Wednesday, March 3, 2010

Seorang Demi seorang Ahli Parlimen Keluar.



PKR dilanda masalah besar

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 3 Mac - Tindakan 10 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini melafazkan ikrar taat setia kepada parti itu menunjukkan PKR sedang dilanda masalah dalaman yang berat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia kerana ketika ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan akan melompat keluar daripada parti itu selepas 'peristiwa 16 September' tahun lalu, pihak pengurusan parti tidak pernah pula meminta mereka berikrar untuk taat setia.

''Jadi, nak angkat sumpah ikrar setia menunjukkan sebenarnya mereka ada masalah sehingga terpaksa minta wakil-wakil rakyat berikrar sebegitu rupa, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana tahun lepas mereka kata, kitalah yang akan berada dalam tenat dan pada masa itu, kita tidak minta pula wakil-wakil rakyat kita berikrar.

''Mungkin apa yang mereka lakukan itu, rakyat boleh menilai betapa beratnya keadaan di sana (PKR) sehingga terpaksa pula meminta orang yang sepatutnya setia kepada parti berikrar. Adakah yang tidak berikrar itu tidak setia kepada PKR?," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, hari ini.

Hari ini satu portal berita melaporkan 10 Ahli Parlimen PKR yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti itu menafikan spekulasi yang mereka akan keluar parti.

Mereka turut menyatakan ikrar akan terus menyokong Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin pakatan pembangkang.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun menyeru ahli-ahli BN supaya tidak melihat kelemahan parti pembangkang itu sebagai satu kekuatan kepada parti.

Menurutnya, ahli parti perlu meneruskan agenda kerajaan dalam apa jua keadaan parti pembangkang kerana ia adalah janji kepada rakyat dan bukan kepentingan politik parti.

''Ia kerana rakyat akan mengadili kita bukan kerana kelemahan parti pembangkang itu tetapi kekuatan BN dan UMNO sama ada berjaya melaksanakan tanggungjawab atau tidak kepada mereka.

''Ini khususnya dalam keadaan yang mana kita bertanggungjawab melaksanakan beberapa agenda nasional dan tidak penting sama ada semua Ahli Parlimen PKR keluar parti atau tidak," katanya.

No comments:

Post a Comment