Tuesday, January 26, 2010

Demi Menegakkan Kebenaran




‘Rela dipecat’

Oleh Zulkiflee Bakar dan Saiful Haizan Hasam
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menegaskan beliau bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan ketegasannya dalam memperjuangkan isu berkaitan Islam.

Walaupun akur dengan keputusan mesyuarat Biro Politik PKR hari ini yang akan menghadapkan beliau kepada jawatankuasa disiplin parti kerana membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, namun Zulkifli berkata, beliau juga mempunyai hak dan pendirian berhubung perkara itu.

‘‘Tidak apa saya tunggulah sebulan apa yang hendak dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana ia dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan parti, itu hak mereka, tetapi saya juga ada hak.

‘‘Malahan saya tidak perlu pun tunggu sebulan untuk mengambil pendirian dan membuat keputusan, saya ada pilihan berbuat demikian tanpa menunggu jawatankuasa disiplin,’’ katanya.
Add to Google


Salam 2 all.

ALLAH berfirman yang mafhumnya tiap orang yang beriman pasti akan di uji. Rasulullah saw bersabda, diakhir zaman nanti untuk menjadi Islam itu adalah pelik, sebagaimana Islam itu bermula pelik. Dan kata Rasulullah, kelak nanti kamu akan melihat nanti memegang kepada Islam adalah saperti memegang bara api!!

Melihat kepada kenyataan akhbar yang riuh dibuat adalah jelas hukuman sudah pun dijatuhkan kepada saya walaupun belum lagi ada apa-apa prosiding dibuat terhadap saya. Kelihatan Fira'un-Fira'un Kecil mula menyalak sana sini menuntut kepala saya dipancung!

Dosa saya: hanya kerana mempertahankan kalimah suci ALLAH daripada disiat-siut dan dicemar oleh golongan yang terlalu mempertuhankan politik. Politik menghalalkan segala cara walaupun perlu menggadai anak bini, politik itu tuhan walaupun ALLAH terpaksa di pijak.

Sejak berjuang untuk Islam, saya sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Dari zaman saya mula mengenal Islam sebagai suatu addeen yang indah dan benar, saya sudah bersedia untuk menerima hakikat saya akan menerima pelbagai cabaran dan halangan.

Lebih banyak dugaan dan cubaan, lebih saya bersyukur kepada ALLAH. Sedangkan Nabi kekasih ALLAH melalui ujian yang maha hebat, inikan insan kerdil saperti saya.

Cuma yang peliknya, sampai sa'at saya menulis ini, saya masih belum menerima apa-apa notis untuk menghadiri apa-apa prosiding jawatankuasa disiplin atau Biro Politik yang katanya nak bersidang hari ini untuk menentukan tindakan terhadap saya. Sedang Fira'un-Fir'aun Kecil ini sudah pun dalam proses mencincang lumat saya didalam media sana sini, tapi sehingga kini saya tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau hak membela diri.

Yang saya diberitahu, cuma ada satu taklimat khas oleh DSAI untuk semua wakil rakyat dan pimpinan tertinggi PKR pagi ini berkaitan kes liwat yang akan bermula minggu depan. Itupun saya telah maklumkan saya tidak dapat hadir kerana sudah ada program terdahulu yang tidak dapat saya batalkan.

Apa pun, saya telah menegaskan bahawa dalam isu penyalahgunaan kalimah ALLAH ini saya tidak akan berkompromi walau setitik. Saya bersedia dengan sebarang kemungkinan. Moga ALLAH memberikan keampunanNya kepada saya dan memberi petunjukNya. Ameen.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
10 Safar 1431
26 Januari 2010

No comments:

Post a Comment