Thursday, July 30, 2009

HARGAILAH MEREKA


Hargai jasa pesara tentera

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

UMUMNYA Hari Pahlawan yang disambut hari ini sangat sinonim dengan kempen mengutip derma untuk membantu kebajikan terutamanya di kalangan pesara tentera.

Ia juga menjadi sumber pendapatan utama dalam menggerakkan pelbagai aktiviti membabitkan pesara tentera termasuk di bawah Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).

Namun jauh di sudut hati Presidennya, Datuk Mohamad Abdul Ghani, beliau berharap agar Hari Pahlawan satu hari nanti dapat disambut dengan cara berbeza.

Tiada lagi kempen yang menagih sumbangan daripada orang ramai atau sektor korporat.

Sebaliknya bekas pesara yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti penduduk miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak-anak yatim dan sebagainya.

Ia juga selari dengan semangat perjuangan yang disemai di kalangan anggota tentera iaitu bersedia membantu dan berkorban setiap masa.

Bagaimanapun Abdul Ghani menyedari, impian itu masih jauh untuk dicapai.

Ketika ini, bekas anggota tentera sendiri masih mengharapkan bantuan terutamanya daripada kerajaan yang disalurkan sama ada menerusi Kementerian Pertahanan atau Jabatan Hal Ehwal Veteran Anggota Tentera Malaysia (JHEV).

Tetapi bagi Abdul Ghani, bantuan itu bukanlah sesuatu yang perlu disembunyikan kerana ia sejajar dengan pengorbanan mempertahankan negara sepanjang bergelar perajurit.

Menjadi benteng yang memagari negara sepanjang masa daripada ancaman keselamatan dalaman dan luaran, pengorbanan bekas anggota tentera terlalu tinggi untuk dibiarkan begitu sahaja.

Ketika ini, dianggarkan terdapat kira-kira 15,000 anggota tentera yang memagari perbatasan negara sama ada di laut, udara dan darat.

Ia tidak termasuk anggota tentera yang bertugas di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tentera pengaman di negara-negara bergolak antaranya di Lebanon.

Kerana itu juga, PBTM ujar Abdul Ghani, akan terus berperanan sebagai tali yang menghubungkan bekas tentera kepada bantuan-bantuan kerajaan dalam memastikan nasib mereka terus dibela.

Peranan PBTM itu tambah beliau, akan lebih terjamin dengan kesediaan kerajaan menggubal akta khusus untuk menjaga kebajikan pesara tentera iaitu Akta Veteran.

Akta yang sudah dikaji sejak 1994 itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Pentingnya akta itu menurut Abdul Ghani, bagi memastikan kebajikan bekas tentera terjamin secara khusus dan kekal sepanjang masa.

Kerana itu juga semua bekas anggota tentera diminta memberi input dan cadangan bagi memantapkan akta itu sebelum ia diluluskan.

Ketika ini antara yang menjadi pertimbangan akta itu ialah tambahan bantuan kecemasan membabitkan kematian di kalangan bekas anggota tentera daripada RM500 kepada sehingga RM3,000.

Di bawah akta yang sama turut dicadangkan penubuhan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk anak-anak tentera dan bekas tentera.

Bantuan-bantuan pendidikan lain seperti biasiswa juga bakal dipertingkatkan apabila akta itu berkuat-kuasa nanti.

Dengan adanya akta itu juga, beliau berharap semua bekas tentera di seluruh negara dapat menyertai persatuan itu.

Ketika ini, keahlian PBTM di seluruh negara berjumlah kira-kira 142,000 orang.

Bagaimanapun, dianggarkan seramai sekira-kira 60,000 bekas tentera belum menjadi ahli.

Pentingnya keahlian itu jelas Abdul Ghani, bagi membolehkan PBTM memantau kebajikan kira-kira 5,000 anggota tentera yang bersara setiap tahun.

Ia juga bagi memastikan setiap kebajikan bekas tentera dapat disampaikan secara menyeluruh tanpa ada yang terpinggir.

Antara yang menjadi perhatian PBTM ketika ini tambah Abdul Ghani adalah untuk memastikan setiap bekas tentera diberikan pencen sesuai dengan tempoh perkhidmatan mereka.

Ia membabitkan bekas tentera yang berkhidmat selama 21 tahun yang tidak mendapat faedah pencen seperti kakitangan awam lain yang berkhidmat selama 25 tahun.

"Pemberian pencen itu juga diharapkan meliputi anggota tentera wataniah memandangkan peranan mereka dalam mempertahankan negara juga tidak berbeza dengan anggota tentera lain," ujar beliau.

PBTM juga berharap tambahan pencen kepada bekas tentera kumpulan OKU turut diperluas.

Ini kerana tambahan pencen itu hanya dinikmati oleh kira-kira 1,630 orang bekas anggota tentera yang bersara bermula pada 2001.

Kira-kira 300 orang bekas tentera lain yang bersara lebih awal tidak mendapat faedah tersebut sedangkan ada di kalangan mereka yang bertugas sewaktu era komunis dan konfrontasi.

Begitu juga dalam soal memastikan setiap bekas tentera mendapatkan pekerjaan sebaik bersara terutamanya selepas 21 tahun terpisah dengan dunia luar.

PBTM akan memastikan setiap bekas tentera mendapat kemahiran tertentu terutamanya menerusi Persatuan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi membolehkan mereka diterima oleh sektor pekerjaan.

Ketika ini, hanya kira-kira 30 peratus sahaja pesara tentera yang mengikuti kursus dengan Perhebat.

Dalam memastikan setiap anggota tentera memiliki rumah sebaik bersara pula, PBTM berusaha untuk membolehkan mereka diberi pinjaman perumahan khusus.

Ia termasuk pinjaman perumahan berjumlah RM70,000 bagi anggota yang berkhidmat selepas tempoh enam bulan.

PBTM berharap setiap anggota tentera diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah rakyat menerusi permohonan cadangan perumahan di negeri masing-masing.

"Semua usaha ini sebenarnya sejajar dengan matlamat kami dalam mencapai - seorang tentera, satu kemahiran, satu pekerjaan dan satu rumah," Abdul Ghani.

Sesuatu yang pasti, apa yang diusahakan oleh PBTM itu bukanlah bermaksud untuk meminta-minta atau diberi kelebihan melampau oleh kerajaan.

Tetapi ia merupakan satu bentuk pembelaan kepada nasib bekas anggota tentera sesuai dengan pengorbanan mereka dalam membela nasib bangsa, agama dan negara.

Putrakencana :

Pengorbanan mu tiada tolok bandingnya. Selamat Hari Pahlawan. Kekalkan keamanan yang sedia ada ini dan jangan lagi cuba menghuru-harakan negara yang kita cintai ini Malaysia.

No comments:

Post a Comment