Thursday, July 30, 2009

HARGAILAH MEREKA


Hargai jasa pesara tentera

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

UMUMNYA Hari Pahlawan yang disambut hari ini sangat sinonim dengan kempen mengutip derma untuk membantu kebajikan terutamanya di kalangan pesara tentera.

Ia juga menjadi sumber pendapatan utama dalam menggerakkan pelbagai aktiviti membabitkan pesara tentera termasuk di bawah Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).

Namun jauh di sudut hati Presidennya, Datuk Mohamad Abdul Ghani, beliau berharap agar Hari Pahlawan satu hari nanti dapat disambut dengan cara berbeza.

Tiada lagi kempen yang menagih sumbangan daripada orang ramai atau sektor korporat.

Sebaliknya bekas pesara yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti penduduk miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak-anak yatim dan sebagainya.

Ia juga selari dengan semangat perjuangan yang disemai di kalangan anggota tentera iaitu bersedia membantu dan berkorban setiap masa.

Bagaimanapun Abdul Ghani menyedari, impian itu masih jauh untuk dicapai.

Ketika ini, bekas anggota tentera sendiri masih mengharapkan bantuan terutamanya daripada kerajaan yang disalurkan sama ada menerusi Kementerian Pertahanan atau Jabatan Hal Ehwal Veteran Anggota Tentera Malaysia (JHEV).

Tetapi bagi Abdul Ghani, bantuan itu bukanlah sesuatu yang perlu disembunyikan kerana ia sejajar dengan pengorbanan mempertahankan negara sepanjang bergelar perajurit.

Menjadi benteng yang memagari negara sepanjang masa daripada ancaman keselamatan dalaman dan luaran, pengorbanan bekas anggota tentera terlalu tinggi untuk dibiarkan begitu sahaja.

Ketika ini, dianggarkan terdapat kira-kira 15,000 anggota tentera yang memagari perbatasan negara sama ada di laut, udara dan darat.

Ia tidak termasuk anggota tentera yang bertugas di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tentera pengaman di negara-negara bergolak antaranya di Lebanon.

Kerana itu juga, PBTM ujar Abdul Ghani, akan terus berperanan sebagai tali yang menghubungkan bekas tentera kepada bantuan-bantuan kerajaan dalam memastikan nasib mereka terus dibela.

Peranan PBTM itu tambah beliau, akan lebih terjamin dengan kesediaan kerajaan menggubal akta khusus untuk menjaga kebajikan pesara tentera iaitu Akta Veteran.

Akta yang sudah dikaji sejak 1994 itu dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Pentingnya akta itu menurut Abdul Ghani, bagi memastikan kebajikan bekas tentera terjamin secara khusus dan kekal sepanjang masa.

Kerana itu juga semua bekas anggota tentera diminta memberi input dan cadangan bagi memantapkan akta itu sebelum ia diluluskan.

Ketika ini antara yang menjadi pertimbangan akta itu ialah tambahan bantuan kecemasan membabitkan kematian di kalangan bekas anggota tentera daripada RM500 kepada sehingga RM3,000.

Di bawah akta yang sama turut dicadangkan penubuhan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk anak-anak tentera dan bekas tentera.

Bantuan-bantuan pendidikan lain seperti biasiswa juga bakal dipertingkatkan apabila akta itu berkuat-kuasa nanti.

Dengan adanya akta itu juga, beliau berharap semua bekas tentera di seluruh negara dapat menyertai persatuan itu.

Ketika ini, keahlian PBTM di seluruh negara berjumlah kira-kira 142,000 orang.

Bagaimanapun, dianggarkan seramai sekira-kira 60,000 bekas tentera belum menjadi ahli.

Pentingnya keahlian itu jelas Abdul Ghani, bagi membolehkan PBTM memantau kebajikan kira-kira 5,000 anggota tentera yang bersara setiap tahun.

Ia juga bagi memastikan setiap kebajikan bekas tentera dapat disampaikan secara menyeluruh tanpa ada yang terpinggir.

Antara yang menjadi perhatian PBTM ketika ini tambah Abdul Ghani adalah untuk memastikan setiap bekas tentera diberikan pencen sesuai dengan tempoh perkhidmatan mereka.

Ia membabitkan bekas tentera yang berkhidmat selama 21 tahun yang tidak mendapat faedah pencen seperti kakitangan awam lain yang berkhidmat selama 25 tahun.

"Pemberian pencen itu juga diharapkan meliputi anggota tentera wataniah memandangkan peranan mereka dalam mempertahankan negara juga tidak berbeza dengan anggota tentera lain," ujar beliau.

PBTM juga berharap tambahan pencen kepada bekas tentera kumpulan OKU turut diperluas.

Ini kerana tambahan pencen itu hanya dinikmati oleh kira-kira 1,630 orang bekas anggota tentera yang bersara bermula pada 2001.

Kira-kira 300 orang bekas tentera lain yang bersara lebih awal tidak mendapat faedah tersebut sedangkan ada di kalangan mereka yang bertugas sewaktu era komunis dan konfrontasi.

Begitu juga dalam soal memastikan setiap bekas tentera mendapatkan pekerjaan sebaik bersara terutamanya selepas 21 tahun terpisah dengan dunia luar.

PBTM akan memastikan setiap bekas tentera mendapat kemahiran tertentu terutamanya menerusi Persatuan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi membolehkan mereka diterima oleh sektor pekerjaan.

Ketika ini, hanya kira-kira 30 peratus sahaja pesara tentera yang mengikuti kursus dengan Perhebat.

Dalam memastikan setiap anggota tentera memiliki rumah sebaik bersara pula, PBTM berusaha untuk membolehkan mereka diberi pinjaman perumahan khusus.

Ia termasuk pinjaman perumahan berjumlah RM70,000 bagi anggota yang berkhidmat selepas tempoh enam bulan.

PBTM berharap setiap anggota tentera diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah rakyat menerusi permohonan cadangan perumahan di negeri masing-masing.

"Semua usaha ini sebenarnya sejajar dengan matlamat kami dalam mencapai - seorang tentera, satu kemahiran, satu pekerjaan dan satu rumah," Abdul Ghani.

Sesuatu yang pasti, apa yang diusahakan oleh PBTM itu bukanlah bermaksud untuk meminta-minta atau diberi kelebihan melampau oleh kerajaan.

Tetapi ia merupakan satu bentuk pembelaan kepada nasib bekas anggota tentera sesuai dengan pengorbanan mereka dalam membela nasib bangsa, agama dan negara.

Putrakencana :

Pengorbanan mu tiada tolok bandingnya. Selamat Hari Pahlawan. Kekalkan keamanan yang sedia ada ini dan jangan lagi cuba menghuru-harakan negara yang kita cintai ini Malaysia.

Wednesday, July 29, 2009

Nizar Dah Gila



Surah AlImraan ayat 118Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.


Surah Al-Imraan ayat 78Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: "(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).


Surah AlImran ayat 28
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.


ASTARGHFIRULLAHHAL'AZIM, apa ke hel nye yeop Nizar kome ni. Tau ler kepola otak dah mereng, tapi takkan nak jual agama semata-mata nak ngikut kater Ngeh dan Nga. Sampe sanggup berlilin-lilin macam paderi Kristian.

Amalan "vigil" ni amalan orang Kristian, kalau yer pun nak tarik pengaruh orang Kristian takkan nak mengamalkan amalan agama mereka. Rasullulah pernah bersabda orang Nasrani dan Yahudi takkan puas hati sehingga orang Islam ikut cara mereka.

Nampaknya Nizar dah ikut cara Kristian. Malah Mufti Tan Sri Harun Sani pun dah cakap amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam. Takkan nak tinggalkan cakap mufti ikut cakap Nga dan Ngeh.

Inilah sebenarnya Nizar bertopengkan agama. Kita nak tengok apa kata pemimpin PAS tentang amalan ahli jawatankuasa pusat PAS yang dapat undi tertinggi dalam pemilihan parti itu.
PERINGATAN BUAT PAS
Selasa, Julai 14, 2009 / Nukilan : Mystique / Respon (3)

KEPUTUSAN PRK MANEK URAI
2009 – PAS: 5,348 undi, BN : 5,2843 undi majoriti 65 undi
2008 – PAS menang dengan 1,352 undi

KEPUTUSAN pilihanraya kecil Manek Urai merupakan penringatan awal pada PAS. Walaupun berjaya mengalahkan calon BN, PAS tidak boleh berbangga dengan keputusan itu.

Merosotnya majoriti dari 1,352 undi ke hanya 65 undi sahaja mempamerkan sikap rakyat yang sudah mula bosan dengan karenah parti pseudo Islam itu. Tambahan pula ini berlaku di Kelantan kubu kuat PAS yang dikepalai oleh Mursyidul Amnya Nik Aziz Nik Mat.

Kenyataan Nik Aziz menyalahkan UMNO terhadap kemerosotan majoriti parti itu adalah sesuatu di dalam jangkakn. Alasan-alasan sebeginilah yang menyebabkan rakyat menyampah dengan PAS. Sepatutnya ia melaksanakan pembetulan dalaman dan bukannya menyalahkan orang lain.

Pemimpin PAS perlu menilai-semula diri mereka. Selagi ada pemimpin PAS seperti Nizar Jamaluddin yang mengalami masalah mental terlampau selagi itulah rakyat akan mula menyampah dan getik dengan PAS. Orang Perak dah masa benar dengan pemimpin seperti ini.

Mungkin penyakit menyampah pada Nizar ni dah berjangkit pada orang-orang Manek Urai, dan kalau dibela pemimpin seperti ini tidak mengejutkan jika kebencian akan merebak ke seluruh Kelantan.

