Monday, March 9, 2009

KESAN EKONOMI SEMASA NEGARA


Daya saing Melayu, Cina, India

KRISIS ekonomi dunia yang sudah pun melanda Amerika Syarikat dan negara-negara maju lain hinggakan mereka terpaksa melaksanakan dasar 'sosialis' seperti pengambilalihan bank dan memberikan pinjaman penyelamatan (bail-out) yang besar. Kita di Malaysia sudah pun mula merasainya dan kerajaan sedang berhempas pulas merumuskan dasar-dasar membantu sektor perniagaan dan rakyat jelata.

Ramalan-ramalan pakar sudah pun mengesahkan bahawa kegawatan kali ini akan berlanjutan begitu lama. Mungkin lebih lama daripada krisis di Amerika Syarikat pada tahun 1930. Pada ketika itu ramai lelaki di Pantai Timur Amerika terpaksa merantau ke Pantai Barat mencari kerja meninggalkan anak bini, dan anak-anak menjadi kutu jalan.

Dalam soal ini, kedudukan Malaysia dikatakan unik kerana ia dihuni oleh penduduk pelbagai bangsa dan jenis perniagaan pula dikuasai mengikut bangsa. Saya berharap pembuat-pembuat dasar di Perbendaharaan, Unit Perancang Ekonomi dan sebagainya memahami impak krisis ekonomi ini ke atas setiap bangsa yang menghuni negara ini. Impaknya kelak adalah berbeza mengikut etnik Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Impak ke atas orang Melayu, Kadazan dan Dayak adalah lebih kurang sama. Berdasarkan angka-angka sosioekonomi taraf penginapan, pekerjaan, daya saing dalam perniagaan kecil mereka adalah lebih kurang sama.

Orang Cina pula adalah bangsa yang paling versatile dan agile untuk berdepan dengan krisis ekonomi ini. Nisbah simpanan mereka lebih tinggi, kedudukan hutang atau credit rating lebih baik, malah daya saing pekerjaan orang Cina dan India juga lebih berpotensi berbanding orang Melayu.

Ini kerana etnik Cina dan India adalah 'insan global' dan dengan mudah mereka boleh berhijrah ke Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Australia dan New Zealand untuk mencari pekerjaan jika keadaan di Malaysia menjadi teruk.

Ini kerana mereka bukan sahaja bukan Islam, malah mempunyai kemahiran dan kelayakan serta juga rangkaian (network) melalui sanaksaudara di negara-negara tersebut.

Malah di Malaysia sendiri, orang Cina dan India yang punya modal dan kadar simpanan tinggi berbanding Melayu juga boleh mengambil kesempatan daripada krisis ekonomi ini untuk menguasai peluang baru hasil daripada kejatuhan hartanah dan saham syarikat.

Di sini saya ingin paparkan dua kisah benar mengenai soal daya saing rakyat kita yang bekerja di luar negara; seorang Melayu dan seorang bukan Melayu.

Pertama seorang wanita Melayu yang menuntut di Amerika Syarikat di bidang kejuruteraan mekanikal akhirnya mendapat pekerjaan dengan syarikat Boeing, syarikat pembuat kapal terbang dan senjata.

Tiba sahaja 'serangan keganasan' September 11, dia dan pekerja-pekerja Islam lain termasuk orang Islam rakyat Amerika sendiri diberhentikan kerja dan diberikan pampasan kononnya atas sebab keselamatan.

Wanita Melayu ini pun pulang ke tanah air, walaupun dulunya dia sendiri memandang serong terhadap negaranya sendiri yang kononnya mengamalkan dasar yang bertentangan dengan Amerika Syarikat. Kehidupannya kini tidaklah cemerlang.

Sebaliknya kisah kedua iaitu seorang etnik Cina Malaysia yang mempunyai perniagaan kontrak lori binaan berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) kerana krisis ekonomi 1997.

Mula-mula dia dan isterinya ke New York dan menyertai rakan-rakannya bekerja mencuci pinggan di sebuah restoran Cina di kota itu, tetapi tidak lama kemudian seorang kawan lain di Houston, Texas mengajaknya ke sana kerana gaji lebih lumayan.

Setelah beberapa tahun di Houston dan seorang anaknya juga lahir di sana, mereka pulang ke Malaysia dan menganggur sekejap tetapi simpanan yang dibawa balik dari AS lebih daripada mencukupi.

Abang iparnya kemudian menyuruh dia ke Bangkok dan mencari perniagaan dan setelah banyak berbelanja, dia mendapat peluang perniagaan iaitu membeli papan litar komputer untuk dibekalkan kepada syarikat pembuat komputer di Taiwan.

Sekarang dia sudah kaya-raya dan hidup di Malaysia dan Bangkok.

Anaknya yang lahir di Houston pun tidak mahu balik ke Malaysia kerana dia sendiri sudah pun berjaya sebagai warganegara AS.

Inilah bezanya orang Melayu dengan orang Cina dan India. Mereka mempunyai network (orang Cina luar negara) di seluruh dunia.

Sebaliknya orang Melayu Islam bukan sahaja tidak boleh berhijrah mencari kerja di negara Barat, malah hendak ke negara Islam lain pun hampir mustahil kerana ekonomi negara-negara itu sendiri lemah dengan kadar pengangguran yang tinggi.

Oleh yang demikian, pembuat dasar kepada krisis ekonomi ini harus memahami impaknya terhadap orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, dalam usaha membantu golongan itu, kerajaan harus pastikan amalan rasuah dihapuskan terlebih dahulu. Ini kerana disebabkan amalan rasuahlah, daya saing orang Melayu terlalu lemah. Mereka enggan berusaha, sebaliknya mencari jalan mudah melalui amalan buruk itu.

SAAD HASHIM
Ampang

No comments:

Post a Comment