Tahniah Raja Nazrin
TITAH ucapan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah Khamis lalu sepatutnya mewujudkan satu takrifan baru dalam soal ketuanan Melayu, hak istimewa Melayu dan seterusnya hidup mati orang Melayu dan agama Islam di negara ini.
Titah ucapan Raja Nazrin itu adalah sesuatu yang amat besar dan penting dan perlu dijadikan panduan pemikiran kepimpinan Melayu, politik Melayu dan daya pemikiran Melayu.
Ketika berucap menutup Kongres Ekonomi Islam Ke-3 di Kuala Lumpur, Raja Nazrin bertitah, penempatan semula kampung-kampung baru untuk hampir setengah juta orang Cina di zaman darurat dulu adalah berupa pencerobohan dan mencuri hak tanah orang Melayu.
Ia juga membuktikan bahawa ketuanan Cina dan hak istimewa orang Cina adalah lebih perkasa daripada apa yang dikatakan ketuanan Melayu dan hak istimewa Melayu.
Ini disebabkan di segi ekonomi Rancangan Briggs yang dibantah oleh raja- raja Melayu itu telah dapat melonjakkan taraf hidup orang Cina yang datang ke negara ini sehelai sepinggang.
Lihatlah kemajuan kampung-kampung yang dilengkapkan dengan bekalan api dan elektrik dan dari segi nilai hartanah ke semua tanah ini bernilai ratusan ribu ringgit malah berjuta bagi yang berdekatan Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar.
Bukan sahaja orang Cina, orang India juga menikmati hak-hak istimewa setiba sahaja ke negara ini. Mereka ditempatkan di rumah-rumah estet atau rumah-rumah kerajaan atau government quarters di Keretapi Tanah Melayu, Lembaga Letrik Negara (LLN), JKR dan lain-lain.
Malangnya, pada waktu orang Cina dan India diberikan hak-hak istimewa, orang Melayu langsung tidak tahu apa yang berlaku kerana mereka tinggal di kampung-kampung dengan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Orang-orang Cina ini ditempatkan di kampung-kampung baru seperti di Kepong, Jinjang atau Selayang di Kuala Lumpur kerana Kerajaan British hendak memotong bekalan makanan kepada komunis. Orang-orang Cina yang tinggal di pinggir-pinggir hutan pada waktu itu dianggap penyokong komunis.
Seterusnya dengan kedudukan asas yang kukuh ini maka lahirlah anak-anak orang Cina dan India yang berpelajaran tinggi. Kedua-dua kaum ini jugalah yang menikmati dulu kemudahan sekolah-sekolah Inggeris di kawasan-kawasan bandar.
Kata Raja Nazrin, nasib baiklah Tun Abdul Razak melancarkan Felda, 11 tahun selepas Rancangan Briggs. Rancangan itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan kemiskinan orang Melayu.
Malangnya, sekarang ini ada pemimpin Melayu dan Islam sendiri lupa akan sejarah ini.
Mereka bertindak mendaulatkan lagi kampung-kampung baru ini dengan memberikan hak milik kekal atau freehold yang dengan sendirinya akan melonjakkan tanah-tanah kampung baru yang mula-mula sememangnya milik tanah orang Melayu.
Soal ini mungkin tidak perlu dipanjang-panjangkan tetapi mengenangkan orang Melayu masih ketinggalan di semua bidang ekonomi dan sosial seperti perumahan, pekerjaan dan lain-lain maka bolehkah kita melupakannya begitu sahaja.
Terima kasih dan tahniah Raja Nazrin!
SAAD HASHIM
Ampang
No comments:
Post a Comment