Terima kasih Nizar kerana mengurangkan undi PAS!
Catatan Lama

Wednesday, July 22, 2009

UNTUK MENGELAK BURUK SANGKA PIHAK PEMBANGKANG


Inkues kematian Beng Hock

Oleh ZULKIFLI JALIL dan NORLIZA ABDUL RAHMAN
utusan@pengarang.com.my


Najib Tun Razak pada sidang akhbar untuk mengumumkan keputusan Kabinet untuk mencari punca kematian Teoh Beng Hock di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 22 Julai - Kabinet hari ini memutuskan supaya satu inkues diketuai seorang majistret dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, Khamis lalu.

Mengumumkan demikian di sini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kabinet turut bersetuju mewujudkan satu suruhanjaya diraja dengan terma-terma khusus untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Perdana Menteri, Suruhanjaya Diraja Kaji Peraturan Soal Siasat SPRM itu akan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang serta memastikan kejadian sama tidak berulang.

Tegasnya, Kabinet mahu siasatan kematian Beng Hock dilakukan secara menyeluruh dan kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencari kebenaran.

''Kabinet telah mengarahkan pihak Kementerian Dalam Negeri dan polis menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin dan laporan ini akan diumumkan.

''Langkah-langkah ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mencari punca kejadian agar keluarga Beng Hock dan masyarakat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Saya sendiri akan memaklumkan kepada keluarga Beng Hock hasil siasatan ini dan untuk mencari kebenaran, kita jangan campur-adukkan kes ini dengan unsur politik," kata beliau.

Mayat Beng Hock, 30, yang ditemui di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam menjadi misteri kerana kejadian berlaku selepas mendiang memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan tersebut.

Siasatan tersebut berkaitan penyalahgunaan wang kerajaan negeri melibatkan beberapa orang Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Najib berkata, Kabinet dalam mesyuaratnya telah membincangkan dan mengambil maklum pandangan pelbagai pihak berhubung kematian Beng Hock.

''Bagi pihak ahli mesyuarat Kabinet, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Beng Hock atas pemergian beliau," katanya.

Menurutnya, selaras dengan konsep ''1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'', beliau telah memaklumkan kepada Kabinet bahawa institusi kerajaan diwujudkan hanya untuk menjaga hak dan kepentingan rakyat.

Tegasnya, institusi kerajaan tidak boleh bertindak bertentangan dengan kepentingan dan membelakangkan kepentingan rakyat serta melebihi undang-undang dan perlembagaan negara.

Ditanya sama keputusan Kabinet hari ini disebabkan tekanan daripada pihak tertentu, Najib menolak andaian tersebut.

''Tidak ada tekanan malah adalah penting untuk pastikan rakyat yakin pada institusi ini (kerajaan)," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penubuhan suruhanjaya diraja itu hanya khusus untuk mengkaji peraturan soal siasat SPRM dan tidak menjurus secara langsung kepada punca kematian Beng Hock.

Mengenai jangka masa yang ditetapkan untuk inkues berkenaan, beliau berkata, tiada tempoh ditetapkan dan terserah kepada majistret berkenaan.

Ditanya sama ada pegawai SPRM yang menyiasat Beng Hock tempoh hari akan digantung tugas, Perdana Menteri berkata, mereka tidak akan digantung sebaliknya akan ditempatkan di ibu pejabat agensi itu.

Mengenai kemungkinan siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor melibatkan beberapa orang Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dihentikan berikutan kematian Beng Hock, Najib berkata, kedua-duanya merupakan isu berasingan.

Tuesday, July 21, 2009

PEMBANGKANG CUBA MAIN API PERKAUMAN


Cubaan cetus perkauman

SAYA amat kesal apabila kes kematian mendiang Teoh Beng Hock baru-baru ini dieksploitasi sebegitu rupa oleh pihak pembangkang sehingga menjadi sensasi.

Penulis-penulis blog berlawanan kerajaan mengulas isu ini dan komen-komen yang diberi amat serius dan sangat melampau. Ada antaranya berbau perkauman dan tidak masuk akal sama sekali.

Saya juga amat sedih akhbar-akhbar berbahasa Cina menyiarkan berita kematian berhari-hari hingga enam muka surat, sehinggalah hari pengkebumian. Mengalahkan berita kemerdekaan negara. Apa hal ini?

Pada blog Lim Kiat Siang anda boleh membaca dan menilai cara penulisan dan komen-komen diberi.

Saya tidak berniat membawa isu ini dari sudut perkauman, saya cintakan perdamaian dan kemakmuran seperti sekarang.

Tetapi bagi saya ia seperti telah ada api dalam sekam dan kudis di badan telah merebak. Jika isu sebegini berterusan mungkin parah dan kemusnahan akan berlaku pada negara. Bagi mereka ini semua kerja buruk dan jahat Barisan Nasional serta UMNO.

Sehingga media-media berbahasa Melayu juga di hambur cerca. Pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus dicaci dan tidak dipercayai. Malah boleh dikatakan cubaan menghasut.

Saya juga kesal terhadap parti yang berjuang atas nama Islam tetapi sanggup juga bersama mengepalai dan menjaja isu ini pada ceramah-ceramah yang diadakan.

Saya juga bersimpati kepada keluarga mendiang. Saya juga berminat mengetahui punca kejadian sebenar dan menyerahkan kes ini pada pihak polis untuk menyelesaikannya dengan penuh profesional.

Sehingga kini saya amat percaya dan penuh yakin kepada polis Malaysia menjalankan tugas. Tidak perlulah di adakan suruhanjaya bebas menyiasat perkara ini. Saya percaya kebenaran akan menjelma dan segala kemusykilan akan terjawab akhirnya.

Saya mohon dan merayu kepada rakyat Malaysia supaya dapat memikirkan perkara ini dengan penuh tawaduk dan melihat berdasarkan fakta yang jelas dan logik.

Kita tolak retorik yang pandai bermain dengan kata-kata manis dan kepetahan berpidato yang pandai mengambil kesempatan menggunakan isu untuk kepentingan diri dan kumpulan mereka.

RADZIMAN

Jerantut, Pahang


Putrakencana :

Itulah DAP yang kita kenali sekarang cuba bermain api perkauman.
Jangan anggap Melayu berpecah dan berdiam diri ini lemah. Jangan sesekali mengambil kesempatan ini, alamatnya padah akan menimpa mereka.

Ketahuilah ini Tanah Melayu.

TITAH UCAPAN SULTAN AZLAN SHAH



Pertahan integriti kehakiman

PERLEMBAGAAN Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, satu dokumen perundangan yang komprehensif, mengandungi 15 bahagian dan 183 perkara. Menyentuh aspek-aspek negara, tunggak-tunggak utama negara terdiri daripada badan perundangan, badan eksekutif, badan kehakiman serta institusi Raja Berperlembagaan.

Terkandung di dalam perlembagaan itu garis panduan kaedah membentuk kerajaan, serta bidang kuasa kerajaan.

Perlembagaan Persekutuan, digubal untuk dijadikan landasan mengurus tadbir negara, menentukan parameter pemikiran dan kebebasan rakyat, menggariskan peranan pelbagai institusi, menyediakan mekanisme semak dan imbang untuk menjamin berlakunya urus tadbir negara yang adil lagi saksama.

Perlembagaan Persekutuan merangkumkan manifestasi persetujuan yang dicapai bersama di antara penduduk di negara ini. Ia dirangka secara komprehensif dengan menyentuh aspek-aspek agama, negara, kaum, budaya dan bahasa.

Semangat utama yang tersirat di sebalik penggubalannya adalah untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang stabil, aman, bersatu padu dan makmur, yang akan dicapai melalui ikatan perpaduan dan penyatuan di antara warga yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.

Ia menggariskan jaminan hak seseorang warga di dalam negara, dengan segala perimbangan, dalam semangat memberi dan menerima, dengan persefahaman bahawa ada yang mendapat nikmat serta merta, sementara ada pula yang perlu diberikan jaminan jangka panjang.

Perlembagaan itu digubal sedemikian rupa bagi menjamin berlakunya keadilan, memberikan perlindungan secara saksama baik kepada yang kuat mahupun yang lemah, baik kepada kumpulan majoriti mahupun kepada kumpulan minoriti, baik kepada yang memerintah mahupun yang diperintah, baik yang melindungi Raja begitu juga yang melindungi rakyat.

Ia dihasilkan pada Ogos 1957, digubal dengan melihat pelbagai dimensi. Ia adalah dokumen yang unik yang tidak ada persamaan dengannya.

Dokumen tersebut mengandungi ciri-ciri penting model Westminster yang dibina di dalam ciri-ciri tradisi masyarakat Melayu. Ia digubal dengan memastikan adanya dacing pengimbang bagi menjamin terlaksananya keadilan.

Ia tidak digubal secara terburu-buru, sekadar untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi diunjurkan untuk memberi perlindungan yang berterusan, dengan mengambil kira faktor-faktor sejarah dan salasilah kelahiran sebuah negara baru, sebuah negara merdeka, dikenali pada mulanya Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, kemudiannya Malaysia pada 1963.

Persekutuan Tanah Melayu adalah sebuah negara baru, terdiri dari sembilan negeri Melayu dan dua negeri Selat. Persekutuan dilahirkan setelah mendapat perkenan raja-raja dan penerimaan rakyat Tanah Melayu dan kemudiannya dipersetujui kerajaan Inggeris.

Enam tahun selepas itu, pada 16 September 1963, ia berkembang menjadi sebuah negara Malaysia dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Singapura kemudiannya berpisah dengan Malaysia pada 1965.

Semasa menerima ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, agama dan adat resam.

