Sunday, February 1, 2009

Jangan persenda guna nama Allah

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Tindakan akhbar Herald Catholic yang menggunakan perkataan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayunya boleh mencetuskan krisis agama paling buruk di negara ini.

Justeru pihak akhbar berkenaan serta seorang menteri bukan Islam digesa lebih menghormati sensitiviti umat Islam dengan menghentikan perbuatan mereka serta-merta iaitu sebelum kesabaran umat Islam di negara ini tercabar.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, semua pihak harus sedar bahawa isu yang diperjuangkan oleh akhbar tersebut merupakan satu perkara amat sensitif dan umat Islam sedia bangkit mempertahankan kesucian Islam sekiranya keadaan terdesak.

‘‘Hasil penelitian saya, akhbar Herald Catholic sengaja provokasi masyarakat Islam Melayu kita dengan menyentuh perkara paling sensitif. Ia diburukkan lagi dengan tindakan seorang menteri yang tidak menjaga sensitiviti ini.

‘‘Kita sanggup bangkit mempertahankan hak ini dan Allah sendiri mewajibkan kita berjuang sekiranya kesucian Islam dicemari. Jangan sentuh semangat jihad kami,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas peringatan dan amaran keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ditujukan kepada pemimpin tertentu bukan Islam yang terus menimbulkan isu menyentuh kesucian Islam di negara ini.

Sambil merujuk kepada isu akhbar mingguan Herald Catholic yang mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana menggunakan perkataan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayunya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa perkara itu sepatutnya tidak timbul sekiranya semua pihak prihatin dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Pada 24 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok merayu Kementerian Dalam Negeri membenarkan Herald Catholic menggunakan tulisan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayu sehingga mahkamah membuat keputusan.

Mahmood Zuhdi berkata, dalam keadaan sekarang kerajaan mahu tidak mahu wajar bertindak segera termasuk menggunakan peruntukan undang-undang paling tegas terhadap syarikat akhbar tersebut bagi mengelakkan berlakunya krisis berkenaan.

‘‘Apa yang mereka lakukan ini boleh menyebabkan krisis (agama) dan sekali gus menjejaskan keselamatan negara. Sudah tentu orang Islam akan bangkit kerana mereka cuba mencemari agama kita yang suci ini,’’ ujarnya.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abd. Wahid menyifatkan tindakan Herald Catholic yang menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Menurut beliau, larangan menggunakan perkataan Allah kepada mana-mana agama lain selain Islam telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak bertahun-tahun dahulu.

“Sepatutnya mereka (Herald Catholic) faham perkataan Allah itu tidak harus digunakan kerana perkataan itu adalah khusus kepada agama Islam sahaja dan ia merujuk kepada Tuhan Maha Esa.

“Dalam agama Kristian sendiri, mereka tidak gunakan perkataan Allah, dalam kitab mereka. Sebaliknya, mereka mengunakan perkataan seperti ‘Ilah,’ ‘God,’ ‘Lord’ dan sebagainya bagi merujuk tuhan mereka.

“Namun, tindakan akhbar ini seolah-olah tidak menghormati sensitiviti umat Islam bukan hanya di negara ini semata-mata tetapi seluruh dunia Islam lain,” katanya.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad ketika mengulas isu itu mahu kerajaan mengambil tindakan sewajarnya jika Herald Catholic enggan menghentikan penggunaan perkataan Allah dalam akhbarnya.

‘‘Ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat. Mereka sepatutnya tahu batas-batas hak (beragama) berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang telah ditetapkan.

‘‘Tambahan pula kes ini masih dalam proses mahkamah. Mereka yang meminta kes ini dibicarakan dan seharusnya mereka lebih menunjukkan rasa hormat,’’ tambahnya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula berkata, tindakan Herald Catholic merupakan tindakan yang akan mencetuskan ketegangan agama.

Menurutnya, tindakan itu menunjukkan betapa ceteknya pemikiran beliau yang seolah-olah mencabar Islam sebagai agama persekutuan.

‘‘Akhbar itu sudah melanggar prinsip rukun negara iaitu kedaulatan undang-undang dan ini menunjukkan beliau gagal untuk menjadi rakyat Malaysia yang baik.

‘‘Kerajaan perlu bertegas dalam hal ini dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar itu dan jika perlu gunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),’’ katanya.

Selain itu, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, Herald Catholic sudah mempersendakan orang Islam serta kesucian agama Islam.

‘‘Nama Allah bukan sewenang-wenangnya boleh digunakan. Ini kerana Islam merupakan agama yang suci dan tindakan Herald Catholic ini mempersendakan Islam dan beliau perlu diambil tindakan tegas,’’ katannya.

No comments:

Post a Comment