Wednesday, April 15, 2009

TAHNIAH WARGA KERJA PROTON



PM lancar Proton Exora

KUALA LUMPUR 15 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dan merupakan satu pencapaian mercu tanda penting kepada Proton serta industri automotif negara.

Perdana Menteri memberitahu, kejayaan syarikat itu melancarkan MPV Exora merupakan cerminan kepada kejayaan rakyat Malaysia dengan semangat Malaysia Boleh!

“Formula keyakinan tinggi disulami dengan usaha yang gigih telah berjaya merubah aspirasi menjadi realiti.

“Kejayaan Proton menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia tidak ada kurangnya, mereka juga mampu menguasai teknologi automotif yang ditandai budaya ketepatan dan prestasi tinggi yang merupakan dua budaya asas serta teras kepada mana-mana masyarakat maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Proton Exora, MPV pertama Proton di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir Bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir; Pengerusi Proton, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Exora menggunakan enjin 1.6 Campro CPS yang mampu menjana 125 kuasa kuda dengan kuasa terjahan 150Nm serta diperkasa oleh transmisi automatik Mitsubishi empat kelajuan atau manual lima kelajuan.

MPV itu ditawarkan dalam pilihan enam warna dan dua varian iaitu bagi Exora Hi-Line 1.6 Automatik Metallic harganya RM75,998 manakala bagi Exora M-Line 1.6 Automatik Metallic RM69,998.

Sejak dibuka untuk tempahan pada 21 Februari lalu, Proton telah menerima tempahan sebanyak 2,500 unit daripada orang ramai.

Najib memberitahu, hari ini merupakan hari bersejarah buat Proton dan negara kerana Exora adalah MPV buatan Malaysia yang pertama yang mana pemilikan MPV merupakan satu trend masa kini.

Katanya, kemunculan Exora ini mampu memenuhi permintaan pengguna Malaysia yang semakin prihatin terhadap keperluan keselesaan dan juga keselamatan keluarga di jalan raya.

“Kita berbangga kerana dalam proses pengeluaran Exora, daripada proses penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk, ujian dan homologasi sehinggalah proses produksi melibatkan anak-anak tempatan.

“Ini satu bukti kemampuan modal insan negara dan saya difahamkan Exora hanya mengambil masa 18 bulan untuk dibangunkan daripada peringkat akhir reka bentuk (model fix) sehingga ke permulaan produksi,” katanya.

Katanya, keadaan kemelut ekonomi global mutakhir ini menyaksikan nama-nama besar industri automotif dunia sedang bertarung menghadapi kemelut demi kelangsungan organisasi masing-masing.

Najib menegaskan, Proton perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kerana ia tidak mampu berada di dalam zon selesa, oleh itu inisiatif dan usaha perlu ditingkatkan secara proaktif dalam meningkatkan daya saing serta produktiviti.

“Proton perlu mempunyai imej pengeluar yang memenuhi selera pengguna dari segi reka bentuk, kualiti dan harga yang berpatutan dan sebagai pengeluar kereta nasional, syarikat ini tidak terlepas daripada keperluan menjadi sebuah syarikat yang lebih kompetitif bagi menentukan kelangsungan dalam pasaran automotif abad ke-21.

“Kita mesti mencari penyelesaian yang lebih kreatif dan inovatif kepada masalah dihadapi, harus berani keluar dari kotak pemikiran konvensional dan bagi menangani sebarang krisis, kita tidak sekali-kali bersifat dogmatik dan semua opsyen mesti dipertimbangkan demi kepentingan negara,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, Proton mesti melihat dengan lebih serius keperluan mengadakan pakatan strategik untuk mengeluarkan produk yang lebih menjimatkan tenaga dan yang memanfaatkan teknologi yang mesra alam.

Tambah beliau, syarikat automotif negara ini juga perlu mesti sentiasa mendahului pesaing-pesaing untuk berjaya.

“Tidak ada konsep free ride atau free lunch dalam dunia ini.

“Kita harus ingat dan insaf bahawa tiada pesaing akan memperlahankan tempo kemajuannya semata-mata untuk membantu atau menanti kita mengurangkan jurang persaingan yang wujud,” tegas beliau.


Putrakencana :


Tahniah buat warga kerja Proton kerana berjaya mengeluarkan MPV Exora yang boleh memberi persaingan kepada MPV yang lain setaraf dengannya seperti Toyota Avanza , Nissan Grand Livina, Naza Citra dan MPV perodua yang akan dikeluarkan nanti.

Sepatutnya Proton mengeluarkan model MPV 4 tahun dahulu lagi.

Toyota telah banyak memonopoli pengeluaran MPV ini iaitu Model Toyota Avanza.

5 comments:

  1. Salam Tuan,

    Ya betul tu strategi dan fokus Proton terlepas pandang tentang permintaan semasa pengguna yang mahukan kereta yang lebih besar untuk seisi keluarga...

    ReplyDelete
  2. salam..

    Ana rasa kan ni masa terbaik proton buktikan produk yg dipasarkan dapat diterima dunia..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Putra,

    Mak Cik tumpang bangga akan keupayaan Proton terutamanya anak anak muda Malaysia yang meyumbang ke arah kebaikan ini. Malam tadi memang malam kejayan Proton, MPV terbaru.


    Kita boleh!! InsyaAllah, akan selalu boleh.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam ibu,

    Terima kasih ibu, semoga usaha ini akan berterusan sehingga Proton dijadikan jenama yang terkenal setanding dengan jenama dunia yang lain.

    ReplyDelete
  5. tahniah proton. Penderhaka yang sebenarnya adalah UMNO.

    ReplyDelete