Maka seharusnyalah diperingatkan bahawa mesti ada suatu asas untuk ditumpukan perhatian. Dalam konteks ini, Malaysia wujud dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak Kesultanan Melayu Melaka. Perkataan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Persekutuan Tanah Melayu masih wujud dalam undang-undang kita.

Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat ini yang melahirkan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.

Tercapai muafakat, bahawa setiap warga terjamin diberi perlindungan secara adil - secara saksama; terpahat kesediaan mengakui hakikat bahawa anak pribumi itu amat jauh ketinggalan daripada segi pencapaian sosio ekonomi, kekayaan, penguasaan harta dan kemahiran.

Bahawa kebimbangan pribumi perlu difahami dan untuk itu orang-orang Melayu demikian juga bumiputera diberikan jaminan melalui peruntukan-peruntukan tertentu yang memberikan mereka keistimewaan. Pada masa sama, orang-orang bukan Melayu yang berhijrah ke bumi ini, yang memperlihatkan kesetiaan kepada raja dan negara, yang mengamalkan sikap "di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung", diberi perkenan untuk diterima sebagai rakyat Malaysia.

Begitulah faktor-faktor yang diberikan pertimbangan ketika Perlembagaan Persekutuan digubal oleh Suruhanjaya Reid. Ahli-ahli suruhanjaya itu dianggotai oleh pakar-pakar dari luar negara yang memiliki kepakaran dalam common law dan hal ehwal perlembagaan.

Lord Reid adalah seorang tokoh perundangan United Kingdom manakala Sir William McKell pula pernah menjadi Governor-General Australia.

Hakim B. Malik memiliki pengalaman membuat tafsiran Perlembagaan India dan bertanggungjawab membantu merangka Perlembagaan Pakistan. Begitu juga Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. Profesor Sir Ivor Jennings pula adalah dari Universiti Cambridge, seorang tokoh akademik terkemuka dalam bidang perlembagaan.

Walaupun Ahli-Ahli Suruhanjaya Reid dianggotai oleh warga negara asing, tetapi mereka memperlihatkan kefahaman mendalam tentang sejarah dan politik Tanah Melayu.

Komponen paling penting yang diterima oleh Suruhanjaya Reid adalah aspek "kontrak sosial". Ia digubal dengan bahasa jelas untuk dipertimbangkan oleh Raja-Raja Melayu, wakil-wakil Kerajaan Persekutuan yang mewakili penduduk berbilang kaum serta kerajaan Inggeris.

Perlembagaan yang dihasilkan itu mencerminkan kontrak sosial antara rakyat pelbagai kaum. Orang bukan Melayu mendapat status kerakyatan sementara bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan bumiputera diberikan perlindungan di bawah kuasa Majlis Raja-Raja.

Kemasukan komponen kontrak sosial di dalam perlembagaan itu merupakan satu pengakuan dan penerimaan hakikat, bahawa penduduk di bumi ini bukan sahaja pluralistik sifatnya, bukan sahaja berada dalam tahap pencapaian sosioekonomi yang berbeza, tetapi tahap pencapaian sosio ekonomi itu pula ada kaitan dengan identiti kaum.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berserta rakan-rakannya berjaya menyatukan penduduk yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa sebelum dapat meyakinkan Inggeris yang mahu berlengah-lengah memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Almarhum berjaya menyemaikan benih kontrak sosial atas sifat tidak rasis atau racial unselfishness yang menjadi prinsip pegangannya iaitu sebuah negara yang bersatu boleh dibina dengan tidak perlu mengorbankan budaya dan adat resam mana-mana komuniti.

Antara perkara lain yang perlu ditegaskan turut terkandung di sebalik Perlembagaan itu ialah prinsip untuk menjamin sistem berkerajaan hendaklah diasaskan kepada undang-undang dan tidak berpaksikan individu. Mekanisme 'semak dan imbang' yang terkandung dalam Perlembagaan berperanan penting untuk membina asas sistem kerajaan berlandaskan undang-undang, demi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang memiliki kuasa secara mutlak tanpa sekatan. Di sebalik setiap kuasa, ia tertakluk kepada sempadan perundangan untuk mengelak daripada berlakunya pemerintahan bercorak diktator.

Maka itu, perlu dipertahankan peranan kehakiman yang profesional dan berintegriti serta bebas dari pengaruh mana-mana pihak. Para hakim mempunyai tanggungjawab besar memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah. Jika mereka gagal memenuhi amanah tersebut, akan berlakulah ketidakseimbangan.

Kesetiaan para hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang. Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, para hakim terdedah kepada penilaian umum kerana telah dibina mekanisme di peringkat mahkamah lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih ramai, untuk menyemak sesuatu penghakiman.

Beta sentiasa merujuk kepada kata-kata Lord Atkinson bahawa "perbicaraan awam itu adalah perlindungan paling penting untuk memastikan keadilan dilaksanakan secara murni, cekap dan tidak memihak serta merupakan cara terbaik untuk mendapat keyakinan dan penghormatan rakyat".

Selagi kerajaan dan mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang, dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan.

Melainkan terdapat di kalangan hakim yang telah hilang integriti atau memilih untuk turut berpolitik atau bersimpati dengan mana-mana kumpulan atau pemikiran politik.

Ujian utama dan paling berat kepada para hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau impartial terutama daripada segi emosi dan kecenderungan. Ketika menyampaikan titah perasmian 12th Malaysian Law Conference pada 10 Disember 2003, Beta menzahirkan pandangan bahawa negara ini merintis perjalanan demokrasi berperlembagaan dengan kesedaran bahawa negara ini adalah negara pelbagai kaum dengan pelbagai bahasa, budaya dan agama.

Perbezaan tersebut perlu disesuaikan dalam rangka perlembagaan yang mengiktiraf tradisi masyarakat Melayu. Lalu diperkenalkan ciri yang unik, iaitu meletakkan sistem kesultanan berada di puncak sistem pemerintahan.

Institusi raja mempunyai tradisi yang panjang dalam sejarah bangsa Melayu berkerajaan dan bernegara di bumi ini. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj amat memahami aspek ini dan sama sekali tidak mahu mencetuskan sebarang konfrontasi dengan institusi raja.

Raja-Raja Melayu dibawa berunding, wakil Raja-Raja Melayu turut menyertai delegasi merundingkan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris. Komponen Raja sebagai Ketua Negara dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong telah diperkenalkan, melalui formula lantikan yang sangat bijak dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

Pengekalan Institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Raja ada peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang yang dapat membantu memperkukuhkan institusi demokrasi.

Selaku Ketua Negara, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa.

Peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong demikian juga Raja-Raja Melayu digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan. Ini bermakna Raja-Raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang. Namun Beta pernah mengingatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan.

Perbezaan di antaranya, yang satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan. Tetapi adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden, yang tertakluk semata-mata kepada Perlembagaan.

Peranan sebenar seorang Raja Pemerintah itu jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan.Profesor Vernon Bogdanor dari University Oxford dalam bukunya bertajuk The Monarchy and the Constitution menyatakan:

"Concentration upon the constitutional powers of the sovereign is liable to give a misleading picture of the contemporary role of a constitutional monarch, for the prime constitunional role of the sovereign occurs, not when a ministry begins or comes to an end, but during the everday life of a government, and consists in the exercise of influence."

Profesor Bogdanor selanjutnya memetik tulisan Walter Bagehot pada pertengahan abad ke-19 yang menghuraikan pandangan bahawa Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak.

Ia adalah hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan; hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran. Raja Pemerintah tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak ini berjaya dikendalikan secara bijaksana lagi berhemah.

Perlembagaan Persekutuan dihasilkan atas semangat rundingan, atas semangat persefahaman, atas hasrat untuk membina penyatuan rakyat, dengan matlamat membina sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat. Semangat-semangat tersebut perlu senantiasa dihidupkan. Budaya perundingan dan musyawarah adalah amalan kita.

Demi keamanan dan demi kesejahteraan negara, rakyat hendaklah disemaikan dengan budaya kehidupan yang dilandaskan kepada semangat Perlembagaan.

Semangat yang menghormati undang-undang serta menghormati institusi penguatkuasa undang-undang. Jika prinsip asas ini tidak dipatuhi lagi dan mahu diketepikan kerana pengaruh budaya luar yang cuba diserapkan, dikhuatiri negara akan terheret kepada satu anarki.

Monday, July 20, 2009

SELAMAT MENYAMBUT ISRAQ MIKRAJ

Bila Isu Bangsa Cina bising satu dunia, Isu Bangsa Melayu Senyap.

Iktibar suruhanjaya ketuk-ketampi?

KEMATIAN setiausaha politik kepada seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock baru-baru ini telah mendapat perhatian ramai dan menjadi 'isu besar' menenggelamkan isu-isu lain.

Terdapat berbagai-bagai tindak balas ke atas isu itu. Ada sesetengah pihak menggunakannya bagi tujuan kepentingan politik dan sebagainya. Justeru ada pihak yang mengadakan tunjuk perasaan, bantahan dan juga mendesak kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Penyiasat.

Berhubung dengan desakan itu kerajaan telah mengumumkan akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet sekembalinya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari lawatan ke luar negara.

Namun, ada pihak lain yang tidak bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya itu dengan alasan-alasan tersendiri.

Seperti mereka, saya juga tidak setuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu. Ini kerana kejadian itu kini disiasat oleh pihak polis kita (PDRM) dan percaya dengan kemampuan serta profesionalisme mereka. Justeru saya berharap kerajaan dan semua harus memberi kepercayaan kepada pasukan polis kita.

