Monday, July 20, 2009

Bila Isu Bangsa Cina bising satu dunia, Isu Bangsa Melayu Senyap.

Iktibar suruhanjaya ketuk-ketampi?

KEMATIAN setiausaha politik kepada seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock baru-baru ini telah mendapat perhatian ramai dan menjadi 'isu besar' menenggelamkan isu-isu lain.

Terdapat berbagai-bagai tindak balas ke atas isu itu. Ada sesetengah pihak menggunakannya bagi tujuan kepentingan politik dan sebagainya. Justeru ada pihak yang mengadakan tunjuk perasaan, bantahan dan juga mendesak kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Penyiasat.

Berhubung dengan desakan itu kerajaan telah mengumumkan akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet sekembalinya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari lawatan ke luar negara.

Namun, ada pihak lain yang tidak bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya itu dengan alasan-alasan tersendiri.

Seperti mereka, saya juga tidak setuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu. Ini kerana kejadian itu kini disiasat oleh pihak polis kita (PDRM) dan percaya dengan kemampuan serta profesionalisme mereka. Justeru saya berharap kerajaan dan semua harus memberi kepercayaan kepada pasukan polis kita.

Saya percaya tentu ada antara kita yang masih ingat lagi kejadian seorang 'wanita Cina' yang dituduh oleh sesetengah pihak 'diseksa' ketuk-ketampi oleh polis ketika ditahan reman di lokap. Malah isu itu telah dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

Berikutan desakan pihak tertentu seperti dalam isu ini juga, kerajaan pada masa itu terus mengambil keputusan menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan itu. Malah lebih memalukan apabila kerajaan mengambil langkah mengutus seorang menteri ke negara China untuk memohon maaf. Siasatan kemudiannya mendapati wanita yang didakwa diseksa itu bukan 'wanita Cina' tetapi wanita Melayu. Isu itu kemudiannya terus senyap.

Kesan daripada tindakan sedemikian imej kerajaan tercalar. Lebih mendukacitakan sebahagian rakyat seolah-olah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan memberi sokongan kepada pihak pembangkang yang 'membesarkan' isu itu.

Kini nampaknya pihak tertentu itu cuba menjadikan isu kematian Beng Hock sama seperti isu menjelang Pilihan Raya Umum 2008 itu, dengan menekankan kerajaan menubuhkan suruhanjaya lain pula. Kali ini untuk 'menyiasat' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula.

Ini bermakna sekiranya kerajaan bersetuju dengan desakan itu, seolah-olah 'perjuangan' pihak pembangkang 'berjaya'. Ia sekali gus mampu menarik minat lebih ramai lagi rakyat untuk menyokong mereka kerana dianggap 'mereka berada di landasan betul'.

Semoga langkah-langkah 'silap' pada masa lalu itu dapat kita jadikan sebagai pengajaran dan pedoman bagi mengambil langkah yang selepasnya. Juga diharapkan pada masa tertentu kerajaan wajar mengambil langkah tegas serta 'percaya' dengan agensi tertentu seperti PDRM, SPRM dan lain-lain yang bekerja dengan penuh bertanggungjawab serta dedikasi.

Percayalah dengan keyakinan yang diperlihatkan oleh kerajaan terhadap agensinya itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta agensinya dan justeru tidak perlu menubuhkan badan-badan lain.

Ini kerana ia bukan sahaja mendatangkan kesan tidak baik kepada agensi kerajaan sendiri tetapi juga mengakibatkan pembaziran waktu, tenaga dan sudah tentulah wang ringgit.

Kesimpulannya, bagi menjimatkan masa, tenaga dan wang serta untuk membuktikan kebolehan PDRM dalam menyiasat kes seperti ini sewajarnyalah kerajaan tidak menubuhkan apa-apa suruhanjaya lain bagi menyiasat kes ini; melainkan dalam keadaan yang amat mendesak.

ABU NAWAS

Sungai Petani, Kedah

No comments:

Post a Comment