Wednesday, July 22, 2009

UNTUK MENGELAK BURUK SANGKA PIHAK PEMBANGKANG


Inkues kematian Beng Hock

Oleh ZULKIFLI JALIL dan NORLIZA ABDUL RAHMAN
utusan@pengarang.com.my


Najib Tun Razak pada sidang akhbar untuk mengumumkan keputusan Kabinet untuk mencari punca kematian Teoh Beng Hock di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 22 Julai - Kabinet hari ini memutuskan supaya satu inkues diketuai seorang majistret dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, Khamis lalu.

Mengumumkan demikian di sini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kabinet turut bersetuju mewujudkan satu suruhanjaya diraja dengan terma-terma khusus untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Perdana Menteri, Suruhanjaya Diraja Kaji Peraturan Soal Siasat SPRM itu akan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang serta memastikan kejadian sama tidak berulang.

Tegasnya, Kabinet mahu siasatan kematian Beng Hock dilakukan secara menyeluruh dan kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencari kebenaran.

''Kabinet telah mengarahkan pihak Kementerian Dalam Negeri dan polis menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin dan laporan ini akan diumumkan.

''Langkah-langkah ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mencari punca kejadian agar keluarga Beng Hock dan masyarakat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Saya sendiri akan memaklumkan kepada keluarga Beng Hock hasil siasatan ini dan untuk mencari kebenaran, kita jangan campur-adukkan kes ini dengan unsur politik," kata beliau.

Mayat Beng Hock, 30, yang ditemui di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam menjadi misteri kerana kejadian berlaku selepas mendiang memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan tersebut.

Siasatan tersebut berkaitan penyalahgunaan wang kerajaan negeri melibatkan beberapa orang Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Najib berkata, Kabinet dalam mesyuaratnya telah membincangkan dan mengambil maklum pandangan pelbagai pihak berhubung kematian Beng Hock.

''Bagi pihak ahli mesyuarat Kabinet, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Beng Hock atas pemergian beliau," katanya.

Menurutnya, selaras dengan konsep ''1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'', beliau telah memaklumkan kepada Kabinet bahawa institusi kerajaan diwujudkan hanya untuk menjaga hak dan kepentingan rakyat.

Tegasnya, institusi kerajaan tidak boleh bertindak bertentangan dengan kepentingan dan membelakangkan kepentingan rakyat serta melebihi undang-undang dan perlembagaan negara.

Ditanya sama keputusan Kabinet hari ini disebabkan tekanan daripada pihak tertentu, Najib menolak andaian tersebut.

''Tidak ada tekanan malah adalah penting untuk pastikan rakyat yakin pada institusi ini (kerajaan)," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penubuhan suruhanjaya diraja itu hanya khusus untuk mengkaji peraturan soal siasat SPRM dan tidak menjurus secara langsung kepada punca kematian Beng Hock.

Mengenai jangka masa yang ditetapkan untuk inkues berkenaan, beliau berkata, tiada tempoh ditetapkan dan terserah kepada majistret berkenaan.

Ditanya sama ada pegawai SPRM yang menyiasat Beng Hock tempoh hari akan digantung tugas, Perdana Menteri berkata, mereka tidak akan digantung sebaliknya akan ditempatkan di ibu pejabat agensi itu.

Mengenai kemungkinan siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor melibatkan beberapa orang Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dihentikan berikutan kematian Beng Hock, Najib berkata, kedua-duanya merupakan isu berasingan.

No comments:

Post a Comment