Saya percaya tentu ada antara kita yang masih ingat lagi kejadian seorang 'wanita Cina' yang dituduh oleh sesetengah pihak 'diseksa' ketuk-ketampi oleh polis ketika ditahan reman di lokap. Malah isu itu telah dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

Berikutan desakan pihak tertentu seperti dalam isu ini juga, kerajaan pada masa itu terus mengambil keputusan menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan itu. Malah lebih memalukan apabila kerajaan mengambil langkah mengutus seorang menteri ke negara China untuk memohon maaf. Siasatan kemudiannya mendapati wanita yang didakwa diseksa itu bukan 'wanita Cina' tetapi wanita Melayu. Isu itu kemudiannya terus senyap.

Kesan daripada tindakan sedemikian imej kerajaan tercalar. Lebih mendukacitakan sebahagian rakyat seolah-olah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan memberi sokongan kepada pihak pembangkang yang 'membesarkan' isu itu.

Kini nampaknya pihak tertentu itu cuba menjadikan isu kematian Beng Hock sama seperti isu menjelang Pilihan Raya Umum 2008 itu, dengan menekankan kerajaan menubuhkan suruhanjaya lain pula. Kali ini untuk 'menyiasat' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula.

Ini bermakna sekiranya kerajaan bersetuju dengan desakan itu, seolah-olah 'perjuangan' pihak pembangkang 'berjaya'. Ia sekali gus mampu menarik minat lebih ramai lagi rakyat untuk menyokong mereka kerana dianggap 'mereka berada di landasan betul'.

Semoga langkah-langkah 'silap' pada masa lalu itu dapat kita jadikan sebagai pengajaran dan pedoman bagi mengambil langkah yang selepasnya. Juga diharapkan pada masa tertentu kerajaan wajar mengambil langkah tegas serta 'percaya' dengan agensi tertentu seperti PDRM, SPRM dan lain-lain yang bekerja dengan penuh bertanggungjawab serta dedikasi.

Percayalah dengan keyakinan yang diperlihatkan oleh kerajaan terhadap agensinya itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta agensinya dan justeru tidak perlu menubuhkan badan-badan lain.

Ini kerana ia bukan sahaja mendatangkan kesan tidak baik kepada agensi kerajaan sendiri tetapi juga mengakibatkan pembaziran waktu, tenaga dan sudah tentulah wang ringgit.

Kesimpulannya, bagi menjimatkan masa, tenaga dan wang serta untuk membuktikan kebolehan PDRM dalam menyiasat kes seperti ini sewajarnyalah kerajaan tidak menubuhkan apa-apa suruhanjaya lain bagi menyiasat kes ini; melainkan dalam keadaan yang amat mendesak.

ABU NAWAS

Sungai Petani, Kedah

Orang lain buat Haram, sendiri buat Halal

Ulama Pas patut keluar fatwa

IPOH 20 Julai - Ulama dalam Pas patut mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sebagai parti yang mempunyai ramai ulama besar yang arif tentang hukum agama, maka adalah wajar untuk golongan ulama Pas memberi penjelasan mengenai tindakan bekas Menteri Besar Perak itu menyertai majlis sedemikian.

Katanya, ulama Pas seperti Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pastinya mempunyai penjelasan terhadap tindakan Mohammad Nizar itu.

''Saya bukan ulama nak komen tentang tindakan Nizar. Biar orang agama komen tentang ini. Biar tok guru komen. Dia banyak tok Guru (Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi). Dia (Mohammad Nizar) pun tok guru juga. Dia pandai baca Quran, bagi ceramah, bagi khutbah di masjid.

''Dia lagi tahu apa yang dia buat,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan The Red Solar (M) Sdn. Bhd. dan TCT Inc. (TCTI) di sini, hari ini.

Menteri Besar mengulas tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas dan gambar majlis itu tersiar dalam akhbar The New Straits Times pada Sabtu lepas.

Zambry berkata, beliau bersimpati dengan kematian Beng Hock dan telah pun menyatakan pendiriannya di dalam laman blognya www.zambry.com.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif The Red Solar (M) Sdn. Bhd., Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, pemeteraian memorandum itu melibatkan projek pengeluaran sel (PV) bagi 'phoyo-voltaic' melibatkan pelaburan langsung asing US$250 juta (RM887 juta) di Perak. - BERNAMA


Putrakencana :

Sudah tahu jawapannya, ulama Pas akan kata Halal, kalau ahli Pas melakukannya.
Haram kalau bukan ahli Pas melakukannya.

p.s : Sudah faham sangat dengan Pas ni.

Sunday, July 19, 2009

BIARLAH POLIS MEMBUAT SIASATAN DAHULU

Henti tohmahan terhadap SPRM

Oleh ROHANI IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Julai - Pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan ahli politik mendesak pakatan pembangkang menghentikan segala tohmahan dan tuduhan yang keterlaluan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malay sia (SPRM).

Mereka juga menyifatkan tindakan pakatan pembangkang sebagai melampau apabila mengemukakan pelbagai tuntutan termasuk desakan ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui di koridor luar tingkat lima, Plaza Masalam, Khamis lalu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, pakatan pembangkang tidak sepatutnya melatah dengan mendesak kerajaan membuat pelbagai perkara sedangkan siasatan kes tersebut sedang dijalankan.

''Kenapa penyokong pembangkang tidak boleh sabar? Sepatutnya berilah ruang supaya siasatan dijalankan dan sesudah siasatan selesai, jika masih tidak puas hati barulah buat perhimpunan atau tuntutan.

''Sekarang belum apa-apa lagi sudah buat tuntutan dan perhimpunan. Lama-lama setiap orang yang mati kena tubuh suruhanjaya. Berapa ramai polis mati dan orang Melayu yang mati secara pelik, tidak ada orang buat perhimpunan dan tuntutan pun selama ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim diminta mengulas tindakan pakatan pembangkang mengeluarkan pelbagai kenyataan dan mengemukakan bermacam tuntutan serta mengadakan perhimpunan atas alasan mahu menuntut keadilan berhubung kematian Beng Hock.

Sebelum ditemui mati, Setiausaha Politik kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor itu dipanggil ke pejabat SPRM sebagai saksi untuk membantu siasatan kes salah guna peruntukan kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Ibrahim, tidak ada sebab bagi SPRM untuk membunuh Beng Hock kerana mendiang merupakan aset untuk membongkar penyalahgunaan kuasa dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

''Mungkin Beng Hock tertekan dengan apa yang telah berlaku merupakan satu penyalahgunaan kuasa. Macam-macam boleh berlaku.

''Tetapi pembangkang sudah eksploitasi isu ini seolah-olah hendak jadikan isu perkauman,'' katanya.

Tambah Ibrahim, pembangkang sebenarnya ingin mengalihkan pandangan rakyat kerana mereka disiasat SPRM.

''Ada juga dalang besar di belakang yang hendak alih isu ini juga,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan tanpa asas atau fakta.

''Saya tidak setuju dengan tindakan pembangkang yang melemparkan pelbagai tuduhan.

''Mereka sudah hukum SPRM tanpa bukti dan sengaja menghasut rakyat,'' katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah ketika dihubungi berkata, beliau hairan dengan sikap pembangkang yang selama ini sering mendakwa mereka memperjuangkan keadilan dan menyokong siasatan yang berasaskan fakta dan bukti.

''Namun, dalam insiden kematian Beng Hock siasatan masih berlangsung tapi mereka sudah membuat pelbagai tuntutan dan tuduhan.

''Pembangkang seolah-olah sudah membuat kesimpulan bahawa ada sesuatu yang 'tidak betul' berlaku dalam kematian Beng Hock sebelum hasil siasatan diumumkan,'' katanya.

Soal Saifuddin bukankah selama ini pembangkang sering melaungkan siasatan perlu dijalankan dengan adil dan melibatkan bukti-bukti yang kukuh.

''Jadi tunggulah siasatan selesai. Kenapa sudah buat tuntutan. Bagi saya ini tidak lebih daripada taktik untuk menghalang siasatan SPRM diteruskan ke atas para pemimpin pembangkang khususnya di negeri Selangor,'' katanya.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar ketika dihubungi menyifatkan sikap pembangkang yang mengadakan perhimpunan dan membuat pelbagai tuntutan sebelum siasatan selesai sebagai tidak menghormati undang-undang negara.

''Yang mati tetap mati. Kejadian sudah berlaku. Jadi biarlah siasatan selesai dan diumumkan terlebih dulu. Janganlah membuat kenyataan dan tuduhan melulu.

''Tindakan membuat tuntutan dan melemparkan pelbagai tuduhan adalah tidak menghormati undang-undang. Sebagai sebuah parti politik pihak pembangkang kenalah patuhi undang-undang negara,'' katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, SPRM tidak perlu tunduk kepada ugutan pembangkang supaya menghentikan siasatan berhubung salah laku beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor selagi siasatan punca kematian Beng Hock tidak selesai.

Beliau berkata, ugutan tersebut seperti cuba menyembunyikan kebenaran di sebalik kematian Beng Hock daripada diketahui umum.

''Tindakan pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelajah ke seluruh negara bagi 'membela' Beng Hock juga tidak munasabah.

''Sekarang siapa yang perlukan siapa? SPRM memerlukan Beng Hock sebagai saksi, kenapa pula pembangkang buat spekulasi seperti menuduh suruhanjaya itu ada kaitan dengan kematian Beng Hock, langsung tak masuk akal," jelasnya.

Katanya, pihak pembangkang tidak perlu takut dengan siasatan yang sedang dilakukan polis dalam mencari punca dan sebab kematian Beng Hock.

Jelas Syed Ali, pembangkang sepatutnya memberikan kerjasama sepenuhnya dalam kes tersebut dan bukannya sengaja melakukan kekecohan dan perhimpunan politik.

Saturday, July 18, 2009

PPSMI sepatutnya dah lama di tamatkan


Utamakan kepentingan rakyat majoriti tangani isu PPSMI

Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my

KEPUTUSAN Kabinet memansuhkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 8 Julai lalu menimbulkan pelbagai reaksi.

Realitinya ramai yang menyokong langkah kerajaan itu tetapi sokongan mereka tidak nampak ketara. Sebaliknya yang menonjol ialah golongan yang menentang. Mereka ini mempunyai capaian kepada teknologi terutama media dan Internet.

PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 terpaksa dimansuhkan ekoran kemerosotan pretasi terutama di kalangan pelajar luar bandar.

Kajian yang dibuat membuktikan berlaku kes-kes keciciran dalam dua mata pelajaran itu sejak PPSMI dilaksanakan.

Niat ketika PPSMI dilaksanakan memang baik. Tetapi pelaksanaannya tidak seperti dirancang terutama apabila tenaga pengajar tidak mencukupi hingga terjadi kes guru tangkap muat dan tidak ada kemahiran bahasa Inggeris untuk mengajar dua mata pelajaran itu.

Seperti biasa, sekolah-sekolah di bandar-bandar besar tidak ada masalah. Jadi masalah tidak timbul. Perjalanan PPSMI nampak sempurna.

Namun tidak ramai yang sedar penderitaan pelajar luar bandar sejak enam tahun pelaksanaan PPSMI ini.

Dengan segala kekurangan, mereka langsung tidak diberi pilihan. Malah dipaksa menelan segala kepahitan pelaksanaan PPSMI. Hasilnya prestasi merudum.

Seperti biasa, tindakan kerajaan memansuhkan PPSMI ini menimbulkan rasa kurang senang termasuk cakap-cakap bahawa ia langkah ke belakang. Hingga ada lakaran kartun yang menyindir (kalau pun tidak menghina) terutama apabila ia membabitkan bahasa Melayu.

Ketika segala apa yang berkaitan Melayu di negara ini dikatakan perkauman atau rasis, maka sudah tentu mengembalikan pengajaran sains dan matematik ke bahasa kebangsaan akan menimbulkan rasa kurang senang.

Sedangkan jika dibuka mata dan minda seluas-luasnya, ia langsung tidak ada kena mengena dengan memartabat atau memaksa kaum lain menggunakan bahasa Melayu. Kerana di sekolah jenis kebangsaan, mereka boleh guna bahasa ibunda masing-masing.

Pengajaran dua mata pelajaran itu dikembalikan ke bahasa kebangsaan kerana ada kebimbangan berikutan ramai pelajar Melayu semakin tercicir dan ketinggalan.

Malah tokoh pendidik, Prof. Diraja Ungku Aziz sendiri mengakui, bagi memastikan sesuatu bangsa itu menguasai sains dan matematik, ia perlu diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Ini bagi memastikan ia lebih dekat dengan mereka.

Perkara itu dibuktikan oleh Jerman dan Perancis. Yang paling dekat dengan kita ialah Jepun dan Korea Selatan.

Lagi pula jika setakat mengembalikan pengajaran kedua-duanya ke bahasa Melayu ia tidak banyak membantu usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Sedangkan jika lihat kepada pengumuman 8 Julai lalu, kerajaan menyediakan peruntukan yang cukup besar untuk 'memartabatkan' bahasa Inggeris. Oleh itu tidak sepatutnya timbul cakap-cakap atau undian di blog atau laman web mengenai perkara ini.

Lagi pun segala undian itu tidak menggambarkan aspirasi rakyat secara keseluruhannya.

Ia hanya suara segelintir masyarakat elit yang mana bahasa dan budaya Inggeris merupakan makanan harian mereka.

Sebab itu undian termasuk di laman web berita tidak boleh dijadikan ukuran bahawa rakyat negara ini menolak pengajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan.

Jumlah yang mengundi juga kecil. Tidak sampai satu peratus daripada 26 juta rakyat negara ini.

Sedangkan kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI selepas menjalankan satu kajian menyeluruh.

Kita bukan mahu mempertikai undian yang dilakukan di blog dan laman web. Tetapi ia tidak mencerminkan kehendak rakyat keseluruhan.

Tidak mungkin kita kena ketepikan kepentingan kelompok yang lebih besar hanya kerana mahu memenuhi undian oleh kumpulan elit yang kecil dan ada kepentingan ini.

Tidakkah kita sedar bahawa penoreh getah di Baling, pesawah di Tobiar, nelayan di Semporna dan penghuni rumah panjang di Batang Ai mungkin tidak mempunyai kesempatan mengundi di Internet.

Mereka ini bukan sekadar tidak ada akses kepada teknologi maklumat, perkataan Internet dan blog pun asing bagi mereka.

Sebab itu biarpun jumlah yang mengundi dan menentang pemansuhan PPSMI di Internet mencapai angka ratusan ribu, ia tetap mewakili segelintir kecil rakyat.

Kementerian Pelajaran tidak perlu melatah dengan penentangan tersebut. Ini kerana apa yang diputuskan itu pasti memberi kebaikan kepada ratusan ribu pelajar bukan sahaja Melayu tetapi juga Cina, India, Kadazan, Iban, Siam dan sebagainya di luar bandar.

Perlu diingat suara-suara tidak puas hati yang disalurkan melalui undian dalam blog hanya mewakili kelompok minoriti yang menganggap bahasa kebangsaan tidak ada standard untuk dipertuturkan oleh anak-anak mereka apatah lagi mempelajarinya di sekolah.

Jika golongan berkenaan dimasukkan ke dalam kumpulan pemikir untuk menentukan kedudukan perkara ini sudah tentu mereka mahukan PPSMI. Sebabnya ialah ruang lingkup dan rujukan mereka sempit dan terhad kepada kelompok mereka sahaja.

Sebab itu kementerian pelajaran kena berhati-hati. Jangan terperangkap dengan undian atau pandangan yang hanya untuk kepentingan kelompok kecil ini.

Tanya juga pandangan golongan seperti guru-guru seperti dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gulau yang saban hari terpaksa bertungkus lumus dan berhempas pulas memastikan pelajar mereka faham apa yang diajar.

Selami pengalaman mereka yang terpaksa mencampuradukkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ketika pelaksanaan PPSMI demi memastikan anak-anak murid faham dan mampu menjawab soalan peperiksaan.

Thursday, July 16, 2009

PERINGATAN MUFTI PERAK

Perkasakan umat Melayu, Islam - Mufti

IPOH 15 Julai - Umat Melayu dan Islam perlu terus diperkasakan bagi memastikan kedua-duanya kekal menjadi tunjang kepada pembangunan negara seiring dengan perkembangan semasa.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, perkara itu perlu menjadi keutamaan umat Melayu dan Islam pada masa ini sekali gus membentuk perpaduan Islam yang kukuh seperti satu ketika dahulu.

''Melayu satu ketika dahulu dibangunkan oleh Islam, mereka bersatu padu kerana Islam, bangkit daripada kegelapan kerana Islam dan menentang penjajah juga kerana Islam.

''Bagaimanapun, keadaan sekarang sudah berbeza dan tidak menentu kerana ada perbalahan politik serta ditambah lagi dengan masalah sosial. Jadi amat perlu dan penting kita semua kembali membentuk perpaduan Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas resolusi Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 hari ini.

Muzakarah yang diadakan sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang ke-81 itu disertai seramai 200 peserta terdiri daripada kalangan cendekiawan Islam termasuk wakil dari Singapura.

Harussani berkata, semua peserta juga bersetuju bahawa institusi kesultanan Melayu selaku ketua agama Islam menggunakan segala ruang dan kuasa yang ada untuk memperkasakan Islam.

Jelas beliau, perkara berkenaan adalah selaras dengan perlembagaan negara dan negeri yang memberi kuasa dan kekuatan kepada raja-raja untuk membangunkan Islam.

Katanya, ia juga sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, ''Manusia itu mengikut cara hidup rajanya."

''Kalau rajanya kuat agama maka rakyat akan kuat juga agamanya. Jadi golongan raja dan istana perlu mempelopori penghayatan Islam dan kemudian turun ke bawah untuk menyebarkannya.

''Pada masa sama, orang yang di bawah iaitu rakyat perlu bersedia untuk menerimanya kalau tidak ia tidak akan jadi.

''Sebab itu kita katakan bahawa raja itu berdaulat kerana mentaati dan membangunkan Islam," katanya.

Menurut Harussani, kerajaan atau pemerintah tertinggi juga perlu menggarap Islam dan melakukan penghayatan secara sempurna dengan serius serta agresif.

Katanya, langkah berkenaan akan meliputi semua bidang supaya penyatuan umat Melayu dan Islam benar-benar kukuh dan tidak mudah goyah.

''Kalau raja sudah buat (penghayatan Islam) kemudian menerapkannya kepada pentadbiran dan rakyat jelata semuanya menerima maka barulah Melayu boleh menjadi Ummah Wahidah atau umat yang satu sama ada di dunia dan di akhirat.

''Orang mukmin itu adalah bersaudara, orang Islam juga bersaudara kerana kita mempunyai akidah dan kepercayaan yang sama berlandaskan Islam.

''Kita wajib laksanakan perintah agama itu (membentuk perpaduan)," katanya sambil menambah tulisan jawi yang menjadi legasi keharmonian umat Melayu Islam perlu dibudayakan secara serius di semua peringkat.

BANGSAKU MELAYU, AGAMAKU ISLAM


Modal pengupayaan Islam, Melayu

Allah SWT telah mencipta gajah sebagai haiwan bersaiz besar. Pernah dikisahkan akan pelbagai tafsiran enam orang buta yang memberi deskripsi akan rupa bentuk gajah; yang memegang ekor menyamakan dengan tali, yang memegang kaki menyamakan dengan tiang, yang memegang telinga menyamakan dengan kipas, yang memegang badan menyamakan dengan dinding, yang memegang belalai menyamakan dengan ular dan yang memegang gading menyamakan dengan tombak.

Melayu adalah bangsa yang besar yang telah diberikan pelbagai tafsiran. Melayu adalah satu istilah yang lama, dianggap sebagai istilah yang paling mengelirukan di rantau Asia Tenggara, hinggakan setiap takrif mengundang kepada persoalan baru.

Melayu boleh ditakrif dari pelbagai sudut, secara negara - secara negeri, secara bahasa - secara budaya, secara adat - secara agama. Bahawa Alam Melayu boleh dikaji berasaskan geografi, sejarah, bahasa, budaya dan politik. Melayu adalah bangsa yang pernah gemilang, memiliki sejarah, budaya dan tamadun - pernah mencipta nama - mencipta keagungan. Bangsa Melayu itu bangsa yang bertanah air - bangsa yang bernegara, memiliki Raja yang berdaulat - memiliki kerajaan yang terhormat.

Umumnya bangsa Melayu itu mengambil sikap yang sangat terbuka, bebas membentuk cara hidup dan adat, tidak terikat dengan yang lain, laksana buluh, tumbuh dan bergerak sendiri dengan penuh autonomi, bagaimanapun diikat oleh akar yang satu.

Dalam konteks Tanah Melayu, di penghujung pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, Melayu dirujuk sebagai kumpulan penduduk yang tinggal cukup lama di Melaka, bertutur bahasa Melayu dan memperlihatkan citra kesetiaan seorang rakyat kepada Sultan.

Budaya Melayu yang menghormati dan menjunjung titah Raja telah melahirkan satu rumpun masyarakat yang berdisiplin lagi mematuhi undang-undang, telah menjamin suasana aman lagi tenteram, stabil lagi harmonis, membolehkan pembesar dan rakyat, dagang dan senteri, menumpukan usaha bertani dan berladang, bertukang dan berdagang, berkeluarga dan bermasyarakat, berkampung dan bernegara, membina kemakmuran - melimpah kesejahteraan.

Titah Utama ini memilih takrif Melayu menurut yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Bahawa orang Melayu itu menganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan kebudayaan Melayu. Berasaskan takrif tersebut, Melayu di Malaysia bukan terikat kepada darah keturunan, tetapi dicirikan oleh faktor-faktor agama, budaya dan bahasa. Sebagai pribumi di bumi Melayu ini, bangsa Melayu merupakan urat dan nadi negara; hakikat ini jangan sama-sekali dipertikaikan.

Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan setiap umat Melayu di Malaysia. Kedatangan Islam mengubah penganutan agama keseluruhan bangsa Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh Allah SWT. Proses pengislaman di alam Melayu dalam masa yang singkat merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat.

Penerimaan Islam di kalangan orang Melayu adalah menarik kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sudah wujud dalam masyarakat, memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu melakukan asimilasi dalam penyesuaian sistem kepercayaan lama dengan yang baru.

Ajaran Islam yang lengkap lagi menyeluruh dapat difokuskan kepada empat elemen utama:

Pertama: aturan hubungan manusia dengan Tuhan

Kedua: aturan hubungan sesama manusia

Ketiga: aturan hubungan manusia dengan alam

Keempat: penerangan akan tujuan hidup manusia

Islam menyeru kepada kemakrufan serta menjauhi kemungkaran (amar makruf nahi mungkar). Islam menyeru kepada pembinaan sifat-sifat positif seperti rajin, disiplin, tekun, ikhlas, amanah, jujur, berfokus (khusyuk), berilmu dan sebagainya. Islam, berperanan sebagai kompas, memandu bangsa Melayu melayari bahtera dalam lautan kehidupan di dunia, melakukan amar makruf untuk memenuhi keperluan duniawi, juga sebagai persiapan ukhrawi.

Bangsa Melayu telah melalui evolusi budaya yang panjang. Berlaku proses-proses penyesuaian adat yang diwarisi untuk diselaraskan dengan risalah ajaran Islam. Akhirnya terbina keperibadian yang memberikan identiti bangsa Melayu beragama Islam. Paradigma budaya bangsa disandarkan kepada adat, dan adat pula bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah bermaksud Kitab Allah iaitu al-Quran.

Islam telah mengubah cara masyarakat Melayu berfikir. Agama Islam berserta budaya Melayu berkerajaan, berasaskan prinsip negeri beraja - rakyat bersultan adalah faktor utama yang mempengaruhi pembentukan jiwa raga - membina jati diri orang Melayu.

Islam dijunjung - Raja disanjung. Hubungan tertib lagi beradab antara Raja dan rakyat serta rakyat dan Raja telah mengalirkan adat budaya, budi pekerti dan sopan santun yang amat halus lagi indah, mengupayakan umat membina persekitaran hidup yang aman lagi harmonis, makmur lagi sejahtera.

Agama Islam telah diterima dari atas ke bawah; oleh itu struktur pemerintahan tidak berubah malah disesuaikan dengan kehendak Islam dan boleh ditafsirkan hanya menyentuh kedudukan sistem itu sendiri. Setelah menganut Islam, Raja yang memerintah dilenyapkan hubungan batiniah dengan para dewa tetapi dihubungkaitkan dengan Allah dan Rasulullah serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia.

Raja diberi gelaran Sultan, diberi kuasa yang lebih besar kerana kini Baginda telah diiktiraf sebagai Khalifah di dunia. Dalam hasrat mahu memancarkan doktrin kepimpinan selaras dengan ajaran Islam, perawi Sejarah Melayu merakamkan hubungan antara Raja-Raja Melayu Melaka dengan Allah dan Rasulullah.

Melayu dan Islam bagai tidak dapat dipisahkan. Pada hukum adatnya rangkuman bangsa yang besar dengan agama yang besar, boleh membina modal pengupayaan umat yang besar. Namun secara realitinya, membina modal pengupayaan umat, tidak semudah mengguna pakai asas perkiraan matematik atau formula cantuman dua institusi bank atau resipi gabungan dua institusi multinasional.

Rangkuman bangsa dan agama memiliki dimensi lain. Sementara komponen Islam itu merupakan komponen yang berada pada tahap kesempurnaan, komponen bangsa memiliki pelbagai variabel yang boleh berubah, bertukar ganti dan sukar diramal.

Bahawa bangsa itu terdiri daripada manusia yang memiliki akal dan nafsu; memiliki perasaan dan emosi, memiliki kehendak dan cita-cita, memiliki niat baik dan niat jahat. Bahawa selain mendapat perlindungan para malaikat, manusia turut terdedah kepada godaan Iblis.

Islam sebagai pegangan telah ditafsirkan oleh akal manusia dengan pelbagai tafsiran dan turut terdedah di peringkat amalan kepada pengaruh nafsu manusia untuk dijadikan landasan - dijadikan pakaian, tidak terkecuali dijadikan simbol - dijadikan instrumen.

Dalam era pra dan pasca Perang Dunia Kedua, orang Melayu mula secara terbuka membangkitkan isu-isu berkaitan dengan nasib dan masa hadapan bangsa dan mula bergerak aktif dalam kegiatan politik tanah air.

Dinamik politik berteraskan gerakan nasionalisme Melayu dan dinamik politik berpaksikan Islam selanjutnya berkembang di negara ini. Kewujudan parti politik berteraskan kebangsaan Melayu dan parti politik berpaksikan Islam laksana kelahiran kembar politik dari perut bumi yang sama. Kembar politik yang keanggotaannya terdiri daripada insan-insan yang sama-sama berbangsa Melayu dan sama-sama beragama Islam.

Sepatutnya politik yang berakarkan bangsa dan berpokokkan Islam berupaya memperkuatkan modal pengupayaan umat - menyuburkan pohon yang kukuh, tidak goyang di tiup angin - tidak goncang dilanda ribut. Namun peranan saling melengkapi nyata tidak berlaku. Realiti politik tidak memperlihatkan kembar politik ini bersifat identical.

Asas-asas utama perjuangan untuk kemerdekaan, untuk agama, untuk bangsa, untuk negara, gagal mencantumkan roh dua tenaga politik Melayu-Islam ini. Sub-budaya matlamat, perbezaan penekanan serta kaedah perjuangan lebih dominan dan beransur-ansur menjadi faktor pemisah. Tulisan jawi - tulisan rumi, kopiah putih - songkok hitam, baju Melayu - jubah Arab, meletakkan Melayu Islam itu berada dalam dua aliran sungai yang mengalir selari tetapi enggan bertemu.

Percantuman dua kembar politik ini pernah berlaku berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969, tetapi hanya untuk satu tempoh yang singkat. Percantuman tersebut, meskipun berlaku dalam tempoh yang singkat, merupakan puncak kepada perpaduan politik bangsa dan ummah di tanah air ini, yang sekali gus memperkukuhkan modal pengupayaan umat. Era tersebut adalah era penyatuan, era paling produktif kepada bangsa dan ummah, era yang telah menghasilkan dasar-dasar yang dapat mengoptimumkan kebaikan ummah, antara yang paling signifikan adalah Dasar Ekonomi Baru.

Melayu Islam kemudiannya kembali terpisah. Sehari demi sehari semakin jauh. Retak-retak yang berlaku bagaikan membawa belah. Bahawa retak-retak yang berkemungkinan membawa belah, semakin melukakan jantung insan Melayu, semakin menghiris hiba hati kecil umat Islam. Sesungguhnya insan Melayu dan umat Islam senantiasa meletakkan harapan - tidak berhenti memanjatkan doa, agar Melayu dan Islam berpisah tiada - agar Melayu dan Islam kekal bersatu.

Betapa luka - betapa hibanya bangsa menonton ironi yang berlaku. Di manakah salah ibu mengandung hingga bangsa yang serumpun enggan membina silaturahim, di manakah silap ibu mengandung hingga insan yang seagama enggan bersaudara. Islam tidak senantiasa menjadi landasan pilihan dalam mengharungi perjalanan hidup. Tergelincir dari landasan bagaikan satu norma dan bangsa Melayu hanya kembali kepadanya pada waktu-waktu menghadapi kegelapan dan kesulitan, pada waktu-waktu permulaan hayat ketika menyambut kelahiran bayi, ketika jodoh dipertemukan, dan ketika menemui pengakhiran hidup apabila jasad disemadikan di liang lahad.

Pengupayaan umat ditentukan ketika umat menghadapi cabaran besar. Arnold Toynbee, pakar sejarah Inggeris dalam buku A Study of History, setelah mengkaji asas kelahiran 21 tamadun, merumuskan bahawa faktor utama membina tamadun yang gemilang ialah pengupayaan umat menghadapi cabaran; lalu umat terdorong menyatukan kekuatan, menggabung sepenuh tenaga - merangkum sepenuh usaha untuk sama-sama mengatasi cabaran, baik yang berbentuk alam semula jadi atau peristiwa besar seperti peperangan, tekanan ekonomi, bencana alam dan perubahan pemerintahan.

Akhbar Mingguan Malaysia demikian juga Berita Minggu, terbitan 12 Julai 2009 menyiarkan makalah khas susulan berita Natrah Maarof atau Bertha Hertogh meninggal dunia ketika mencapai usia 72 tahun, akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada Khamis 9 Julai 2009.

Kisah Natrah Maarof telah 59 tahun berlalu. Namun ia kekal menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif dan tercatat kuat dalam memori bangsa Melayu kerana peristiwa Rusuhan Natrah di Singapura pada 12 Disember 1950. Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa Natrah.

Akhbar-akhbar tempatan menegaskan pentingnya memperbetulkan laporan tidak tepat media Barat. Media Barat melaporkan orang Islam bertindak agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam kepada ibu bapanya yang beragama Kristian hingga mencetuskan rusuhan; 18 terbunuh dan 173 cedera apabila tentera menembak para perusuh yang terdiri dari orang Melayu.

Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan tersebut adalah kemarahan orang Melayu terhadap akhbar Straits Times ketika itu, yang berulang kali secara provokatif menyiarkan gambar Natrah (yang beragama Islam), melutut di hadapan patung Virgin Mary. Umat Islam bertanya bagaimanakah perasaan penganut agama Kristian jika melihat seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat.

Pilihan Raya Umum Ketiga berlangsung pada 10 Mei 1969. Keputusan pilihan raya tersebut telah memberikan keghairahan keterlaluan di kalangan orang bukan Melayu yang merayakan prestasi pencapaian parti-parti pembangkang. Cara sambutan kemenangan hingga ke peringkat membawa penyapu di atas lori, bagai mahu menghalau orang Melayu dari kampung halaman sendiri, telah mencetuskan peristiwa berdarah pertempuran kaum pada 13 Mei 1969. Kesabaran orang Melayu ketika itu nyata terlebih uji dan provokasi yang keterlaluan tidak dapat menahan kemarahan orang Melayu dari meluap.

Terkandung pengajaran penting daripada Peristiwa Natrah di Singapura pada Disember 1950 dan Peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur pada tahun 1969. Pertama: berkaitan jati diri Melayu dalam konteks Nusantara; kedua: agama Islam yang menjadi jati diri bangsa Melayu; ketiga: jati diri bangsa untuk mendapatkan kemerdekaan dan juga mempertahankan kemerdekaan; keempat: orang Melayu mempunyai batas dalam sifat terbukanya. Bahawa agama Islam yang menyeru kepada perdamaian dan bangsa Melayu yang bersifat sopan dan sedia menerima bangsa lain, mempunyai batas sempadan kesabaran; selagi agamanya tidak dicabar, selagi adat budaya bangsanya tidak dipijak - selagi kehormatan dan maruah bangsanya tidak dihina, selagi salah silah warisan sejarah tanah airnya tidak diungkit.

Hari ini umat Melayu Islam sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya. Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat. Bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah.

Budaya berpolitik yang sedang berlaku telah memunculkan ketaksuban baru, menjelmakan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan kepada kumpulan wajib diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh.

Akhirnya manusia Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain. Baik kata-kata yang diungkapkan - mahupun tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah yang lebih rendah.

Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi. Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat - memperdayakan bangsa demi memenuhi nafsu sendiri. Bangsa bagaikan sedang menghitung hari untuk dapat terus bertahan di tampuk kuasa. Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang, kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu. Kukur apa kepada kukur, kelapa juga yang binasa.

Demi meningkatkan keupayaan modal umat, insan Melayu Islam wajib belajar dari kesilapan, wajib meneliti keterlanjuran yang dilakukan, dan Kembalilah! Kembalilah ke pangkal jalan - Lakukanlah! Lakukanlah pembetulan.

Insan Melayu Islam hendaklah bijaksana mengenal kawan - hendaklah arif mengenal lawan; jauhkan diri dari berpatah arang - berkerat rotan dan merenung akan pentingnya menjiwai semangat kiambang yang kembali bertaut selepas biduk berlalu. Jangan sampai umat Melayu Islam menjadikan dirinya kuda trojan memudahkan musuh masuk ke dalam kota bangsanya.

Usaha penyatuan ummah amat wajib dirintis dan melalui penyatuan tersebut dibina modal keupayaan dalam semangat serumpun bangsa - sealiran agama. Kesetiaan kepada perjuangan yang murni lagi suci haruslah mengatasi kesetiaan kepada individu atau kesetiaan kepada kumpulan. Berpijaklah kepada kenyataan - berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat silaturahim - hayati semangat bermaaf-maafan. Bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu.

Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu, dan Nabi Muhammad SAW itu adalah Rasul junjungan, Quran itu kitab pegangan, dan secara bersama sepakat menghadap kiblat melakukan ibadat sembahyang, serta menerima orang Islam itu sebagai saudara.

Semoga barang disimpangkan oleh Allah SWT juga, Melayu Islam di bumi ini daripada ditimpa petaka - dihujani bala, hingga tidak bernegara lagi. Sekurang-kurangnya kata dan ungkapan Paduka Anakanda ini menjadi bukti lafaz setia kepada takhta pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan serta tanda kasih kepada negeri dan bangsa; agar nanti apabila Paduka Cucunda Raja Azlan Muzzaffar Shah telah mencapai usia dewasa, tidak akan dia menyalahkan Paduka Anakanda atas ketidakberanian Paduka Anakanda memberikan peringatan kepada bangsa.

Bahawa yang perlu dipertahankan itu, bukan sekadar batang tubuh peribadi seorang Raja tetapi Kerajaan Baginda; kerana tanpa Kerajaan tidak akan wujud sebuah negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa.

Monday, July 13, 2009

JANGAN BERMAIN API WAHAI KAUM PENDATANG .


Tahan semula Manoharan bawah ISA

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan perlu ditahan semula di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran tindakannya tidak menghormati institusi raja selain terus mempertikaikan status bumiputera.

Menurut Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil tindakan itu memandangkan Manoharan sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.

Beliau berkata, tindakan menegur rakannya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) memakai songkok atas alasan bukan bumiputera merupakan bukti Manoharan sengaja mencetuskan provokasi di kalangan orang Melayu.

"GPMS melihat apa dinyatakan Manoharan di DUN Selangor kelmarin itu ada dua perkara besar iaitu kegagalannya menghormati institusi raja serta tindakannya yang sengaja membakar perasaan orang Melayu.

"Manoharan harus sedar tuntutannya itu bersifat biadap serta kurang ajar. Kenyataannya itu tidak menggambarkan dia seorang warganegara. Oleh itu sebelum perkara lebih buruk berlaku lebih baik Manoharan ditahan mengikut ISA," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Manoharan ketika muncul buat kali pertama di persidangan DUN Selangor kelmarin iaitu selepas dibebaskan daripada ISA Mei lalu, telah menyatakan kurang senangnya melihat Chang Khim memakai songkok semasa menjalankan tugas pada persidangan itu.

Ujar Manoharan, beliau tidak berapa gembira dengan pemakaian songkok kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza.

Syed Anuar berkata, pemakaian songkok oleh Speaker bagi satu-satu DUN adalah untuk menghormati institusi raja kerana DUN merupakan lambang kepada pemerintahan Raja Berperlembagaan bagi sesebuah negeri.

"Sehubungan itu dalam usaha memelihara keamanan dan keharmonian kaum, kerajaan harus mengambil tindakan paling tegas dan segera. Jangan biarkan orang seperti ini ada dalam masyarakat kita," katanya.

Nada serupa turut disuarakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Megat Zulkarnain Omardin yang mahu kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap Manoharan.

Beliau berkata, orang Manoharan itu tidak harus dibiarkan kerana tindakannya terus mempertikaikan status bumiputera dan sengaja mencetus kontroversi pada persidangan DUN Selangor kelmarin boleh mengundang kemarahan masyarakat Melayu.

"Manoharan cuba bermain api kerana sengaja menyentuh hak keistimewaan golongan bumiputera yang selama ini dipelihara Perlembagaan Persekutuan," katanya yang juga Pengerusi Putera UMNO.

Sambil meminta kerajaan menyegerakan penahanan Manoharan di bawah ISA, Megat Zulkarnain mengingatkan kesabaran orang Melayu ada hadnya.

"Saya amat berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil perhatian dengan isu ini kerana Manoharan kini dilihat semakin berani membuat kenyataan berbau perkauman.

"Tolong jangan biarkan orang seperti ini kerana dia boleh menjadi perosak kepada keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini," katanya.

Presiden Pertubuhan Anak Muda Melayu Malaysia, Asrul Muniff Azizan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Manoharan itu sebagai amat berbahaya.

Sehubungan itu, beliau mahu KDN khususnya Hishammuddin sebagai menteri bertanggungjawab mengambil tindakan tegas ke atas ADUN Kota Alam Shah itu sekiranya enggan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan kontroversi.

"Nampaknya sejak dibebaskan daripada tahanan ISA, Manoharan terus bertindak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang amat berbahaya dan boleh menyebabkan rusuhan kaum.

"Kita tidak mahu keadaan ini berlaku kerana selama ini kita hidup dalam keadaan aman dan damai atas semangat tolak ansur serta kompromi. Mahu tidak mahu kerajaan wajar berbuat sesuatu sebelum kejadian lebih buruk berlaku," tambahnya.

Putrakencana :

Sememangnya kaum pendatang ini tidak sedar di untung hidup di Tanah Melayu ini.
Wahai Umat Melayu Islam bersatulah kita menentang segelintir bangsa pendatang ini yang semakin berani menuntut apa yang tidak sepatutnya dituntut. Mereka ini sudah naik kepala, anda lihat dan fikirlah sendiri.
Ketahuilah mereka ini semakin berani kerana kita Umat Melayu berpecah belah diatas fahaman politik.
Ketahuilah Melayu tidak gentar akan mereka ini.

Thursday, July 9, 2009

HEBATNYA PENTERNAKAN BABI DI MALAYSIA ?

Alkisah perihal ternakan babi di Malaysia

ZAINI HASSAN
zaini.hassan@utusan.com.my

ISU babi sering menimbulkan kontroversi di negara ini. Baru-baru ini ketua DAP Kedah dan Perlis mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang di Kedah gara-gara babi. Bagi DAP, binatang itu melambangkan budaya majoriti kaum yang mereka wakili dan oleh itu ternakan itu perlu dipelihara. Sebarang isu yang melibatkan haiwan itu akan dipertahankan - waima putus kawan atau rakan pakatan sekali pun.

Satu-satunya wakil rakyat DAP di Kedah sanggup menjadi wakil bebas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kerana mempertahankan haiwan itu. Mereka marah kerana kerajaan Kedah, pimpinan Pas merobohkan rumah sembelihan ternakan itu di Kampung Berjaya, Alor Setar baru-baru ini. Isu-isu lain - kononnya kerajaan negeri itu mahu merobohkan kuil dan tokong hanyalah isu yang ditimbulkan kemudian. Isu utama ialah babi.

(Nota: Babi sering disebut secara sopan oleh orang Melayu dengan bunyi ejaan jawi ''ba-alif-ba-ya'' atau dengan sebutan ''ba'' sahaja. Saya tidak pasti mengapa orang Melayu (generasi lama terutama mak-mak kita) memanggilnya sebegitu, mungkin untuk menjaga hati rakan-rakan lain, atau kerana tidak sampai hati memanggilnya dengan sebutan terus - babi.)

Apa istimewanya haiwan itu? Mengapa ia begitu penting kepada rakyat Malaysia? Hasil sedikit penyelidikan mendapati haiwan itu cukup penting dalam industri penternakan di Malaysia. Itu pasal banyak negeri tidak berapa peduli apabila bahan buangan daripada ladang-ladang ternakannya mencemarkan pantai-pantai dan sungai-sungai di negara ini. Yang penting industri ini amat menguntungkan.

Cuba lihat angka-angka ini. Mengikut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia melalui laman webnya www.dvs.gov.my bilangan babi di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) pada 2008 ialah sebanyak 1,733,466 ekor; lebih banyak berbanding kerbau 133,381 ekor, lembu (847,757 ekor), kambing (437,805 ekor) dan berbiri 124,749 ekor.

Statistik sembelihan ternakan yang direkodkan oleh jabatan itu pada 2008 pula; babi disembelih sebanyak 1,715,890 ekor, kerbau (11,847 ekor), lembu (102,010 ekor), kambing (15,186 ekor) dan berbiri (4,197 ekor).

Dipendekkan cerita, ekoran betapa pentingnya industri itu, sila baca keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 April 2008 (yang turut dipetik oleh laman web Badan Peguam Malaysia www.malaysianbar.org.com pada 19 April 2008).

KUALA LUMPUR 18 April - Sekumpulan ahli perniagaan China baru-baru ini mengemukakan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport daging babi ke republik tersebut.

Ketua Unit Penternakan Babi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kim Hee berkata, cadangan itu dibuat kerana harga daging babi yang ditawarkan di ladang-ladang negara ini cukup kompetitif, malah antara yang termurah di Asia.

Sehubungan itu, katanya, beberapa syarikat dari China menyatakan minat untuk bekerjasama dengan penternak babi Malaysia bagi menampung permintaan daging babi yang semakin tinggi di negara itu.

"Beberapa syarikat menyatakan minat, tetapi kita tunggu dulu kunjungan wakil syarikat China itu ke Malaysia hujung bulan ini untuk membolehkan perbincangan lanjut.

"Setakat ini semuanya masih di peringkat awal dan tiada keputusan muktamad diambil," kata Kim Hee ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar The Sun hari ini memetik laporan Nanyang Siang Pau yang melaporkan Malaysia dalam perancangan mengeksport daging babi ke China buat pertama kalinya.

Kim Hee dalam laporan itu berkata, urusan berhubung hal tersebut dilakukan dengan dua buah syarikat dari China selain usaha untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

Beliau dipetik sebagai berkata, jika Malaysia dapat menjadi pengeksport babi ke China, para penternak akan berpeluang memperoleh pendapatan yang baik termasuk dari segi pertukaran wang asing memandangkan pasaran yang besar di negara itu.

China yang mempunyai penduduk lebih 1.2 bilion dilaporkan berhadapan dengan kekurangan bekalan daging babi berikutan permintaan yang semakin tinggi dalam kalangan penduduknya.

Ekoran taraf yang semakin baik, permintaan daging babi di negara berkenaan dilaporkan meningkat hingga China terpaksa mengimport daging babi dari Thailand, tetapi langkah itu juga dikatakan tidak mencukupi.

Malaysia sebelum ini turut mengeksport daging babi ke Singapura namun ia dihentikan selepas republik itu melarang import daging babi dari Malaysia berikutan penyebaran virus Nipah pada 1998.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Dr. Ibrahim Che Embong ketika diminta mengulas isu itu berkata, pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada para penternak babi berhubung penternakan besar-besaran untuk eksport ke China.

Dari segi dasar, ujarnya, hanya ladang ternakan secara moden yang dibenarkan ditambah manakala soal sama ada boleh atau tidak bilangan babi ditingkatkan terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

"Mengikut amalan, selaku tuan tanah, negeri yang buat dasar mengenai penternakan babi. Negeri-negeri memang hanya menumpukan untuk menampung keperluan babi dalam negara. Sejak dari tahun 2000, sudah tidak ada eksport babi termasuk ke Singapura.

"Statistik menunjukkan jumlah babi di Malaysia berjumlah 2.6 juta ekor tetapi babi boleh ditingkatkan pengeluarannya dengan cepat.

"Haiwan itu boleh beranak tiga kali setahun dan setiap kali beranak, ia boleh melahirkan 11 ekor anak.

"Mungkin sebab itu para penternak merancang terlebih dahulu dengan syarikat China kerana mereka tahu jumlah babi boleh ditingkatkan dalam masa yang singkat," katanya.

Kesimpulan saya ialah: Industri penternakan babi ialah cukup lumayan. Oleh itu timbul persoalan sekarang apakah ia membabitkan soal budaya atau ia telah menjadi isu komersial yang dikawal oleh kartel yang gagah dan orang politik hanyalah faktor untuk mengapi-apikan sahaja supaya isu itu kelihatan ''amat penting''.

Kedua, besarnya industri penternakan babi di Malaysia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat bertoleransi. Siapa kata orang Melayu Malaysia yang beragama Islam menentang penternakan itu? Jika tidak sudah tentulah tidak sebegitu besar industri tersebut. Fikir-fikirkanlah.

Putrakencana :

Itulah dia bangsa yang tak sedar diuntung dan mahu kaut segalanya.
Bagi betis mahu peha.

Wednesday, July 8, 2009

AKHIRNYA PPSMI DIMANSUHKAN 2012


PPSMI dimansuh 2012

Oleh ZULKIFLI JALIL, ZABRY
MOHAMAD dan THOMAS CHONG


MUKTAMAD...Muhyiddin Yassin berkata sesuatu selepas mengumumkan keputusan Kabinet mengenai dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik pada sidang akhbar di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (tengah) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Alimuddin Mohd. Dom. – Utusan/Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.

Putrakencana :

Tahniah kepada Kementerian Pelajaran kerana mengkaji semula PPSMI. Ramai Rakyat Malaysia menyokong dikembalikan penggunaan Bahasa Melayu dan bahasa ibunda dalam P&P Sains dan Matematik.
Kementerian Pelajaran perlulah memperkasakan pengajaran Bahasa Inggeris. Inilah yang penting, subjek Bahasa Inggeris itu sendiri perlu diperkasakan sebelum memperluaskan ke subjek yang lain.
Dewan Bahasa dan Pustaka perlulah memperbanyakkan istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Buku-buku sains dan Matematik dalam bahasa Melayu perlu diperbanyakkan lagi.
Bila membuat sesuatu dasar, pihak kerajaan perlulah membuat kajian yang terperinci dahulu sebelum melaksanakannya. Jangan jadikan anak-anak kita sebagai eksperimen kepada pemimpin-pemimpin atasan.