Tuesday, September 8, 2009
BANTAHAN TERHADAP MALAYSIA KURANG BIJAK
Bantahan terhadap Malaysia kurang bijak - Warga Indonesia
Oleh SYAHIDI BAKAR
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Rakyat Indonesia di negara ini menyifatkan provokasi pihak tertentu di republik itu sebagai satu tindakan terdesak yang kurang bijak dan tidak bertamadun.
Menurut mereka, sejarah rumpun Melayu yang berkongsi bahasa, budaya serta adat sejak ribuan tahun lalu perlu dihayati kembali agar sejarah hitam yang pernah tercetus tidak akan berulang.
Razak Mawardi, 22, dari Riau berkata, provokasi dan ancaman yang dicetuskan itu sebenarnya tidak menggambarkan senario keseluruhan pendapat rakyat di republik itu.
Katanya, isu tersebut tidak perlu disensasikan kerana sudah jelas kedua-dua negara mempunyai kaitan sejarah serumpun yang sama dan tidak perlu dipertikaikan.
''Saya rasa isu itu tidak wujud sama sekali. Ini mungkin tindakan sesetengah pihak atau individu tertentu yang mempunyai kepentingan untuk cuba mengalihkan perhatian rakyat.
''Lagipun sejarah telah membuktikan bahawa kedua-dua negara adalah serumpun dan banyak berkongsi kebudayaan, bahasa malah agama yang sama,'' katanya ketika ditemui di Masjid Jamek di sini hari ini.
Razak diminta mengulas laporan agensi berita asing mengenai sekumpulan 486 sukarelawan di Indonesia yang mempersiapkan diri kononnya untuk berperang dengan Malaysia.
Dua hari lalu, penyelaras kempen anjuran Kumpulan Pemuda Nasionalis Bendera, Mustar Bonaventura memberitahu agensi berita AFP, sukarelawan itu telah menyimpan stok makanan, ubat-ubatan termasuk senjata seperti pedang samurai bagi menghadapi kemungkinan perang.
Tindakan itu diambil ekoran tuduhan Malaysia mencuri Tarian Pendet yang berasal dari Bali yang dilemparkan oleh media massa Indonesia terhadap Malaysia.
Malaysia turut menjadi sasaran beberapa demonstrasi di Jakarta kerana tuduhan itu walaupun pihak kedutaan telah memberikan penjelasan bahawa satu klip video 30 saat yang menyelitkan sekilas Tarian Pendet dibuat oleh syarikat swasta di Singapura dan tiada kaitan dengan pihak Malaysia.
Sementara itu seorang pembantu kedai, Yanti Puteri Sikumbang, 24, yang berasal dari Sumatera Utara berkata, tindakan dan ancaman perang itu bukan merupakan tindakan bijak.
Katanya, mungkin terdapat isu atau perkara yang tidak diselesaikan dengan baik sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli kumpulan tersebut.
Namun, katanya, banyak ruang yang boleh digunakan untuk menyelesaikan isu berbangkit dan diselesaikan secara aman, berbanding menggunakan tindakan kekerasan yang ternyata tidak praktikal dan bertamadun.
''Saya sama sekali tidak bersetuju dengan provokasi dan ancaman perang yang cuba dibuat oleh kumpulan tertentu yang sebenarnya tidak senang dengan hubungan serumpun kedua-dua negara sejak sekian lama.
''Tindakan yang dibuat itu lebih bersifat peribadi kerana sebarang isu atau masalah antara kedua-dua negara sebelum ini pasti akan dapat diselesaikan dengan baik melalui rundingan,'' ujarnya.
Dalam pada itu, seorang peniaga, Anne Ismail, 33, yang berasal dari Dumai berkata, provokasi dan ancaman tersebut tidak perlu dipandang serius dan ia hanyalah retorik semata-mata.
Katanya, tindakan kumpulan tersebut semata-mata cuba menarik perhatian ramai yang akan dapat meningkatkan sokongan terhadap mereka.
''Kebiasaannya sebarang isu yang berbangkit antara dua negara berjiran ini yang berkongsi banyak persamaan seperti bahasa, budaya dan juga agama pasti akan dapat diselesaikan oleh kebijaksanaan pemerintah kedua-dua negara melalui jalan rundingan.
''Justeru saya berpendapat isu ini tidak berasas dan tindakan serta ancaman dibuat itu hanyalah sekadar untuk meraih populariti,'' jelasnya yang telah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki tempatan.
Bagi Suci Eltrianti Ahamad, 36, dari Sulawesi, provokasi tersebut adalah cetusan kumpulan-kumpulan baru di Indonesia untuk mendapatkan sokongan kumpulan lebih besar.
Menurutnya, kumpulan ini akan membangkitkan apa juga isu yang berpotensi untuk mendapat perhatian rakyat yang secara tidak langsung akan menyokong perjuangan mereka.
''Kumpulan-kumpulan baru ini biasanya akan cuba menarik perhatian ramai dengan perjuangan yang cuba dibawa oleh mereka lalu membangkitkan isu yang mampu mempengaruhi tindakan rakyat.
''Bagaimanapun, saya berkeyakinan sebarang isu dua hala yang timbul ini akan dapat diatasi jika ruang perbincangan antara dua pihak diusahakan secepat mungkin,'' katanya.
Seorang lagi rakyat Indonesia, Budirman Sukiman, 25, dari Jawa Barat pula menjelaskan, tindakan perang seperti yang dicanang itu tidak mungkin terjadi dalam keadaan hubungan erat antara dua negara berjiran.
''Sukar untuk menjelaskan apa motif sebenar tindakan kumpulan tersebut untuk melancarkan perang ke atas Malaysia sedangkan tiada isu besar yang menggugat keselamatan negara.
''Bagaimanapun, saya percaya ini hanyalah tindakan pihak tertentu yang tidak menyenangi hubungan yang terjalin serta bertujuan meraih populariti sementara,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon agar rakyat Malaysia tidak mengendahkan provokasi tersebut kerana ia tidak mungkin terjadi.
Putrakencana :
Rakyat Indonesia perlulah bijak berfikir, perkara ini didalangi oleh Musush-musuh Islam yang ingin melihat Malaysia dan Indonesia berselisih faham.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalamualaikum Putra,
ReplyDeleteKadang-kadang kita pun heran. Benda benda kecil hendak diperbesar-besar. Mak Cik terbaca ada pendapat yang mengatakan kumpulan yang bising pasal Malaysia di sana tu 'dicucuk' oleh orang sini yang nak ganggu pentadbiran Najib. WaAllahuAlam. Kita pun tak mahu dan boleh tuduh sebarangan atau pasang serkap jarang sahaja.
Elok juga Polis Malaysia berkerjsama dengan Polis Indonesia dan cari ke lubang cacing SIAPA sebenarnya dibelakang ini semua. Kalau tidak benda ini sampai bila pun tak selesai.
WaAllahuAlam.