Thursday, October 15, 2009

UCAPAN SULUNG SEBAGAI PRESIDEN UMNO







Bangkit untuk berubah

NAJIB Tun Razak berucap penuh bersemangat sambil para perwakilan bingkas bangun memberikan reaksi tanda menyokong Presiden UMNO itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Setiap pemimpin dan ahli UMNO diminta bangkit menyalakan obor perubahan bagi memartabatkan perjuangan parti dengan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan rakyat untuk membentuk kerajaan yang kuat serta stabil.

Dengan nada lantang dan tegas, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan semangat setiap perwakilan supaya bangkit bersama-samanya kerana amanah yang besar itu tidak mampu dipikul oleh beliau bersendirian.

“Bangkitlah semua bersama-sama saya,” seru Najib sambil para perwakilan dan tetamu spontan berdiri menyahut seruan beliau dengan memberikan tepukan gemuruh.

Malah sebahagian daripada mereka kelihatan sebak mendengar ungkapan Najib.

“Saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang-pejuang UMNO di bahagian, pendokong-pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya.

“Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan ini,” tegasnya.

Seruan Presiden UMNO itu disambut dengan laungan ‘Ya’ oleh para perwakilan yang bergema memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

“Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang hak.

“Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

“Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung,” tegasnya yang terus disambut dengan laungan ‘Ya’ daripada perwakilan yang terus berdiri diresapi semangat ucapan Presiden Parti.

Najib menutup ucapan bersemangat itu dengan ungkapan: “Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

“Kendati tergantung awan di langit, Telah terlanjur kubentangkan layar. Walau badai datang menggulung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku berbalik haluan. Hidup UMNO! Hidup Melayu!”

No comments:

Post a Comment