereka ada 'bulan'. Jika memang di hatinya ada bulan, sudah lama mereka turut mengharamkan arak, zina, nombor ekor dan sebagainya. Tetapi mereka ini licik, menyamar untuk mengikuti jejak Umar Abdul Aziz untuk mencairkan jiwa raga kita.

Mereka begitu teruja dengan formula yang saya kemukakan iaitu berasaskan peratusan kaum (agama), 60 peratus Islam, 40 peratus bukan Melayu (22 peratus Buddha-Taoisme-Konfucius, 9 peratus Kristian, 6 peratus Hindu, 3 peratus lain-lain) dan kaitan dengan perayaan dan aktiviti keagamaan. Saya telah sebut, atas dasar toleransi maka formula ini tidak pernah dilaksanakan. Persoalannya, adakah hak mereka dinafikan selama ini sebagaimana yang digembar-gemburkan laman web ultra kiasu tersebut? Jika laman web tersebut boleh menulis apa yang mereka suka, apakah saya tidak boleh? Apakah berita-berita mereka tidak perkauman? Jangan terlalu jahat dengan menuduh orang lain penjahat?

Jika tidak setuju dengan formula saya, bagilah formula ultra kiasu. Tetapi asasnya mestilah Perlembagaan, bukannya Malaysian Malaysia. Kalau Malaysian Malaysialah formulanya, eloklah berbincang dengan Lee Kuan Yew untuk berhijrah ke sana. Bukalah laman web baru di sana, dan cuba kutuk kerajaan Singapura, saya fikir sudah lama laman web tersebut dibuang jauh-jauh, apatah lagi untuk membuka sekolah sendiri.

Teringat saya kepada buku terbaharu karangan SP Huntington bertajuk Who are we . Beliau mengatakan Amerika sejak awal lagi mengambil pendekatan mengasimilasikan semua bangsa yang datang berhijrah demi untuk mencapai perpaduan. Berdasarkan pendapat Huntington ini, tidak timbul soal Amerika itu lebih terbuka sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu ini. Jangan buat gimik. Tok Guru tidak perlu pinda Perlembagaan negeri Kelantan untuk melantik bukan Melayu Islam menjadi menteri besar. Ini kerana bukan Melayu di sana amat sedikit bilangan. Jagalah dan tarbiyyahlah dulu saudara-saudara baru yang masih merempat di sana, itu lebih banyak manfaat daripada membuat tindakan politik terburu-buru. Saya yakin secara senang hati orang Melayu dapat menerima bukan Melayu Islam menjadi pemimpin jika mereka bukan bersifat ultra kiasu, tetapi mempunyai keperibadian Islam yang tinggi dan memahami kaum majoriti.

Saya tidak pernah menafikan hak orang bukan Islam selaku minoriti di negara ini. Jika nafikan, bermakna, saya nafikan juga keturunan saya. Cuma biarlah berpada-pada, hargai toleransi yang telah ditunjukkan. Jangan asyik berkokok, ekor bergelumang tahi. Orang Melayu terlalu bertoleransi, sehingga hak mereka semakin terhakis pun mereka tidak banyak bising. Itu sebabnya saya perlu sedarkan mereka. Saya bimbang bila Melayu hancur, agama Islam yang suci akan turut hancur. Saya tidak pertikaikan hak mereka, tetapi jangan sampai menenggelamkan hak majoriti Islam.

Saya menulis bukan untuk mengambil hati sesiapa atau pun mahu menjadi popular. Kalau sekadar untuk popular, saya sudah popular sejak dahulu lagi. Cuma saya terpaksa tulis sebab kaduk telah naik junjung. Saya bimbang segelintir ultra kiasu ini akan merosakkan semua bukan Melayu yang kurang ultra kiasu. Mereka yang kurang kiasu patut dihargai dan dilindungi berbanding dengan ultra kiasu. Ultra kiasu perlu ingat, apapun yang berlaku hari ini, orang Melayu hanya rugi untuk jangka pendek. Dalam jangka masa panjang, saya tidak fikir mereka akan rugi. Bilangan orang Melayu semakin ramai berdasarkan kepada trend kelahiran, begitu juga dengan mereka yang menyertai pasukan keselamatan seperti tentera dan polis. Apa pun berlaku nanti, pasukan keselamatanlah yang akan mengambil tanggungjawab negara ini. Jika ini berlaku, siapakah yang rugi? Sudah tentu bukan Melayu yang kurang kiasu akan rugi. Kumpulan ultra kiasu sudah tentu akan cabut lari.

Kadangkala menitis air mata mengenangkan masa depan Islam dan umat Islam. Bukan kerana kiasi (takut mati), tetapi memikirkan apakah anak cucu cicit kita akan mewarisi perjuangan kita untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara? Atau mungkihkah mereka akan menjadi cair dengan strategi licik golongan ultra kiasu ini? Jika inilah yang berlaku, amat malang bagi Malaysia, sebuah negara bermula dengan Tanah Melayu. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku. Jangan ulangi kesilapan yang sama. Jika kita silap lagi, saya amat bimbang kita tidak dapat berpatah balik. Ingatlah, kadangkala Allah beri kita peluang, kadang kala tidak. Islam sukar untuk bangkit selagi umat Islam tidak ubah pemikirannya.

Lihatlah bagaimana cara Rasulullah melayan mereka sebelum Islam dengan selepas memasuki Islam. Ingatlah ayat Quran ini tanpa menafikan hak orang bukan Islam. "Hai orang yang beriman, siapa saja di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang mencintai-Nya, dan mereka pun cinta pada-Nya, mereka bersifat lemah lembut terhadap kaum muslimin, dan tegas keras terhadap orang kafir, selalu berjuang untuk menegakkan agama Allah dan tidak menghiraukan celaan orang yang mencela. Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui" [Al maidah, ayat 54]

Ayat ini menyuruh kita berlembut dengan orang Islam. Ia juga menyuruh kita bertegas dan bersikap keras terhadap bukan Islam yang ultra kiasu. Bukannya kita boleh pukul rata dengan sikap berlembut kita terhadap orang bukan Islam. Kajilah sama ada mereka ultra, sederhana atau kurang kiasu. Apatah lagi jika mereka banyak melakukan kerosakan di muka bumi ini seperti kafir harbi. Perlukah kita berkompromi dengan mereka?

No comments:

Post a Comment