Thursday, January 14, 2010

TINDAKAN YANG PALING TEPAT




NGO alu-alukan saranan penarikan tuntutan guna kalimah Allah

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengalu-alukan saranan seorang tokoh Kristian dari Sabah agar akhbar Herald-The Catholic Weekly supaya penerbitan itu menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah di mahkamah.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, dalam menangani isu itu, setiap rakyat di negara ini perlu bersikap rasional dan tidak bertindak mengikut emosi demi menjamin keselamatan negara.

"Kita jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran dan iktibar agar semua orang lebih menghormati sensitiviti masing-masing," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang mahu akhbar berkenaan bersedia menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di mahkamah.

Clarence berkata, langkah itu perlu kerana sudah tiba masanya masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam.

Abu Zahar juga berkata, segala kekalutan mengenai kejadian yang berlaku kerana isu kalimah Allah di negara ini sedang diperhatikan oleh dunia luar.

Justeru, katanya, setiap rakyat harus sedar sekiranya negara berada dalam keadaan huru-hara, pastinya ia akan menakutkan para pelabur seterusnya merencatkan kestabilan ekonomi negara.

Timbalan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Dr. Ahmad Kamsani Samingan berkata, cadangan tersebut disifatkan amat wajar diterima oleh penganut Kristian kerana mampu menenangkan keadaan tegang masa kini.

"Selama ini orang Kristian tidak mempunyai masalah pun menggunakan perkataan tuhan tetapi kenapa kini beria-ria mahu menggunakannya," katanya.

Tambahnya, jika akhbar berkenaan benar-benar ikhlas dan mahu melihat keharmonian negara ini mereka sepatutnya bersetuju menggugurkan tuntutan tersebut.

"Mereka perlu faham penggunaan kalimah Allah amat sensitif bagi orang Islam, justeru mereka perlu menghormatinya," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin berkata, segala keputusan kini perlu diserahkan kepada mahkamah.

"Sekarang ini keputusan sedang dirayu dan ditangguhkan, oleh itu adalah sebaik-baiknya kita nantikan keputusan mahkamah demi menghormati institusi perundangan tersebut.

"Masyarakat juga perlu memberi peluang kepada mahkamah untuk membuat keputusan yang sebaiknya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment